SHAH ALAM - Seorang suri rumah yang merupakan bekas pesakit Covid-19 kategori 5 mengalami sindrom Long Covid yang teruk sehingga mengganggu sistem pernafasan seperti sukar bernafas, semput dan kurang oksigen.
Nor Azan Samsu Baharin, 42, berkata, simptom Long Covid yang dialaminya masih berlaku sehingga hari ini setelah dijangkiti Covid-19 pada awal bulan Julai lalu.
"Saya mengalami simptom Long Covid yang agak teruk seperti nafas menjadi singkat dan sering semput. Apabila nafas tak sampai, saya akan mengalami batuk yang teruk dan berpanjangan. Saya juga tidak boleh bercakap terlalu lama di telefon sebab cepat semput.
"Selalunya selepas Maghrib, oksigen saya akan jatuh. Pada waktu malam, saya memerlukan oksigen dalam satu ke dua jam dan masih bergantung pada bantuan mesin oksigen walaupun tidak kerap.
"Buat masa ini, bacaan oksigen saya paling tinggi adalah 94 atau 95 sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu, gejala Long Covid yang dialaminya juga memberi perubahan terhadap tubuh badan dan memberi kesan sampingan terhadap aktiviti harian yang dilakukan.
"Sekarang ini, tubuh badan seperti kaki dan tangan lemah. Saya menggeletar bila berjalan jauh. Saya hanya boleh memandu semula selepas dua bulan akibat kaki sering menggeletar.
"Aktiviti harian juga terganggu apabila sehingga kini saya masih belum mendapat deria rasa dan bau yang betul ketika makan. Contohnya, jika ada orang menumis masakan, saya tidak boleh bau dan makanan yang saya makan sering terasa pahit atau masin,” katanya.
Tambahnya,dia terpaksa membuat rawatan susulan dan mengambil ubat yang disyorkan oleh doktor demi memulihkan semula kesihatannya.
"Doktor akan bekalkan ubat selama tiga bulan seperti ubat radang paru-paru, ubat cair darah, tambah darah dan sebagainya. Rawatan susulan juga harus dilakukan seperti pemeriksaan x-ray selepas tiga bulan.
"Doktor berkata masa yang diambil untuk pulih Long Covid ini adalah dalam tiga ke lapan bulan dan tempoh diberi itu belum tentu menjamin kesembuhan.
"Ada yang mengambil masa selama setahun dan masih mengalami komplikasi bergantung kepada keadaan badan masing-masing,” katanya.
Nor Azan dijangkiti Covid-19 daripada kontak rapat dan dimasukkan wad Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang selama sebulan di mana oksigennya hanya berada di tahap 40 ke 50 peratus sahaja.
Beliau juga hampir ditidurkan kerana keadaan paru-paru yang teruk.
Terkesan dengan apa yang dialaminya hari ini, dia menasihati semua masyarakat supaya ambil berat terhadap prosedur operasi standard (SOP).
"Covid-19 amat menyakitkan di mana saya melalui proses pengambilan darah setiap hari, proses memasukkan oksigen serta sakit dalaman merupakan pengalaman yang perit. Apabila kita terkena Covid-19, gambarannya seperti di ambang kematian.
"Sebulan saya duduk di hospital, keadaan kesihatan saya sangat tidak mengizinkan sehingga saya takut dan tidak boleh tidur malam kerana terfikir ajal akan dijemput pada bila-bila masa,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca