MUNGKIN tidak ramai yang tahu bahawa sehingga pertengahan abad ke-19, melepaskan hajat – kecil atau besar – merupakan masalah besar kepada sesiapa sahaja yang berada di tempat yang menjadi tumpuan umum, sebab pada masa itu tidak ada... Klik di sini untuk terus membaca

MUNGKIN tidak ramai yang tahu bahawa sehingga pertengahan abad ke-19, melepaskan hajat – kecil atau besar – merupakan masalah besar kepada sesiapa sahaja yang berada di tempat yang menjadi tumpuan umum, sebab pada masa itu tidak ada tandas awam. Jika berhajat, kenalah mengadu pada semak-samun.

Tandas awam buat pertama kalinya muncul pada tahun 1851 di Crystal’s Palace, London. Ia hasil inisiatif seorang tukang paip bernama George Jennings. Usaha Jennings itu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai. Berpusu-pusu mereka hendak menggunakannya kerana selain merupakan tandas awam pertama, ia juga adalah tandas yang menggunakan pam.

Jennings mengenakan bayaran satu penny kepada setiap pengguna. Selain dapat menggunakan tandas yang bersih, pengguna juga diberikan sehelai tuala dan perkhidmatan menggosok kasut secara percuma.

Tidak ada maklumat sama ada tandas itu khusus untuk lelaki sahaja ataupun unisex. Apa yang diketahui adalah 26 tahun selepas itu, barulah negeri Massachusetts meluluskan undang-undang mewajibkan setiap tempat kerja menyediakan bilik air khusus untuk golongan wanita.

Ia menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat yang berbuat demikian.

Sekarang ini tandas awam ada di mana-mana. Namanya mungkin berbeza-beza – washroom, restroom, comfort room, public toilet atau jamban awam, namun ia tetap membawa maksud yang sama – tentang suatu tempat yang saya tidak begitu minat hendak bincangkan.

Tetapi apabila terbaca tulisan seorang blogger pengembara dari Afrika Selatan yang menyenaraikan tandas awam di Malaysia sebagai antara yang paling teruk pernah ‘dikunjunginya’, saya terpanggil untuk menulis mengenainya.

Menguatkan lagi keinginan saya untuk menulis tentang subjek ini adalah pengalaman sendiri dua minggu lalu ketika menggunakan tandas awam di sebuah bangunan yang tidak akan saya namakan atas sebab-sebab keselamatan tukang cuci tandas berkenaan.

Ada ketikanya kita tersinggung apabila orang seperti blogger pengembara itu melekeh-lekehkan negara kita. Mungkin kita akan berkata, yang dia pergi ke tandas-tandas yang tidak senonoh itu kenapa, sedangkan di Malaysia masih banyak lagi tandas yang bersih.

MASALAH

Tetapi bagi saya, isunya bukan tentang kenapa dia tidak pergi ke tandas-tandas yang bersih, sebaliknya adalah kenapa harus ada tandas yang tak senonoh dan tak bersih? Apa masalah kita sebenarnya?

Frank Swettenham dalam bukunya Malay Sketches pernah menzahirkan kehairanan kenapa orang Melayu yang mandi dua kali sehari, boleh membiarkan bawah rumahnya bersepah-sepah dan membuang air di sebalik semak, bukannya di tandas sebagaimana sepatutnya?

Bila berdepan dengan soalan seperti itu, kita selalunya mengambil jalan mudah dengan menuduh orientalis Barat memang begitu, sengaja mencari-cari keburukan kita. Saya mohon berbeza pandangan. Bagi saya, apabila timbul sesuatu dakwaan, perkara paling penting adalah tentang sama ada ia benar atau tidak. Kalau betul, kita mengaku. Jika salah, kita sanggah. Soal niat orang yang mendakwa, kita uruskan kemudian.

Lupakan tentang Swettenham. Anggap sahajalah 150 tahun dahulu, orang kita tidak begitu faham tentang konsep kebersihan dan kesihatan. Tetapi bagaimana dengan sekarang, setelah semua orang menjadi bijak pandai. Tengok sahajalah di media-media sosial, semua tajuk orang kita boleh sentuh dan ulas. Saya tidak tujukan tulisan ini kepada orang Melayu sahaja tetapi semua orang Malaysia – Keluarga Malaysia. Kita semua bertanggungjawab menjaga tempat ‘yang satu’ itu kerana busuk di situ, busuklah seluruh negara.

Masalah kita bukan sahaja dengan tandas awam tetapi juga tandas di rumah. Saya pernah ke rumah seseorang yang anak beranaknya cukup bergaya. Kereta si bapa berkilat-kilat, sama macam gelang di tangan si emak. Anak gadisnya pula saya rasa jenis yang boleh duduk berjam-jam menghadap cermin. Tetapi bila ke bilik air rumah mereka, saya rasa macam hendak putus nyawa sebab menahan nafas terlalu lama. Kotor dan selekehnya tak perlulah cerita.

Sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kita tentu pernah ternampak tandas untuk kegunaan umum di kedai makan atau restoran, yang baunya sahaja boleh menyebabkan hilang selera makan berhari-hari, apatah lagi ‘pemandangannya’.

Saya tidak tahu keadaannya sekarang, tetapi 20 atau 30 tahun dahulu, tandas awam di stesen-stesen bas juga sering tersenarai dalam tempat-tempat ngeri untuk dikunjungi. Jarang sangat nampak yang diurus dengan baik. Jika ada pun, selalunya di tempat yang mengenakan bayaran. Jika yang percuma, maka percumalah kita dapat melihat apa yang tidak ingin kita lihat dan menghidu apa yang tidak sepatutnya kita hidu.

TUMPUAN UMUM

Memanglah bukan mudah untuk ‘mengurus tadbir’ tandas awam, lebih-lebih lagi jika ia terletak di kawasan yang menjadi tumpuan umum. Keluar seorang, masuk dua; keluar dua, masuk lima. Jika sekali sekala ada bas rombongan singgah, lagi kucar-kacirlah jadinya.

Perangai pengguna pula 1,001 jenis. Ada yang asal masuk tandas sahaja, terus cucuh rokok, kemudian buang puntung merata-rata. Ada yang tak tahu menggunakan flush. Yang tak tutup kepala paip, yang tidak letakkan balik hos ke tempat sepatutnya, yang jadikan tandas tempat membuang dompet yang baru dicopet, malah yang mencangkung di atas mangkuk tandas, semuanya adalah antara ragam yang dapat dilihat berlaku di tandas-tandas awam.

Itu belum lagi termasuk yang mandi-manda walaupun di tepi pintu masuk tertera larangan tidak dibenarkan mandi. Lagi haru, kalau bulan puasa, ada yang sanggup makan minum di situ!

Sesiapa yang pernah ke Jepun tentu akan terkenang-kenang peri bersihnya tandas di negara itu. Ke ceruk mana pun kita pergi, tandas-tandas awamnya memang bertaraf lima enam bintang. Lantainya tidak pernah dibiarkan basah lencun, tidak ada paip yang dibiarkan rosak atau singki yang berselekeh. Semuanya kemas dan cantik.

Lengkap dengan bau pewangi segar, bukannya bau ubat gegat yang dibeli di pasar malam. Pendek kata, kalau terpaksa tidur di dalam tandas itu sekalipun, kita tidak akan berasa geli. Tidak hairanlah jika Jepun terpilih sebagai negara yang mempunyai tandas awam paling bersih di dunia.

Kenapa Jepun? Kenapa bukan kita? Apa lebihnya mereka dan apa kurangnya kita? Adakah kerana kita berpuas hati sebab tandas awam di India, Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan beberapa negara lain setanding dengan tandas awam kita? Memang betul, bukan semua tandas awam kita teruk. Banyak juga yang bersih.

Islam agama yang mementingkan kebersihan, kita pula bangsa yang sangat prihatin. Tidak bolehkah kita kombinasikan kedua-dua kelebihan itu untuk mewujudkan sikap ‘prihatin pada kebersihan tandas awam’?

Kalau boleh main basikal ke merata alam, berjoging berkilometer, berzumba berjam-jam, takkanlah tak boleh kita berpakat untuk berbakti kepada tandas awam seminggu sekali secara bergilir. Atau adakah kita hanya boleh melakukannya kalau diberi bajet?#dush!

*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah setiausaha politik yang gemar menulis nostalgia

Klik di sini untuk terus membaca