SHAH ALAM – Sudah tiba masanya bilangan subjek dan sukatan pelajaran untuk murid sekolah rendah dikurangkan atau dijajarkan semula demi melahirkan generasi yang lebih kreatif, inovasi dan berdaya maju. Pensyarah Fakulti Pendidikan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM – Sudah tiba masanya bilangan subjek dan sukatan pelajaran untuk murid sekolah rendah dikurangkan atau dijajarkan semula demi melahirkan generasi yang lebih kreatif, inovasi dan berdaya maju.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, sistem pendidikan sekolah rendah ketika ini terlalu terikat dengan kandungan buku teks, semata-mata untuk memenuhi keperluan peperiksaan.

Dr Anuar Ahmad

Menurutnya, keadaan itu menjadikan proses pembelajaran murid terlalu berat dan tidak menyeronokkan disebabkan wujud tekanan.

"Subjek bagi sekolah rendah di Malaysia terlalu banyak jika dibandingkan dengan Singapura, Indonesia dan Jepun. Bahkan kandungan setiap subjek juga banyak.

"Kesimpulannya, kandungan kurikulum sekolah rendah di negara kita adalah berat dan menjadi beban kepada murid. Sampai bila kita mahu lahirkan pelajar yang hafal buku teks?

"Sedangkan fasa sekolah rendah adalah masa untuk murid-murid ini meneroka persekitaran dan memerlukan banyak interaksi melalui aktiviti yang lebih santai.

"Ini kerana, asas pendidikan masa depan adalah pendidikan yang meningkatkan minat pelajar supaya mereka menjadi lebih kreatif dan inovatif,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, fasa sekolah rendah seharusnya fokus kepada subjek teras sahaja.

"Bagi murid tahap satu (Tahun 1-3) cukup sekadar subjek yang meliputi 3M (membaca, menulis dan mengira) dan penambahan subjek keagamaan atau moral.

"Bagi murid tahap dua (Tahun 4-6), subjek Sains yang mudah diperlukan bagi mendedahkan pelajar kepada asas ilmu sains.

"Pendekatan ‘mengajar kurang, belajar banyak’ amat penting sebagaimana amalan di Singapura. Sebab itu tidak perlu banyak subjek, guru juga banyak masa untuk beraktiviti dengan pelajar,” hujahnya.

Beliau menambah, guru-guru yang terlibat dengan pemansuhan subjek, boleh mengajar subjek sedia ada dan ini menjadikan bilangan guru lebih ramai seterusnya kapasiti pelajar di dalam bilik darjah juga dapat dikurangkan.

Katanya, ia sejajar dengan anjuran Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu 21 murid bagi setiap kelas.

"Malaysia patut capai sasaran 21 murid bagi setiap kelas. Banyak negara lain sudah lama capai. Anak-anak mereka belajar dengan selesa dan gembira.

"Sampai bila kita sanggup lihat anak-anak kita yang masih kecil bersesak-sesak belajar di dalam kelas selama lima jam sehari?” soal beliau.

Dalam pada itu, Tokoh Akademik, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyifatkan jumlah subjek sedia ada bagi sekolah rendah sudah memadai.

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

Namun, beliau tidak menolak bahawa silibus dan kaedah pengajarannya perlu dipertingkat agar lebih menyeronokkan, dalam masa sama menambah ilmu kepada murid.

Ujarnya, semua subjek yang ditetapkan sudah dikaji oleh pegawai kurikulum kerajaan dan semuanya ada falsafah tersendiri.

"Jika subjek mahu dikurangkan, akan timbul isu mana satu subjek yang perlu digugurkan. Sebenarnya jumlah bukan isu besar tetapi kaedah pengajaran yang mesti diberi perhatian.

"Subjek untuk tahap satu juga tidak banyak manakala subjek untuk tahap dua ditambah sesuai perkembangan umur.

"Dalam hal ini, guru wajar diberi kebebasan berkarya untuk memastikan proses pengajaran lebih menyeronokkan dengan pelbagai aktiviti,” kata Alimuddin.

Klik di sini untuk terus membaca