SAYA selalu dengar kata-kata ‘tiada jalan pintas menuju kejayaan’. Saya tidak faham atas dasar apa frasa itu dipercayai. Siapa pula yang mempercayai konsep bahawa ‘tiada jalan pintas menuju kejayaan’ dan menyebarnya sehinggakan... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA selalu dengar kata-kata ‘tiada jalan pintas menuju kejayaan’. Saya tidak faham atas dasar apa frasa itu dipercayai. Siapa pula yang mempercayai konsep bahawa ‘tiada jalan pintas menuju kejayaan’ dan menyebarnya sehinggakan ramai yang cenderung untuk mempercayainya.

Namun, apabila saya bertanya daripada mana mereka dapat pandangan itu, masing-masing kata mereka tak tahu dari mana tetapi terikut-ikut untuk mempercayainya.

Saya berpandangan sebaliknya kerana saya tidak percaya konsep tersebut. Lantas saya merujuk kepada rakan saya, Mr Google. Carian saya menemukan saya kepada orang yang memperkatakan konsep itu dan menyebarnya kepada umum.

Dialah penulis, Malcolm Gladwell.Gladwell yang mula terkenal dengan bukunya yang pertama The Tipping Point dan kemudiannya buku yang mengagumkan saya, Blink!

Gladwell ialah penulis yang kerap memperbetulkan konsep-konsep dengan pandangan yang baginya tidak betul dalam kalangan masyarakat.

Beliau percaya bahawa ‘tiada jalan pintas menuju kejayaan’ itu berdasarkan pengalamannya. Dalam satu temu bual dengan saluran CNBC (Consumer News & Business Channel), Gladwell berkata, beliau dibuang kerja dalam sebuah syarikat majalah selepas bertugas hanya dua bulan.

Sebabnya, beliau kerap lewat datang kerja kerana tidak dapat datang tepat pada waktunya. Yang peliknya hanya kerana tidak pandai mengawal disiplin, dia merumuskan ‘tiada jalan singkat menuju kejayaan’. Faktor datang tepat pada waktunya bukan penentu mutlak kejayaan seseorang.

Namun, apabila Gladwell tidak mengamalkan jalan pintas kejayaan dengan cara berdisiplin seperti ribuan mereka yang telah berjaya, mengapa beliau mendakwa secara holistik bahawa tiada jalan pintas menuju kejayaan?

Malangnya, ramai dalam kalangan kita yang percaya pada konsep bahawa ‘tiada jalan pintas menuju kejayaan’. Maknanya, jika hendak berjaya, semua perkara harus dilakukan dengan susah payah, jerih perih dan bermandi peluh.

Sebenarnya, terdapat banyak sekali jalan-jalan pintas yang secara zahirnya mempercepatkan seseorang itu sampai ke matlamat.

Di tepi-tepi padang sekolah misalnya, selalunya ada jalan pintas atau short cut yang biasa murid-murid gunakan untuk berulang-alik. Apabila kita hendak ke sesebuah tempat, aplikasi Waze misalnya, akan memberi kita jalan pintas menuju ke tempat tujuan. Malah hari ini, apabila hendak memanjat Gunung Everest pun, para pendaki digalakkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk menggunakan jalan yang ramai pendaki lain gunakan sebelumnya untuk selamat ke puncak. Tidakkah menggunakan jalan yang telah dilalui oleh pendaki lain itu jalan pintas?

Dari sudut zahir pun, sudah ada jalan pintas. Sudah tentu dari segi konsep juga, memang terdapat banyak sekali jalan pintas. Dalam apa juga bidang ilmu sama ada hartanah, pelaburan, pembinaan, matematik mahupun automotif, kita hanya perlu gunakan apa yang telah diformulakan oleh mereka yang telah berjaya melakukannya sebelum ini.

Dengan menuruti jalan itu, ia bukan sahaja lebih mudah, malah lebih cepat menuju ke matlamat iaitu kejayaan.

Konsepnya adalah menggunakan formula asas mereka yang terdahulu. Kemudian lakukan inovasi pendekatan dan pelaksanaan agar ia sesuai dengan kriteria kita sendiri. Lakukan kaizen atau penambahbaikan berkala. Dengan cara itu, kita cepat dapat mencapai kejayaan.

Jika perintis sesuatu bidang itu mengambil masa bertahun lamanya untuk berjaya, kita mungkin dapat lakukan dalam masa beberapa minggu sahaja kerana menggunakan jalan mereka sebagai jalan pintasnya.

Orang kata we do not need to invent the wheel. Gunakan sahaja roda yang telah dicipta 2,000 tahun sebelum Masihi oleh kaum Sumeria. Tidak perlu cipta roda terkini yang bersegi-segi misalnya, kononnya nampak kreatif tetapi sebenarnya melambatkan.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca