SHAH ALAM - Selepas sebulan berakhirnya kemelut politik negara, UMNO menerima tamparan apabila Tengku Razaleigh Hamzah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat parti itu. Ahli politik veteran UMNO itu dilaporkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas sebulan berakhirnya kemelut politik negara, UMNO menerima tamparan apabila Tengku Razaleigh Hamzah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat parti itu.

Ahli politik veteran UMNO itu dilaporkan melepaskan jawatan tersebut melalui sepucuk surat yang diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lalu.

"Dengan surat ini saya memohon untuk berundur daripada jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, jawatan yang tidak berperlembagaan, berkuat kuasa mulai tarikh surat ini.

"Saya suka juga mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi saya kesempatan memainkan peranan kecil dalam perjalanan parti kita," kata Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam surat yang dialamatkan kepada Presiden UMNO.

Surat tersebut disaksikan beberapa media melalui satu sumber terdekat.

Difahamkan peletakan jawatan beliau ada kaitan dengan kekecewaannya apabila UMNO masih menjalinkan hubungan dengan parti Bersatu walaupun Perhimpunan Agung UMNO 2020 meluluskan usul 'No Anwar, No Bersatu, No DAP'.

"Bolehkah mereka (pemimpin Bersatu) ini bantu parti kita tebus kekalahan kita dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) dan akhiri Parlimen yang tergantung? Bolehkah kita bergantung harap kepada mereka ini memberi kemenangan kepada parti kita dalam PRU15 nanti?," soal Ku Li dalam surat tersebut.

Ketidakpuasan Tengku Razaleigh dalam beberapa keputusan UMNO bukan rahsia lagi malah dianggap seolah-olah ribut dalam cawan.

Bulan lalu, satu sumber terdekat Ku Li mendedahkan kekecewaan ahli Parlimen paling lama berkhidmat itu apabila pernah ditawarkan jawatan Perdana Menteri mewakili UMNO sebanyak dua kali sebelum keputusan itu beralih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Biro politik UMNO telah datang bertemu Ku Li menawarkan beliau sebagai calon Perdana Menteri, dua bulan yang lalu, namun tidak sangka ada calon lain pada saat akhir,” kata satu sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh kepada Sinar Harian.

Ujar sumber tersebut, Ku Li telah dipujuk oleh Biro Politik UMNO untuk menjadi calon Perdana Menteri sebanyak dua kali kerana mereka mendapati tidak ada pimpinan daripada UMNO ketika itu yang boleh diketengahkan.

"Yang datang menemui Ku Li ialah Ahmad Zahid sendiri, timbalannya (Datuk Seri Mohamad Hasan), Ketua Pemuda UMNO (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki) dan Setiausaha Agung BN (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) serta Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Beliau (Ku Li) tidak marah atau menganggap itu satu pembelotan atau pengkhianatan namun apa yang berlaku amat tidak baik untuk masa depan parti itu nanti,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca