SHAH ALAM - Spekulasi kini bertiup kencang mengatakan proses pemilihan UMNO yang ditangguhkan selama 18 bulan sebelum dimaklumkan tidak sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), bakal diadakan segera, paling awal bulan Januari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Spekulasi kini bertiup kencang mengatakan proses pemilihan UMNO yang ditangguhkan selama 18 bulan sebelum dimaklumkan tidak sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), bakal diadakan segera, paling awal bulan Januari 2022.

Sumber Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, proses pemilihan UMNO perlu diadakan dalam tempoh masa terdekat susulan kebimbangan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan selepas bulan Julai 2022.

Jelas beliau, meskipun kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang dan menetapkan syarat PRU15 tidak akan diadakan sebelum bulan Julai 2022, tiada jaminan perjanjian itu akan dipatuhi pembangkang sepenuhnya.

"Terdapat juga kemungkinan pembangkang mencari helah untuk melanggar terma perjanjian MoU seakan-akan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) itu lebih awal bagi mendesak PRU segera diadakan.

"Bahkan, UMNO juga perlu bersiap-sedia sekiranya parti-parti dalam kerajaan seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri bertindak menarik sokongan terhadap Ismail Sabri atas alasan tertentu," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.

Bagaimanapun, pada 6 Ogos lalu RoS menetapkan keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, kemudiannya memaklumkan RoS membatalkan keputusannya sebelum ini yang menegaskan keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu adalah tidak sah.

Beliau mengesahkan ada menerima surat daripada RoS memaklumkan keputusan itu kepadanya pada hari sama.

Katanya, berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang beliau dan peguam UMNO berikan pada 9, 11 dan 18 Ogos lalu serta beberapa keterangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 24 Ogos, didapati keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.

Armand Azha, Ahmad Maslan

Oleh itu, beliau berkata, pemilihan jawatan UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan ditangguhkan ke satu tarikh akan dimaklumkan kepada RoS iaitu sebelum 29 Disember ini.

Namun begitu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima aduan ke atas seorang pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.

Individu itu didakwa menggunakan kuasanya mengubah keputusan yang dibuat pada 6 Ogos lalu iaitu penangguhan pemilihan parti UMNO sebagai tidak sah kepada sah.

Sumber berkata, pegawai kanan berkenaan didakwa meluluskan penangguhan pemilihan Agung UMNO sehingga Disember 2022 bagi tempoh 18 bulan menerusi sepucuk surat bertarikh 30 Ogos lalu.

Tambah sumber ahli MKT UMNO lagi, beliau bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebelum ini yang meminta parti menyelesaikan segera isu pemilihan UMNO lebih awal.

Hal ini kerana beliau berpandangan UMNO tidak boleh memiliki dua nakhoda dalam menghadapi PRU15 susulan buat kali pertama dalam sejarah, Perdana Menteri dilantik dalam kalangan ahli Parlimen UMNO yang bukan berjawatan Presiden parti.

"Kena ingat Presiden UMNO adalah individu yang bertanggungjawab menandatangani watikah pelantikan calon pilihan raya untuk parti UMNO.

"Kalau isu pemilihan parti tidak diselesaikan segera, ada kemungkinan ramai pemimpin UMNO dalam kerajaan yang dilihat berbeza pendapat dengan Presiden UMNO, tidak dapat bertanding pada PRU15 kelak," katanya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menegaskan, MKT UMNO sehingga kini masih belum memutuskan keputusan menentukan tarikh pemilihan UMNO.

Jelas beliau, persoalan sama ada pemilihan UMNO akan diadakan dalam masa terdekat bergantung kepada hasil keputusan mesyuarat MKT akan datang, itu pun sekiranya terdapat ahli MKT yang membangkitkan usul berkenaan.

"Kita tidak boleh dengar cakap di luar (mengenai pemilihan parti). Sebaliknya bagi saya, perkara itu perlu diserahkan kepada MKT untuk membuat keputusan terbaik.

"Kalau proses pemilihan parti perlu dilakukan dalam masa terdekat, dengan UMNO yang memiliki 20,000 cawangan parti, bolehkah proses pemilihan dibuat dengan selamat tanpa mencetuskan sebarang kluster baharu Covid-19?

"Segalanya perlu tunggu keputusan dan pandangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), RoS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum pandangan jabatan terbabit akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT terlebih dahulu," katanya.

Mengulas lanjut, Armand Azha turut melihat keperluan mengadakan pemilihan parti dalam masa terdekat bukan suatu perkara mendesak, sebaliknya aspek paling penting perlu dititikberatkan UMNO ketika ini adalah soal gerak kerja menghadapi PRU15.

Ujarnya, dalam keadaan sekarang, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah tunggak untuk parti, manakala Perdana Menteri pula merupakan Naib Presiden UMNO yang memastikan apa sahaja keputusan dibuat di peringkat kerajaan dan parti akan dianggap keputusan bersama.

"Sebab itu, soal sama ada pemilihan UMNO perlu dibuat atau tidak sebelum PRU15, tidak akan beri kesan besar kepada parti. Yang paling penting adalah soal gerak kerja.

"Paling utama, UMNO dan Barisan Nasional kena utuh dan mengekalkan semangat perpaduan. Jangan semata-mata mahu mengejar pemilihan parti, keputusan itu akan beri kesan kepada sokongan rakyat terhadap UMNO.

"Kita tidak mahu salah percaturan politik yang akhirnya merugikan parti itu sendiri," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca