PADA tahun ini, Asia-Pasifik dipenuhi dengan ujian-ujian senjata dan program pemodenan pasukan tentera di beberapa buah negara di rantau itu.
Peningkatan ujian-ujian senjata itu dan pemodenan pasukan tentera berlaku ketika pertumbuhan pesat ekonomi di negara-negara rantau tersebut berbanding 20 tahun lalu.
Pada tahun lalu sahaja, wilayah Asia dan Oceania membelanjakan lebih setengah trilion dolar Amerika Syarikat (AS) untuk tujuan ketenteraan, menurut data daripada Institut Keamanan Antarabangsa Stockholm.
"Anda menyaksikan peningkatan trend (perbelanjaan tentera) untuk tempoh 20 tahun lalu.
"Sebenarnya, Asia merupakan wilayah yang mana peningkatan trend (perbelanjaan dan ujian-ujian senjata) paling ketara," kata Pengarah Perbelanjaan Tentera dan Pengeluaran Senjata di institut itu, Lucie Beraud-Sudreau baru-baru ini kepada AFP.
Beliau menyatakan terdapat pertumbuhan ekonomi pesat yang menyaksikan banyak wang dimasukkan ke dalam tabungan kerajaan di rantau tersebut.
China telah meningkatkan perbelanjaan pertahanan pada setiap tahun untuk selama 26 tahun lalu sehingga menjadikan Tentera Pembebasan Rakyat sebagai sebuah pasukan ketenteraan yang moden.
Negara komunis itu membelanjakan sebanyak AS$252 bilion (RM1.05 trilion) setahun iaitu peningkatan sebanyak 76 peratus sejak tahun 2011.
Keputusan China itu menyebabkan negara tersebut memperkasakan ketenteraannya di rantau Asia dan mencabar keunggulan kekuatan AS.
Namun, perbelanjaan pertahanan di Australia, India, Jepun, Korea Selatan dan di beberapa negara Asia juga meningkat.
Pada minggu lalu, Korea Utara melancarkan satu ujian peluru berpandu balistik dari sebuah kereta api buat pertama kalinya yang dijangka meningkatkan sistem pertahanannya.
Korea Selatan turut melancarkan ujian peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari sebuah kapal selam dan Australia pula mengumumkan akan membelian satu angkatan kapal selam berkuasa nuklear dan peluru berpandu Tomahawk untuk tentera lautnya.
Australia dilaporkan akan bekerjasama dengan United Kingdom (UK) dan AS dalam tempoh beberapa bulan bagi membantu negara kanggaru itu memperoleh kapal selam nukelar.
Pembinaan kapal selam itu dijangka dilakukan di Osbourne di Australia Selatan.
Korea Utara pula telah berjaya melancarkan peluru berpandu jarak jauh sebelum pertengahan bulan ini dan pada Mac lalu Pyongyang telah melancarkan ujian peluru berpandu jarak dekat.
Kali terakhir sebuah peluru berpandu Korea Utara memasuki zon ekonomi eksklusif Jepun ialah dalam bulan Oktober 2019.
China pula melancarkan beberapa ujian ketenteraan berdekatan dengan Taiwan pada tahun ini.
Ketika ini, kira-kira 20 peratus perbelanjaan pertahanan di rantau Asia adalah untuk tujuan pemerolehan senjata terutamanya bagi membeli aset-aset maritim dan lain-lain peralatan ketenteraan yang kosnya adalah terlalu tinggi.
Pemodenan tentera India adalah didorong oleh peningkatan kuasa ketenteraan China iaitu negara jirannnya.
Bagaimanapun, China yang kini dilihat agresif untuk mendapatkan semula Taiwan dan menuntut sebahagian besar Laut China Selatan sebaliknya menuduh AS sebagai punca peningkatan perlumbaan senjata di Asia. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca