SHAH ALAM - Negeri Jelapang Padi, Kedah merupakan satu-satunya negeri yang masih masih kekal di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ekoran tahap penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang menempatkan pesakit Covid-19 masih... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Negeri Jelapang Padi, Kedah merupakan satu-satunya negeri yang masih masih kekal di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ekoran tahap penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang menempatkan pesakit Covid-19 masih melebihi 100 peratus.

Dalam pengumuman peralihan beberapa negeri ke fasa seterusnya PPN oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, Kedah tidak tersenarai sebaliknya kekal dalam Fasa 1 PPN.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, Kedah kekal di Fasa 1 PPN disebabkan kebanyakan daripada pesakit Covid-19 di ICU mengambil tempoh tiga minggu hingga satu bulan untuk sembuh.

"Mereka lambat sembuh, sebab itu penggunaan katil di ICU kita sentiasa tinggi, saya difahamkan Ahad ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan datang ke Kedah untuk berbincang mengenai keadaan katil ICU di semua hospital kerajaan.

"Antara perbincangan itu nanti adalah mencari kaedah yang sesuai sama ada menambah bilangan katil di ICU atau ada kaedah lain bagi membantu Kedah dapat ke Fasa Dua PPN," katanya.

Dalam pengumuman semalam, Ismail Sabri mengumumkan Negeri Sembilan, Pahang dan Johor masing-masing akan beralih kepada Fasa 4, Fasa 3 dan Fasa 2 PPN berkuatkuasa Jumaat ini.

Menurut Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, kebenaran peralihan fasa bagi tiga negeri terbabit serta kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk beberapa sektor dibuat berdasarkan penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil ICU serta peratusan lengkap divaksinasi.

"SOP bagi negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini dan keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my," katanya.

Untuk rekod, negeri Fasa 2 terdiri daripada Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sabah, Johor dan Melaka.

Diikuti negeri Fasa 3, Pahang, Perlis, Terengganu, Sarawak dan seterusnya negeri Fasa 4 adalah Labuan dan Negeri Sembilan.

Ismail Sabri

Dalam pada itu, turut berkuatkuasa esok, semua kedai runcit, pasar raya mini, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi daripada jam 6 pagi hingga jam 12 malam.

"Operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness) dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang sudah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober ini.

"Pusat, premis atau produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober ini dengan semua pengusaha, operator, pelawat dan pengunjung lengkap divaksin," katanya lagi.

Ujarnya, pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan serta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat KKM.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan menyeru agar rakyat dapat memanfaatkan kelonggaran yang telah diberi dengan penuh rasa tanggungjawab di samping mematuhi setiap SOP ditetapkan seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri.

Klik di sini untuk terus membaca