DALAM sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Perdana Menteri dilaporkan sebagai menjawab satu soalan di Parlimen bahawa pihak polis telah merekodkan 2,426 kes bunuh diri sejak 2018. Daripada jumlah itu, dilaporkan 83.68 peratus adalah lelaki. 60 peratus daripada keseluruhan adalah mereka di bawah usia 40 tahun.
Pecahan mengikut etnik pula, 807 etnik Cina, India (462) dan Melayu (362), manakala 19 tidak diklasifikasikan etnik mangsa. Saya mengandaikan baki daripada jumlah 2,426 iaitu 776 adalah warga asing kerana tidak diberi pecahan dalam jawapan tersebut.
Daripada statistik itu, saya cuba menyelidik berapa sebenarnya kes-kes bunuh diri yang berlaku sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Adakah ia lebih tinggi daripada tahun sebelum pandemik. Kita sedar bahawa trend itu bukan khas hanya di Malaysia sahaja.
Cuma saya kurang pasti kenapa laporan diberikan Perdana Menteri itu bermula dari tahun 2018, sedangkan yang menjadi kegusaran ramai adalah peningkatan laporan kes bunuh diri sejak Februari 2020 iaitu selepas kemurungan, ramai pihak yang terpaksa berkurung di rumah akibat pandemik, juga akibat impak daripada hilang pekerjaan dan tidak dapat keluar mencari rezeki.
Atas sebab itu, saya cuba membuat perbandingan dengan tahun-tahun selepas pandemik melanda negara. Berdasarkan satu laporan yang dibuat pada 1 Julai 2021 oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), data merekodkan 609 kes bunuh diri keseluruhan pada tahun 2019, manakala tahun 2020 pula jumlah kes bunuh diri meningkat sebanyak 631 kes.
Tetapi yang merisaukan kita adalah apabila dilaporkan bahawa antara Januari dan Mei tahun ini sahaja, jumlah kes bunuh diri adalah 468 kes. Secara purata dua kes dilaporkan setiap hari sejak 2019 hingga Mei 2021.
Mungkin lebih tinggi jika kita tahu butiran terkini. Sekiranya tidak dimaklumi secara terbuka, masyarakat mungkin membuat pelbagai spekulasi. Saya sendiri sudah pasti akan membuat ekstrapolasi sehingga penghujung tahun ini untuk mendapat satu unjuran jumlah di hujung tahun 2021. Mungkinkah jumlahnya berlipat kali ganda daripada jumlah kes tahun 2020?
Gembleng tenaga
Persoalannya, apa salahnya untuk kita melaporkan insiden yang berlaku dalam negara secara telus dan terbuka. Tujuannya adalah untuk kita mencari penyelesaian bersama. Ini bukan masanya menyalahkan sesiapa.
Sekurang-kurangnya apabila rakyat diberi gambaran sebenar, masyarakat dapat menggembleng tenaga bagi membantu mana-mana pihak yang telah hilang punca dan mungkin sudah tidak mampu menghadapi apa juga kesusahan yang membuat mereka memutuskan untuk mengambil nyawa sendiri.
Lebih menyayat hati apabila saya membaca tulisan sahabat saya, Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi bertajuk A great Malaysian tragedy. Beliau menceritakan bagaimana ada ibu bapa yang membuat keputusan untuk bukan sahaja membunuh diri mereka sendiri tetapi turut mengambil nyawa anak-anak.
Ia adalah tragedi buruk yang lebih buruk daripada kita menghadapi pandemik hari ini.
Bukan satu kes tetapi beliau menulis mengenai empat keluarga yang berkesudahan dengan kisah pilu. Kenapa tragedi seperti itu boleh berlaku dalam negara seperti Malaysia?
Apakah sistem kebajikan dan perlindungan sosial atau social safety net kita telah gagal membantu rakyat yang menghadapi masalah ini? Atau adakah sistem yang terlalu mementingkan birokrasi sehingga rakyat yang berada dalam kesusahan mencari jalan penyelesaian mudah menamatkan riwayat hidup mereka.
Kita semua rakyat Malaysia yang masih hidup ini bertanggungjawab bertanya di mana silapnya sistem dalam negara kita sehingga kes bunuh diri boleh meningkat sebegini banyak. Saya berharap ada wakil rakyat yang sedang bersidang ketika ini mengetengahkan soal ini di Parlimen agar pihak kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian.
Kalau sudah ada, sila uar-uarkan kepada khalayak tentang apa yang mereka perlu buat sekiranya semua ikhtiar untuk terus hidup telah gagal diusahakan.
Kita tidak berhasrat menggalakkan rakyat mengharapkan semuanya daripada kerajaan tetapi sekurang-kurangnya satu sistem perlindungan sosial yang lebih menyeluruh dapat kita bina terutama kepada golongan bekerja sendiri yang telah hilang punca pendapatan bukan kerana mereka malas tetapi disebabkan pandemik.
Pada waktu ini juga saya berdoa dan saya pasti semua para pengurus pusat zakat telah bergerak dengan lebih proaktif mencari dan membantu rakyat yang telah hilang punca pendapatan dan tidak menunggu untuk mereka ini tercatat dalam senarai asnaf atau untuk mereka mengisi pelbagai borang yang merumitkan.
Saya pasti sistem jaminan dan perlindungan sosial dalam Islam seperti zakat, wakaf dan lain-lain telah digerakkan bagi menentukan tidak ada lagi orang Islam yang membunuh diri sebagai jalan terakhir kerana gagal mencari ikhtiar untuk terus hidup.
Saya juga pasti pegawai-pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah melipat gandakan usaha untuk mengenal pasti siapa antara rakyat memerlukan bantuan.
Data sedia ada melalui MyKasih dan pelbagai lagi portal maklumat serta data dihasilkan oleh jabatan statistik setiap minggu boleh digunakan untuk dibuat korelasi bagi memantau indikator-indikator yang bakal menjadi masalah dalam negara dan harus ditangani segera.
Mungkin pada masa seperti ini juga, Majlis Fatwa Kebangsaan dapat bermuzakarah bagi membincangkan hukum memberi zakat kepada orang bukan Islam bagi tujuan dakwah. Kalau sudah ada keputusan, ia harus disebarluaskan agar keindahan Islam dapat dikongsi bersama semua umat tidak kira agama.
Semoga semua rakyat Malaysia terus dipelihara Tuhan.
Adakah sistem yang terlalu mementingkan birokrasi sehingga rakyat yang berada dalam kesusahan mencari jalan penyelesaian mudah menamatkan riwayat hidup mereka.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca