EVOLUSI permotoran kereta mewah sentiasa mendapat perhatian ramai pihak. Permintaan kereta mewah dari Jerman, Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Itali kekal dalam carta perlumbaan di seluruh dunia.
Pengeluar kereta mewah jenama BMW, Mercedes Benz, Daimler, Rolls-Royce, Jaguar, Ford dan Ferrari sentiasa percaya penguasaan mereka di pasaran permotoran global akan kekal selama-lamanya.
Pengeluar kereta mewah di Barat tidak pernah percaya China akan muncul kuasa nombor satu di pasaran kereta mewah dunia.
China sering dilabel tukang ciplak terbaik dunia. Kereta keluaran China tidak pernah dianggap pencabar untuk memecahkan monopoli pengeluar kereta mewah Eropah atau AS.
Pengeluar kereta jenama tradisi seperti Mercedes Benz, BMW, Ferrari, Rolls-Royce dan Jaguar percaya pengeluar kereta mewah Jepun atau Korea Selatan seperti Toyota, Nissan serta Mazda juga tidak mampu mencabar penguasaan mereka.
Justeru, penulis agak terpempan apabila membaca pautan saluran berita atas talian berbahasa Inggeris berpusat di Singapura, Channel NewsAsia (CNA) bertajuk Why China is on course to build the best cars in the world?
Penulis tertanya-tanya adakah China mampu menghasilkan kereta terbaik dunia menandingi kualiti Jerman, Britain, AS atau Itali? Dunia sentiasa mempercayai kualiti kereta buatan Jerman dan Britain. Penulis percaya Jepun hampir setanding negara Barat. Bolehkah China menjadi kuasa tunggal dalam pasaran kereta mewah dunia?
Angka rasmi Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM) mengesahkan China telah mengalahkan AS sebagai pengeluar automotif tertinggi di dunia pada 2009. Setahun selepas itu, CAAM mengumumkan penjualan tahunan meningkat 46 peratus dari tahun ke tahun. Penjualan kereta di China melonjak kepada 13.6 juta unit setahun.
Berdasarkan fakta sejarah, kenderaan pengeluaran China pertama berbentuk trak diberi nama ‘Jiefang CA-30’ oleh First Automobile Works (FAW) hasil kerjasama dengan Rusia pada 1956. Selepas lebih 52 tahun, China mengatasi AS berdasarkan penjualan kenderaan persendirian. Namun, kereta China sering dianggap klon negara Barat yang dijual dengan harga murah.
Begitu pun, penulis sentiasa percaya China banyak meneliti pesanan daripada pemimpin paling berpengaruh sepanjang zaman, Rasulullah SAW, agar umat manusia sentiasa mengkaji untuk meningkatkan diri dan melakukan kebaikan serta manfaat kepada orang lain.
ALLAH SWT berfirman dalam surah Al-‘Imran ayat [3:104] bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu, satu golongan yang mengajak (manusia) kepada bakti dan menyuruh (mereka berbuat) kebaikan dan melarang (mereka) daripada kejahatan, dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat kejayaan.”
China kini merancang untuk menjadi pengeluar terbesar dunia, namun kualiti mewah dengan harga berpatutan. Kereta keluaran China kini dianggap memiliki ciri-ciri inovatif dan reka bentuk setanding kereta dari Barat.
Penulis percaya kualiti tinggi sesebuah kenderaan bergantung kepada kebolehpercayaan dan kualiti binaan. Pembeli dihadiahkan dengan keselesaan pemanduan, keseragaman kemasan cat, teknologi audio dan ketahanan kereta secara keseluruhan.
Penulis sangat berharap suatu hari nanti Proton sekurang-kurangnya mampu menandingi kualiti kereta Jepun atau Korea Selatan. Jurutera dan pasukan teknikal tempatan perlu meningkatkan kemahiran ke tahap lebih tinggi.
Pekerja berkemahiran tinggi sangat penting diwujudkan untuk mengurangkan kos pengeluaran kerana mereka perlu melaksanakan kerja pembuatan dan pemasangan kenderaan secara efisien demi memastikan kualiti kereta.
Kesimpulannya, penulis percaya kedegilan China untuk mendominasi pasaran kereta mewah dunia boleh jadi kenyataan dalam tempoh terdekat.
Penulis berharap kejayaan China akan menjadi faktor pendorong kepada Proton untuk sekurang-kurangnya meningkatkan kualiti mereka.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Klik di sini untuk terus membaca