LEBIH 300 perompak, penculik, pembunuh dan penjenayah tegar yang mengganas di Kuala Lumpur berjaya ditumpaskan oleh bekas pegawai polis, Sarjan Nazaruddin Mohd Zain bersama rakan sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1980-an.... Klik di sini untuk terus membaca

LEBIH 300 perompak, penculik, pembunuh dan penjenayah tegar yang mengganas di Kuala Lumpur berjaya ditumpaskan oleh bekas pegawai polis, Sarjan Nazaruddin Mohd Zain bersama rakan sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1980-an.

Nazaruddin atau lebih dikenali Sabu, 75, berkata, beliau antara salah seorang anggota polis yang cukup digeruni penjenayah tegar suatu ketika dahulu.

"Ada dalam kalangan penjenayah menggelar diri saya sebagai 'Malaikat Maut’ kerana kemampuan saya mengendalikan senjata api serta kemahiran menembak tepat ke arah suspek,” katanya ketika ditemui dalam majlis menyantuni veteran PDRM di Taman Ehsan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Polis Skuad 69 PDRM, Datuk Alias Abd Rahman (kiri) bersama Shaharon Anuar (dua kiri) meraikan hari lahir Sabu.

Boleh dikatakan tidak akan ada peluang kedua buat mana-mana penjenayah yang jatuh dalam genggaman pesara polis tersebut setiap kali beliau terlibat dalam operasi.

"Saya tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan sesuatu tembakan kepada penjenayah kecuali dalam keadaan diri dan nyawa kita diancam musuh.

Sabu mengimbau kembali kisah ketika beliau berkhidmat dalam PDRM.

"Nyawa pasti akan melayang jika kita tidak mempertahankan diri daripada musuh. Tugas menumpaskan penjenayah adalah amanah dan tanggungjawab saya sebagai anggota polis,” katanya tegas.

PELURU TEMBUS TENGKUK

Sabu merupakan antara 76 pegawai dan anggota polis pertama yang menyertai Unit Tindakhas (UTK) apabila pasukan elit itu ditubuhkan pada tahun 1975.

Antara tugasan yang tidak dapat dilupakan beliau hingga sekarang adalah penglibatannya dalam Operasi Khas di utara Semenanjung Malaysia pada tahun 80-an.

"Dalam operasi tersebut, pasukan saya diarahkan untuk mencari seorang suspek setelah dikesan di lokasi tersebut.

"Ketika sedang mengepung kawasan itu, salah seorang rakan suspek telah melepaskan tembakan dari arah belakang dan sebutir peluru menembusi bahagian tengkuk saya,” katanya.

Beliau berkata, rakan sepasukan PDRM segera melepaskan tembakan balas terhadap kumpulan tersebut.

"Walaupun kumpulan suspek itu berjaya ditumpaskan, namun saya berasa sebak apabila empat rakan anggota polis telah terkoban dalam operasi tersebut,” katanya.

Sabu menunjukkan peluru menembusi tengkuknya.

Sabu berkata, beliau dihantar ke sebuah hospital di Pulau Pinang, sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

"Syukur, nyawa saya panjang, selepas tiga hari berada di hospital saya mengambil keputusan untuk menyambung tugas di lapangan,” katanya.

Selain itu, Sabu berkata, beliau juga pernah terlibat dalam kes tebusan yang berlaku di Penjara Pudu, Kuala Lumpur pada tahun 1986.

"Saya bersama rakan sepasukan UTK terlibat dalam operasi menyelamat seorang doktor dan pembantunya yang dijadikan tebusan oleh sekumpulan banduan bersenjata di Penjara Pudu selama enam hari iaitu dari 17 hingga 22 Oktober 1986,” katanya.

Kejadian tersebut berlaku pada waktu pagi, 17 Oktober 1986, di mana ketika itu seorang doktor, Radzi Jaafar bersama dua orang pegawai perubatan sedang melakukan pemeriksaan kesihatan rutin di klinik penjara itu.

Secara tiba-tiba, mereka diserang dan dijadikan tebusan oleh enam orang banduan dan yang diketuai oleh seorang penjenayah yang agak menggerunkan ketika itu, Jimmy Chua.

Jimmy Chua bersama lima penjenayah lain berjaya ditahan.

Selain Chua atau nama penuhnya Chua Chap Seng, lima lagi penjenayah yang terlibat dalam insiden itu adalah Ng Lai Huat, Sin Ah Lau, Lam Hock Sung,

Yap Chee Keong dan Phang Boon Ho yang mana kesemuanya ditahan reman kerana melanggar Akta Senjata Api.

Chua merupakan warga Singapura yang ditempatkan di Penjara Pudu selepas menembak mati seorang anggota polis iaitu Konstabel Mohd Yassin Ismail pada 8 Februari 1984.

Sebelum itu, dia juga terlibat dalam beberapa aktiviti jenayah yang lain, termasuk memiliki senjata api dan bertindak sebagai ketua kongsi gelap.

Kumpulan itu dikatakan menggunakan tumit kasut yang runcing sebagai senjata serta alat-alat lain yang sudah diubah suai. Mereka kemudian bertindak mengarahkan pembantu perubatan Penjara Pudu, beberapa banduan dan warden yang menjaga klinik untuk meninggalkan klinik tersebut.

Warden yang terakhir meninggalkan klinik tersebut bagaimanapun bertindak pantas dengan menguncikan pintu untuk mengelakkan enam tersebut melarikan diri.

Sabu berkata, sepasukan anggota UTK lalu diarahkan untuk melakukan satu perancangan rapi bagi menamatkan krisis tersebut.

Seorang penjenayah ditembak mati di Kuala Lumpur hasil penglibatan Sabu bersama pasukan PDRM.

"Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi arahan agar tidak berlaku sebarang pertumpahan darah dan tebusan hendaklah dibebaskan dengan selamat," ceritanya.

Beliau berkata, walaupun arahan tersebut dianggap mustahil tetapi ia perlu dilaksanakan sebaiknya demi menyelamatkan tebusan.

"Dalam tempoh empat hari sebelum kami melancarkan serangan, setiap masa yang ada kami gunakan untuk berlatih membebaskan dua mangsa tersebut," katanya.

Sabu berkata, seramai 12 anggota UTK yang hanya bersenjatakan rotan akhirnya berjaya melaksanakan misi tersebut.

"Peluang muncul apabila salah seorang penjenayah terlibat ‘berpaling tadah’ dengan membuka pintu pagar bangunan yang menempatkan tebusan, apalagi kita menyerbu masuk ke tempat itu.

"Saya orang pertama yang masuk diikuti rakan-rakan yang lain. Dalam hanya beberapa minit, kedua-dua tebusan berjaya diselamatkan manakala kesemua penjenayah pula diberkas," katanya.

Melalui operasi itu, Sabu telah dianugerahkan Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormatan Panglima Gagah Berani (PGB) pada 4 Jun 1987.

Chua dan lima rakan sejenayah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan penculikan di Penjara Pudu.

Mereka didakwa dan didapati bersalah di bawah Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh akhirnya dijatuhi hukuman gantung pada 10 Oktober 1989.

Sabu (kiri) pernah terlibat dalam kes Allahyarham Prebet Adam yang pernah menggemparkan negara kerana mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987.

31 TAHUN TABUR BAKTI

Menyingkap kembali 31 tahun perjalanan dalam Sang Saka Biru, Sabu menyifatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform itu sentiasa berdepan pelbagai cabaran dan dugaan.

"Saya memohon kerjaya sebagai anggota polis pada 1965 selepas tamat persekolahan," katanya.

Antara kejayaan operasi Sabu bersama pasukan PDRM.

Beliau mengikuti latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur sebelum memulakan tugas pertama sebagai anggota polis berpangkat Konstabel di Balai Polis Sentral, Ipoh, Perak.

Sabu berkata, beliau juga pernah berkhidmat dengan unit lain dalam PDRM iaitu di Balai Polis Trafik Jalan Bandar, Kuala Lumpur dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kepala Batas, Butterworth, Pulau Pinang, sebelum menyertai UTK dan Bahagian D9 (Jenayah Berat), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

"Saya bersara pada 1 Februari 1996. Walaupun cabaran yang dihadapi warga PDRM pada masa kini tidak sama dengan apa yang saya lalui dahulu, perkara yang paling utama adalah kita perlu menjalankan tugas dengan ikhlas demi agama, bangsa dan negara," katanya.

HARGAI PENGORBANAN PESARA POLIS

Warga PDRM khususnya Polis Kuala Lumpur sentiasa menghargai segala pengorbanan pesara polis.

Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur, Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat pesara PDRM di sekitar Kuala Lumpur.

"Kita sentiasa bertanya khabar kepada mereka, kita juga ada Op Bantu untuk pesara yang mengalami masalah atau kesusahan akibat Covid-19," katanya.

Shaharon Anuar berkata, pihak polis dimaklumkan suatu ketika dahulu, penjenayah pasti kecut apabila mendengar nama Sabu.

"Mereka (penjenayah) akan fikir banyak kali untuk melakukan jenayah di sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, tugasan Sabu bersama pasukannya sentiasa berhadapan dengan maut.

"Bukan calang-calang orang dapat kepercayaan untuk menjalankan tugas berat sehingga mampu melaksanakan tugas yang mencabar itu dengan baik," kata Shaharon Anuar.

Sabu (tiga dari kiri) bersama anak dan cucunya.
Klik di sini untuk terus membaca