SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengulangi pendiriannya bahawa proses pemilihan UMNO perlu dilaksanakan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hal ini kerana beliau berpandangan masalah dalaman UMNO yang kini memiliki dua nakhoda, seorang merupakan Presiden parti manakala seorang lagi pemimpin kanan UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri, perlu diselesaikan segera sebelum pilihan raya berlangsung kelak.
Jelas beliau lagi, langkah mengadakan pemilihan parti lebih awal juga sebagai salah satu cara UMNO bersiap-sedia bagi menghadapi PRU15 susulan tempoh perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Pakatan Harapan (PH) bakal berakhir pada bulan Julai 2022.
"Mahu tidak mahu, UMNO kena buat pemilihan parti segera sebab kita kena selesaikan masalah dalaman parti sebelum hadapi PRU15.
"Memandangkan Perdana Menteri kini adalah merupakan ahli Parlimen UMNO, jika parti ada kelebihan dalam menentukan tarikh PRU15 bakal diadakan.
"Namun begitu, kita kena ingat tempoh perjanjian CSA yang dimeterai kerajaan dengan PH akan berakhir pada bulan Julai tahun hadapan. Jadi ada kemungkinan PRU15 perlu diadakan pada tahun hadapan setelah krisis pandemik Covid-19 dapat diatasi dengan ekonomi negara sudah semakin pulih," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi UMNO bakal mengadakan pemilihan parti itu seawal bulan Januari 2022 susulan kebimbangan PRU15 bakal diadakan lebih awal daripada bulan Julai 2022.
Perkara itu dimaklumkan sumber Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kepada Sinar Premium meskipun kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang dan menetapkan syarat PRU15 tidak akan diadakan sebelum bulan Julai 2022.
UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.
Bagaimanapun, pada 6 Ogos lalu RoS menetapkan keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang beliau dan peguam UMNO berikan pada 9, 11 dan 18 Ogos lalu serta beberapa keterangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 24 Ogos, didapati keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.
Oleh itu, beliau berkata, pemilihan jawatan UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan ditangguhkan ke satu tarikh akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember 2022.
MESYUARAT CAWANGAN, BAHAGIAN BULAN DEPAN
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri yang juga Ketua UMNO bahagian Padang Rengas menegaskan proses perjalanan mesyuarat agung cawangan dan bahagian UMNO akan diadakan bermula pada bulan Oktober tahun 2021, berdasarkan surat terkini daripada pucuk pimpinan parti yang dilihat beliau.
Beliau turut menjangkakan sebaik sahaja proses mesyuarat agung parti di peringkat cawangan dan bahagian dapat diselesaikan pada penghujung tahun ini, proses pemilihan parti pula akan menyusul pada tahun hadapan bermula dengan peringkat cawangan.
"Sepatutnya pemilihan UMNO perlu dibuat tahun 2021, tetapi kita tidak sempat. Justeru, parti kena patuh kepada Perlembagaan UMNO dengan memastikan pemilihan parti dibuat pada tahun hadapan.
"Saya percaya sekiranya proses mesyuarat cawangan dan bahagian dapat diadakan tanpa masalah, parti juga dapat memastikan perjalanan proses pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan pusat dilaksanakan dengan lancar," katanya.
Mohamed Nazri turut mengenepikan pandangan UMNO perlu mengekalkan tradisi mengadakan pemilihan parti selepas berlangsungnya sesebuah pilihan raya umum.
Tambahnya, situasi dihadapi UMNO ketika ini tidak sama seperti UMNO sewaktu menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang dianggap kuat, dominan serta sukar digugat pembangkang.
Sebaliknya, bekas Setiausaha Agung BN itu menjelaskan UMNO kini tidak sekuat dahulu dan berdepan isu kepimpinan susulan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan merupakan seorang Perdana Menteri serta berdepan isu pendakwaan kes mahkamah.
"Pada masa lepas, UMNO sewaktu kerajaan BN adalah kuat dengan Presiden UMNO pada ketika itu adalah merupakan seorang Perdana Menteri.
"Sekarang, walaupun UMNO menerajui kerajaan, Perdana Menteri dilantik bukan lagi merupakan Presiden UMNO. Ditambah pula Presiden UMNO sendiri berhadapan defisit kepercayaan rakyat susulan terpalit kes mahkamah.
"Jadi isu dalaman parti sebegini perlu diselesaikan segera agar UMNO boleh memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap parti itu sebelum menghadapi PRU15," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca