BANDAR raya Rom kini berdepan dengan ancaman daripada sebuah kumpulan mafia baharu yang mencetuskan kebimbangan ramai di ibu kota Itali itu. Kumpulan mafia itu dikenali dengan nama Casamonica itu mula mendapat perhatian masyarakat sejak... Klik di sini untuk terus membaca

BANDAR raya Rom kini berdepan dengan ancaman daripada sebuah kumpulan mafia baharu yang mencetuskan kebimbangan ramai di ibu kota Itali itu.

Kumpulan mafia itu dikenali dengan nama Casamonica itu mula mendapat perhatian masyarakat sejak 2015.

Ia berlaku selepas kumpulan tersebut yang dianggotai oleh ahli-ahli keluarga Casamonica mengadakan majlis pengebumian untuk seorang anggota keluarganya iaitu Vittorio Casamonica.

Ketika itu, mayat Vittorio diletakkan di atas sebuah kereta kuda di ibu kota Itali tersebut.

Penduduk tempatan di Rom mengenali kumpulan berkenaan sebagai ganas dan terlibat dengan kegiatan jenayah.

Sebuah mahkamah di ibu kota Itali telah mengklasifikasikan Casamonica sebagai sebuah persatuan mafia baru-baru ini.

Mahkamah itu juga menjatuhkan hukuman penjara terhadap lima ketua kumpulan tersebut sehingga 30 tahun setelah didapati bersalah melakukan rusuhan.

"Ia merupakan keputusan yang amat penting kerana ia menghapuskan ilusi bahawa tidak terdapat mafia di Rom.

"Bandar raya ini sukar untuk menerima bahawa bukan hanya terdapat elemen kumpulan jenayah berpengaruh seperti 'Ndrangheta atau Cammora' di sini tetapi juga terdapat sebuah kumpulan mafia anak tempatan (Rom) di sini," kata seorang profesor jenayah terancang di Universiti Milan, Nando Dalla Chiesa seperti dilaporkan oleh AFP.

KOMUNITI NOMAD

Kumpulan itu yang berasal dari komuniti Sinti Roma mengawal kawasan di pinggir Rom sehinga ke Alban, menurut laporan pihak berkuasa Lazio pada Julai lalu.

Komuniti Sinti secara tradisinya ialah etnik yang suka berpindah randah yang telah tinggal di Eropah selama berabad-abad lamanya.

Kumpulan pertama daripada keluarga Casamonica berpindah ke Rom dari wilayah Abruzzo pada tahun 1939.

Apabila Vittorio meninggal dunia pada tahun 2015 keturunannya dikenali oleh polis sebagai peminjam wang yang ganas.

Dia belajar daripada seorang rakannya di Rom, Enrico Nocoletti pada tahun 1970-an tentang jenayah bawah tanah di ibu kota Itali itu.

Nicoletti dikenali sebagai 'juruwang' untuk kumpulan jenayah terancang, Banda della Magliana yang menguasai penyeludupan dadah di Rom.

Seperti Nicoletti, Vittorio menjalin hubungan dengan golongan kaya dan berpengaruh. Dia mempunyai hubungan dengan polis dan pihak kenamaan.

PATUNG KUDA JANTAN

Keluarga itu kemudian menjadi kaya dan membina vila dengan hiasan marmar dan emas, kolam mandi dan patung kuda jantan yang besar.

Patung kuda jantan itu adalah melambangkan asal usul mereka iaitu peniaga kuda manakala terdapat sejumlah wang yang disimpan di sebalik dinding, kata saksi.

Gambar fail menunjukkan ruang dalam sebuah vila kumpulan mafia Casamonica yang dirampas oleh polis. - Foto AFP

Kumpulan itu juga menjalin hubungan dengan pengedar dadah Columbia sebelum mengedar dadah di Rom.

Satu serbuan pengedaran dadah pada tahun 2012 menyaksikan anggota kumpulan itu ditangkap manakala wang berjuta-juta euro dirampas dan keluarga Casamonica kemudian berada dalam pemantauan pihak berkuasa.

Datuk Bandar Rom, Virginia Raggi turut mengarahkan lapan vila haram Casamonica yang lengkap dengan hiasan lampu candelier, harimau seramik, takhta dan hiasan lukisan gaya Rom diruntuhkan pada tahun 2018.

Raggi juga membuat kenyataan pada minggu ini bahawa beliau berikrar akan memerangi kumpulan itu.

Kumpulan tersebut tidak mempunyai bos tetapi ia masih mempunyai cabang salasilah keturunan yang melibatkan perkahwinan, menurut laporan daripada Pemantau Jenayah Terancang. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca