BARU-BARU ini Australia membatalkan kontrak bernilai berbilion-bilion dolar pembelian kapal selam nuklear Perancis sehingga mencetuskan krisis diplomatik antara kedua-dua buah negara. Krisis itu turut mencetuskan perbalahan antara Paris... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-BARU ini Australia membatalkan kontrak bernilai berbilion-bilion dolar pembelian kapal selam nuklear Perancis sehingga mencetuskan krisis diplomatik antara kedua-dua buah negara.

Krisis itu turut mencetuskan perbalahan antara Paris dengan Washington tetapi ia kemudian diredakan apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron menghubungi rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Joe Biden melalui telefon pada Rabu lalu.

Perbualan telefon yang berlangsung selama kira-kira 30 minit itu adalah komunikasi yang pertama melibatkan kedua-dua pemimpin sejak Paris memanggil pulang dutanya dari AS.

Tindakan memanggil pulang itu dilakukan selepas Amerika mengumumkan satu urusan perniagaan bagi membina kapal-kapal selam nuklear Australia.

Ia sekali gus menyebabkan urusan Perancis untuk menjual kapal-kapal selam konvensional berkuasa diesel kepada Australia dibatalkan.

Dalam satu kenyataan bersama yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin itu, Macron dan Biden berjanji untuk melakukan rundingan secara mendalam apabila mereka bertemu di Eropah pada Oktober depan.

Berikutan kenyataan itu juga, Macron mengarahkan duta Perancis kembali semula ke Washington pada minggu depan.

Perancis berasa marah apabila mengetahui berita Australia akan bekerjasama dengan AS dan United Kingdom (UK) bagi membolehkan negara kanggaru itu mewujudkan angkatan kapal selamnya yang berkuasa nuklear.

Perancis berasa kecewa ekoran tindakan Australia tidak mahu meneruskan pembelian kapal selam buatannya. - Foto AFP

Ini adalah kerana pada 26 Disember 2016, Perancis dan Australia menandatangani satu perjanjian yang dikenali sebagai 'kontrak pada abad ini' berhubung dengan pembelian dan penjualan kapal selam konvensional.

Menerusi perjanjian tersebut, sebuah syarikat yang sebahagiannya milik kerajaan Perancis iaitu Naval Group akan membina 12 kapal selam konvensional bernilai 31 bilion Euro (RM151.88 bilion).

Namun, jumlah itu dinilai semula dan menjadi 56 bilion Euro (RM274.36 bilion) dengan mengambil kira kadar inflansi sepanjang program pembinaan kapal selam itu.

Berdasarkan kepada perjanjian itu juga kedua-dua negara akan bekerjasama selama 50 tahun dan kapal selam-kapal selam tersebut akan dibina di limbungan kapal di Adelaide, Australia.

Jangkaan awal ialah kapal selam konvensional pertama itu akan siap dibina pada tahun 2030.

Projek pembinaan kapal selama dijangka akan mewujudkan 2,800 peluang pekerjaan di Australia, menurut kerajaan negara itu.

Syarikat Naval Group telah menyelesaikan kerja-kerja awal pembinaan kapal selam itu melibatkan kos sebanyak 900 juta Euro (RM4.4 bilion) tetapi ia tidak mengalami kerugian ekoran pengumuman terbaharu Ausralia tersebut.

Ini adalah kerana negara kanggaru itu telah melangsaikan pembayaran tersebut.

Namun, Australia mendakwa syarikat dari Perancis itu tidak mematuhi jadual pembinaan kapal selam dan melanggar bajet yang ditetapkan.

Lewat bulan Jun lalu, semasa Perdana Menteri Australia, Scott Morrison melawat Paris, Macron berjanji bahawa pihaknya akan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap pembinaan kapal selam tersebut.

Bagaimanapun, Australia membuat 'pusingan U' pada 15 September lalu apabila Morrison mengumumkan negara itu akan mendapatkan kapal selam berkuasa nuklear dari AS.

Kapal-kapal selam itu akan diperoleh melalui perikatan baru pertahanan melibatkan Australia, UK dan AS yang dikenali sebagai AUKUS.

Berikutan tindakan negara kanggaru itu, Paris turut membatalkan mesyuarat yang sepatutnya berlangsung antara Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly dengan Setiausaha Pertahanan UK, Ben Wallce.

Morrison turut menyatakan bahawa kerajaan Perancis sepatutnya mengetahui bahawa Australia mempunyai perasaan bimbang yang mendalam terhadap kapal-kapal selam buatan Perancis.

Namun, kerajaan Perancis menganggap tindakan Australia itu sebagai 'satu tikaman dari belakang'.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Naval Group, Pierre Eric Pommellet dilaporkan berkata, pihaknya akan menghantar bil berhubung jumlah pampasan yang perlu dibayar Australia kerana membatalkan pembelian kapal-kapal selam tersebut. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca