SHAH ALAM - Sindrom Long Covid seperti nafas pendek dan sakit kepala merupakan sesuatu yang harus ditanggung oleh kebanyakan bekas pesakit Covid-19.
Nurul Hidayah Zulkarnain, 26, berkata, walaupun sudah lebih tiga bulan bebas daripada Covid-19, dia masih mengalami sindrom Long Covid yang memberi kesan terhadap kehidupan sehariannya.
"Long Covid memang memberi kesan kepada kehidupan dan aktiviti harian saya. Antara simptom yang saya alami adalah masalah pernafasan seperti sesak nafas dan semput. Kalau sejuk disebabkan pendingin dingin atau cuaca hujan, dada saya akan berasa sakit.
"Semenjak menghidapi Covid-19, saya juga terlalu kerap sakit kepala atau Migrain. Selain itu, nafas saya menjadi pendek sehingga sukar untuk mengaji atau menghabiskan ayat al-Quran,” katanya yang merupakan jurutera pemprosesan data.
Nurul Hidayah yang merupakan seorang yang aktif bersukan dijangkiti Covid-19 kategori 3 pada bulan Mei lalu.
"Saya merupakan seorang yang aktif bersukan namun saya sudah tidak boleh melakukan aktiviti sukan dalam masa yang lama dan agresif.
"Sebelum ini saya boleh melakukan tarian zumba tanpa henti selama 45 minit namun kini, saya hanya boleh bertahan selama 10 minit kerana tidak cukup nafas dan sakit dada.
"Saya juga sebelum ini boleh berlari dalam masa satu jam tanpa henti tetapi sekarang saya hanya mampu mencapai tahap 15 minit larian sahaja. Saya sudah mencuba untuk membangkitkan kembali stamina tetapi tidak berjaya,” katanya.
Nurul Hidayah yang berasal dari Sentul, Kuala Lumpur berkata, semenjak mendapat Covid-19, penyakit semput yang dihidapinya kini semakin teruk sehingga dirinya mengalami serangan asma hampir setiap minggu.
"Saya memang menghidapi penyakit asma atau semput tetapi semenjak dijangkiti Covid-19, ia menjadi semakin teruk. Hampir setiap minggu saya mendapat serangan asma terutamanya ketika waktu sejuk.
"Oleh kerana itu, saya dinasihatkan oleh doktor untuk mengambil pam asma setiap hari,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi bekas pesakit Covid-19 kategori dua, Ria Nadia Rahim, 25, eksekutif media sosial, berkata, Long Covid yang dialaminya seperti nafas pendek dan tubuh badan yang cepat penat.
"Saya mengalami ‘short of breath' atau nafas pendek sehingga berasa seperti nak pitam. Saya juga cepat berasa penat dan deria rasa terganggu.
"Apa yang ketara sekarang adalah saya tidak boleh melihat telefon terlalu lama kerana boleh menyebabkan rasa nak muntah,” katanya.
Selain itu, Ria Nadia turut mempunyai gejala kepala berasa seolah-olah berpusing dan migrain.
"Semasa dijangkiti9, saya terasa seperti berpusing-pusing. Selepas itu, saya sering menggigil sekejap sejuk dan sekejap panas.
"Namun kini, situasi saya semakin pulih sedikit demi sedikit dan paras oksigen berada di tahap normal,” katanya.
Sebagai bekas pesakit Covid-19, Ria Nadia turut berpesan kepada masyarakat agar mereka mengambil vaksin bagi mengurangkan kesan jangkitan kerana Covid-19 akan memberi kesan kesihatan yang panjang kepada individu yang dijangkiti.
"Sakit akibat Covid-19 memang tidak tertanggung. Jadi ambillah vaksin kerana sekurang-kurangnya dengan mengambil vaksin, kita boleh mengurangkan kesan sampingan jika dijangkiti.
"Kontak rapat saya juga tidak dijangkiti kerana kebanyakan mereka sudah lengkap di vaksinasi. Ini menunjukkan vaksin itu berkesan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca