SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan proses Pemilihan Agung UMNO akan kekal diadakan sebelum tarikh 29 Disember 2022, sebagaimana dimuktamadkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sebelum ini.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan proses Pemilihan Agung UMNO akan kekal diadakan sebelum tarikh 29 Disember 2022, sebagaimana dimuktamadkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sebelum ini.

Jelas Ahli Parlimen Pontian itu, tidak timbul isu pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana parti itu sudah menganjurkan banyak pemilihan parti selepas pilihan raya umum.

Bagaimanapun, Ahmad menegaskan pucuk kepimpinan parti itu belum memutuskan tarikh spesifik pemilihan UMNO bakal diadakan kelak.

Secara berseloroh, beliau juga tidak menolak kemungkinan proses pemilihan UMNO akan diadakan pada 28 Disember 2022, sehari sebelum tarikh dimuktamadkan RoS.

"(Pemilihan UMNO) akan diadakan sebelum 29 Disember 2022.

"Tarikh belum pasti. Mungkin 28 Disember 2022," ujarnya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi UMNO bakal mengadakan pemilihan parti itu seawal bulan Januari 2022 susulan kebimbangan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan lebih awal daripada bulan Julai 2022.

Perkara itu dimaklumkan sumber Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kepada Sinar Premium meskipun kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang dan menetapkan syarat PRU15 tidak akan diadakan sebelum bulan Julai 2022.

UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.

Bagaimanapun, pada 6 Ogos lalu RoS menetapkan keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Sehubungan itu, Ahmad berkata, berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang beliau dan peguam UMNO berikan pada 9, 11 dan 18 Ogos lalu serta beberapa keterangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 24 Ogos, didapati keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.

"Tarikh belum pasti. Mungkin 28 Disember 2022." - Ahmad

Oleh itu, beliau berkata, pemilihan jawatan UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan ditangguhkan ke satu tarikh akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember 2022.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan beliau tidak menerima sebarang maklumat bahawa terdapat kemungkinan pemilihan UMNO bakal diadakan pada suku pertama tahun hadapan.

Jelas Ahli Parlimen Machang itu, pada saat pemimpin UMNO sedang berusaha untuk memastikan kerajaan baharu dipimpin Ismail Sabri stabil, isu pemilihan parti tidak wajar dijadikan persoalan pokok dalam kalangan pemimpin dan ahli parti buat masa ini.

"Tiada, saya tidak dapat maklumat dan tidak ada dengar khabar angin (pemilihan parti seawal bulan Januari 2022).

"Bagi saya, biar keadaan dan kerajaan terus stabil dahulu dengan kita mesti beri peluang kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan kerja mengukuhkan kerajaan.

"Tidak adil untuk saya buat apa-apa komen lanjut (termasuk persoalan isu pemilihan parti)," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca