KUALA LUMPUR - Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bukan merupakan satu perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang mengikat koalisi pembangkang itu untuk menyokong... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bukan merupakan satu perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang mengikat koalisi pembangkang itu untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, berdasarkan klausa perjanjian MoU dimeterai kerajaan dan PH, tidak ada ayat menyatakan sekiranya berlaku usul undi percaya dimasukkan kerajaan dalam aturcara mesyuarat Dewan Rakyat, maka PH wajib menyokong kerajaan sebagai menghormati terma perjanjian ditandatangani.

Bahkan beliau menjelaskan perjanjian MoU berkenaan juga tidak mewajibkan PH untuk mempertahankan kerajaan Ismail Sabri daripada jatuh sekiranya terdapat sekumpulan ahli Parlimen daripada blok kerajaan yang menarik sokongan terhadap Perdana Menteri itu.

"Saya ingin menegaskan perjanjian MoU kerajaan-PH bukan bermaksud PH kini menjadi sebahagian daripada kerajaan Ismail Sabri atau satu bentuk perjanjian CSA antara dua blok berkenaan.

"Melalui MoU ini, PH mempunyai pilihan untuk menyokong atau berkecuali dalam sebarang usul pengundian kritikal yang boleh ditafsirkan sebagai usul undi percaya kepada kepimpinan Ismail Sabri.

"Tetapi kalau perjanjian CSA sebagaimana dibuat di beberapa negara luar, PH wajib untuk menyokong kerajaan dalam sebarang usul pengundian kritikal termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022," katanya dalam satu rancangan bual bicara di sebuah portal berita tempatan pada Rabu.

R Sivarasa

Sehubungan itu, Sivarasa yang juga Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendapat inisiatif PH menandatangani perjanjian MoU dengan kerajaan Ismail Sabri adalah bagi membolehkan koalisi itu memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat selain menjadi semak dan imbang paling efisien kepada kerajaan.

Jelas beliau, melalui penglibatan ahli Parlimen pembangkang dalam setiap jawatankuasa khas Parlimen yang diwujudkan bagi memantau setiap kementerian, PH mampu memastikan fungsi semak dan imbang dapat diaplikasi sepenuhnya.

"Katakan ada tuduhan penyelewengan berlaku di sesebuah kementerian, pengerusi jawatankuasa khas Parlimen yang turut dianggotai ahli Parlimen PH akan bertindak segera memanggil menteri, timbalan menteri dan ketua setiausaha kementerian bagi mendapatkan penjelasan tuntas.

"Selain itu, PH juga boleh memastikan setiap Rang Undang-Undang (RUU) kritikal kepada rakyat seperti RUU Belanjawan 2022 akan dirundingkan secara dasar dan bersama antara dua pihak sebelum dipersetujui kerajaan serta PH.

"Sekiranya rundingan sudah diadakan menerusi jawatankuasa Pemandu dilantik dalam kalangan blok kerajaan dan PH dengan kami masih tidak bersetuju dengan intipati RUU berkenaan, tiada masalah untuk kami bersikap berkecuali sewaktu pengundian dilaksanakan," katanya.

Ditanya kesan status MoU berkenaan sekiranya beberapa pelan transformasi dijanjikan kerajaan gagal memenuhi tempoh garis masa ditetapkan, Sivarasa menegaskan perkara itu boleh dirunding semula dan diberikan pelanjutan masa sekiranya bukan melibatkan isu fundamental.

Sebaliknya, sekiranya beberapa pelan transformasi penting seperti komitmen kerajaan meluluskan tambahan peruntukan RM45 bilion dalam Pelan Pemerkasaan Covid-19 tidak disertakan dalam RUU Belanjawan 2022, Sivarasa menegaskan PH bakal mempertimbangkan tarik diri daripada perjanjian MoU berkenaan.

"Kita memahami kekangan kerajaan untuk melaksanakan beberapa pelan transformasi dirancang mengikut tarikh garis masa ditetapkan dan bersedia berunding semula sekiranya perkara itu bukan isu besar dan mustahak.

"Namun sekiranya isu itu penting dan tidak dititikberatkan kerajaan, kita akan tarik diri.

"Apapun, saya yakin, menerusi perbincangan berterusan ahli jawatankuasa Pemandu dilantik daripada blok kerajaan dan PH, kedua-dua pihak pastinya akan berusaha memastikan setiap terma perjanjian MoU yang dimeterai akan dicapai mengikut tempoh garis masa ditetapkan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca