PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memilih mereka yang setia kepada perjuangan parti selain mengutamakan golongan wanita dan anak muda sebagai calon yang akan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah berkenaan dilakukan kerana PKR tidak mahu lagi melalui proses seperti Langkah Sheraton ekoran ramai pemimpinnya melompat parti.
"PKR akan menilai kredibiliti, penglibatan dalam masyarakat, pendidikan serta kedudukan kewangan secara menyeluruh setiap individu yang dicalonkan.
"Kami juga akan menampilkan calon-calon pelbagai kaum dari seluruh Malaysia sebagaimana tradisi yang dilakukan sebelum ini,” katanya dalam wawancara eksklusif Sinar Harian bersama beliau dan Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang di Ibu Pejabat PKR di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi menegaskan, PKR memiliki reputasi tersendiri dalam aspek pemilihan calon kerana calon-calon yang ditampilkan sebelum ini datang daripada satu parti pelbagai kaum yang bersifat nasional.
"Selain itu, aspek anak muda dan wanita juga amat penting. Representasi wanita telah mencapai beberapa kejayaan misalnya kita mencipta sejarah meletakkan timbalan perdana menteri wanita yang pertama.
"Kami juga ada beberapa naib presiden daripada kalangan wanita yang memegang jawatan nasional.
"Tetapi ia tidak boleh berhenti di situ kerana isu kedudukan wanita dalam representasi sangat penting,” katanya.
Memperincikan perkara itu, Nik Nazmi memberitahu, calon wanita juga perlu diletakkan di kawasan yang bersifat boleh menang atau winnable untuk berlaku adil kepada mereka.
"Kami tak boleh bangga isytihar PKR sudah capai 30 peratus calon wanita jika 29 peratus daripadanya diletakkan di kawasan yang sukar menang, yang akhirnya kemenangan cuma satu peratus.
"Jadi kami harus berlaku adil kepada calon wanita dengan meletakkan mereka di kawasan yang bersifat boleh menang,” katanya.
Kumpul mahasiswa
Mengenai calon muda pula, Nik Nazmi menjelaskan, beliau dan Lih Kang adalah antara produk calon anak muda apabila mereka bertanding pada tahun 2008 sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing pada umur 26 dan 27 tahun.
Ujarnya, selepas itu, parti berterusan menambah anggota-anggota muda yang mana Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga ada mengumpul pimpinan dan mahasiswa muda.
"Saya yakin ini antara perkara yang parti akan diambil kira supaya ada kesinambungan dalam perwakilan parti dan mereka mampu memegang jawatan penting di peringkat pusat.
"Pada hari ini di peringkat parti, ramai naib presiden dan jawatan kanan yang tergolong dalam kalangan mereka yang berumur sekitar 40-an.
"Jadi ini merupakan kekuatan yang tidak ada dalam parti lain, kita akan berterusan menaikkan calon-calon yang terbaik untuk PRU15,” katanya.
Menurutnya lagi, pemilihan calon akan diputuskan sepenuhnya oleh Biro Politik dan Presiden parti dan ketika ini Jabatan Pilihan Raya Pusat PKR juga telah pun mengumpul curriculum vitae (CV) dan resume calon-calon berkenaan.
Sementara itu, Lih Kang berkata, dari segi pemilihan calon, PKR sememangnya akan mengambil kira semua aspek termasuk mengutamakan calon wanita dan anak muda.
Katanya, PKR mengambil pendekatan free for all dalam mendapatkan pencalonan kerana jika terlalu protokol dan hanya serahkan kepada cabang atau negeri untuk tetapkan calon, mungkin cabang itu tidak akan ada calon wanita atau anak muda.
Justeru itu, beliau menegaskan, PKR bukan hanya menetapkan bahawa cabang dan negeri boleh mencalonkan nama bahkan ahli parti juga boleh mencalonkan nama sendiri.
"Kami akan adakan jawatankuasa saringan untuk memilih calon yang sesuai. Ia merupakan pendekatan yang lebih inklusif berbanding parti lain.
"Saya lihat ini boleh memberikan tarikan kepada orang ramai sebab kalau anak muda hendak masuk ke parti yang mereka tubuhkan, mungkin pada masa dia nak jadi calon boleh mencecah umur 50 ke 60-an baru dapat jadi calon ADUN.
"Tetapi jika kita mengambil pendekatan seperti ini, anak muda dalam 20 ke 30-an boleh menjadi calon ADUN atau Parlimen,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca