PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, rundingan kerusi dalam Pakatan Harapan (PH) dan sesama parti komponen ketika ini sudah hampir selesai selain persiapan juga dilakukan dari segi logistik, bendera dan sebagainya.
"Rundingan kerusi di peringkat PH sudah 95 peratus selesai dan perlu ambil sedikit masa lagi untuk selesaikan sepenuhnya.
"Jumlah kerusi yang akan ditandingi PKR dalam PRU15 juga dijangka meningkat berbanding PRU lalu,” katanya dalam wawancara eksklusif Sinar Harian bersama beliau dan Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad di Ibu Pejabat PKR di sini pada Selasa.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, jangkaan peningkatan jumlah kerusi yang akan ditandingi PKR itu berasaskan perkembangan terkini yang menyaksikan terdapat parti komponen keluar daripada PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Kalau kita lihat kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Bersatu dalam PRU lepas misalnya di Semenanjung, waktu itu Bersatu bertanding sebanyak 52 kerusi, PKR (51), DAP (39) dan Amanah sebanyak 20 kerusi.
"Tapi dalam PRU akan datang, Bersatu sudah bukan komponen, jadi itu juga satu aspek yang akan dibincangkan dengan parti-parti komponen. Jadi saya yakin kita akan bertanding lebih kerusi dalam PRU15 nanti,” katanya.
Nik Nazmi menambah, selain daripada bilangan kerusi bertanding, PKR juga perlu melihat kepada kemampuan untuk menang.
Menurutnya, secara tradisi semasa PRU, PKR lazimnya bertanding di banyak kerusi kerana mereka boleh masuk semua kawasan.
"Contohnya, agak sukar untuk Pas bertanding di Bukit Bintang dan DAP pula bertanding di Pekan. Jadi kitalah dulu yang selalu kena masuk banyak kawasan yang orang lain tidak mahu.
"Tetapi kita juga kena pastikan ada kerusi-kerusi teras yang dirasakan boleh menang berdasarkan gerak kerja di bawah dan tinjauan untuk memastikan parti akan terus mempunyai teras dalam PRU akan datang,” katanya.
Jelas beliau, PKR juga menjadi satu-satunya parti yang memiliki 222 cabang di kesemua kawasan Parlimen sekali gus memberi kelebihan kepada parti itu untuk meletakkan calon di mana-mana kawasan.
Klik di sini untuk terus membaca