AWANG sokong penuh kenyataan Ketua Pasukan Rasuah Busters yang desak ditubuh pasukan penyiasat kecurian barang kes libatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Datuk Hussamuddin Yaacub menganggap serius kecurian wang tunai AS$6 juta yang merupakan barang bukti dalam satu kes berprofil tinggi.
Beliau juga cadangkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengambil tanggungjawab tindakan anak buahnya dengan digantung tugas sementara siasatan berjalan. Hussamuddin mencadangkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan mengendalikan siasatan itu.
Rakyat memang kesal hal seperti itu boleh terjadi. Sudahlah kes Datuk Hasanah Abdul Hamid jadi kontroversi, kes kecurian ini menambah masalah kepada kerajaan.
Memang dalam beberapa kejadian setelah tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018, ada timbul cerita duit ditemui tetapi diragui milik siapa dan tujuan untuk apa. Ada yang disimpan di rumah. Jangan kata sejuta dua, beratus juta pun ada.
Dalam hal seperti inilah kita perlukan pasukan penyiasat yang berintegriti. Memang tarikan duit begitu kuat. Nampaknya pegawai dalam SPRM pun tak tahan iman tengok duit yang bertimbun. Duit memang ada hantunya.
Awang harap siasatan yang dicadangkan itu rapi dan telus. Jangan pilih bulu. Hal itu penting bagi kembalikan keyakinan orang ramai kepada badan seperti SPRM.
Klik di sini untuk terus membaca