[MUKADIMAH] Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebagai satu kemenangan besar buat rakyat. Ketua Setiausaha... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebagai satu kemenangan besar buat rakyat.

Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kemahuan rakyat selama ini akhirnya didengari kerajaan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang pula menegaskan, MoU itu turut memberi keuntungan besar kepada pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Ikuti wawancara penuh kedua-dua pemimpin berkenaan bersama wartawan Sinar Harian, Raiham Mohd Sanusi dan Nur Iftitah Rozlan serta jurufoto, Mohd Halim Abdul Wahid pada pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat keadaan politik semasa selepas kerajaan baharu ditubuhkan?

NIK NAZMI: Kita semua sedia maklum selepas penarikan balik sokongan beberapa ahli Parlimen khususnya oleh UMNO terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, maka kita melihat berlaku satu lagi proses pelantikan Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah pun mendapat bilangan yang cukup iaitu 114 ahli Parlimen untuk menyokong beliau menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau telah mengekal Kabinet lama menyebabkan rakyat kecewa dengan pelantikan tersebut.

Walaupun kami berlainan pihak, saya yakin daripada 114 ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri, ramai yang layak tetapi tidak terpilih untuk berada dalam Kabinet.

Malah, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggap sebagai kerajaan gagal sebelum ini, tetapi menteri-menteri PN masih lagi dikekalkan.

Walau apa pun berlaku, bagi PH dan PKR, kami akan terus menumpukan usaha kita untuk memastikan kerajaan ini bertanggungjawab di Parlimen.

Kemudian selepas itu, ada perkembangan yang baik apabila Ismail Sabri telah menjemput pimpinan PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu untuk bertemu dengan beliau sehingga wujudnya MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH.

Kita berharap memorandum ini akan bertahan sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun depan dan tidak ada pilihan raya umum supaya tumpuan dan usaha untuk melaksanakan agenda reformasi yang kita minta termasuk untuk melihat keadaan ekonomi yang lebih baik untuk rakyat.

LIH KANG: Saya berkongsi pendapat dengan Nik Nazmi bahawa memang rakyat kecewa dengan kombinasi Kabinet yang ada sekarang dan itu hakikat yang perlu diterima Perdana Menteri sebab orang yang menyokong Muhyiddin dan orang yang sokong Ismail Sabri adalah orang yang sama. Ia tidak akan ada apa-apa perubahan yang besar dalam Kabinet.

Maka memang ada kekurangan tetapi oleh kerana Perdana Menteri sudi memberikan ruang kepada pembangkang supaya kita sama-sama memastikan keadaan politik stabil dan kita bekerjasama untuk menangani pandemik maka kami menyambut baik usaha ini.

Oleh sebab itu, kita sudah pun menandatangani MoU yang isu kandungannya banyak menyentuh tentang reformasi institusi yang selama ini kita perjuangkan.

Ada yang mendakwa MoU ini hanya menguntungkan kerajaan, apa komen YB?

NIK NAZMI: Saya tidak setuju. Memang betul dalam sebarang persetujuan, kedua-dua pihak mesti meraih sesuatu.

Tetapi apabila kita baca memorandum ini, di peringkat kerajaan, apa yang mereka dapat adalah dari segi kestabilan politik tetapi kestabilan itu pun tidak bersifat mutlak.

NIK NAZMI. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Kami di peringkat PH diminta untuk menyokong undi percaya atau Belanjawan 2022 tetapi ia harus dirunding dahulu dengan pihak PH.

Maknanya kalau mereka uniliteral sebagaimana biasa sebuah kerajaan, maka kami ada ruang untuk menolak undang-undang tersebut.

Ia bukan Perjanjian Kepercayaan dan Bekalan (CSA) dalam konteks tradisional. Kalau difahami dalam sistem Westminster yang pernah dibuat di Britain, malah inilah yang dicadangkan oleh Muhyiddin. Jadi itu yang pertama, yang selebihnya kalau kita lihat isu reformasi Parlimen, pelaksanaan Undi18, mengehadkan jawatan Perdana Menteri, ini semua perkara-perkara yang menguntungkan pihak pembangkang.

Bagi saya, itu adalah satu kemenangan. Jadi baik perkara ini diinstitusikan dan sebagaimana yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong iaitu pihak yang menang tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua.

Itu bagi saya budaya yang sangat penting sebab selama ini, saya dan Lih Kang sebagai wakil rakyat pembangkang apabila bercakap dan lawan kerajaan, kami masuk dalam lokap. Lainlah kalau kami buat rasuah, itu cerita lain.

Tetapi ini soal kita bersuara, mengkritik kerajaan, banyak undang-undang telah digunakan terhadap pihak pembangkang sebelum ini.

Ini adalah budaya yang patut berakhir yang mana, ruang lingkup demokrasi perlu dihormati dan ini yang kita hendak perbaiki di negara kita. Jadi kita nak lihat sejauh mana pelaksanaan MoU ini.

Setakat ini, kita bagi peluang sebab rakyat mengundi sekali tapi sudah dapat tiga Perdana Menteri macam pergi pasar raya dapat tawaran istimewa.

Jadi takkanlah nak tukar Perdana Menteri sekali lagi. Penggal Parlimen akan habis kurang dua tahun, jadi antara perkara- perkara yang harus kita ambil kira dan saya fikir, banyak kandungan dalam MoU ini adalah agenda yang diinginkan pembangkang dan PH.

Sekiranya terlaksana, ia satu kemenangan besar bukan untuk PH tetapi untuk rakyat dan selepas ini.

Bila kita jadi kerajaan atau siapa pun jadi kerajaan, mereka kena berbalik kepada had-had yang telah diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan atau menerusi institusi yang kita bawa dalam memorandum ini.

LIH KANG: Secara ringkasnya saya tidak setuju dengan kenyataan itu sebab apa yang kami ‘lepaskan’ adalah hak kami untuk tumbangkan kerajaan dalam Parlimen.

Bagaimanapun, kami rasa ini adalah hasrat rakyat juga, di mana rakyat tidak mahu tengok atau menyaksikan satu lagi pergolakan dalam arena politik terutamanya dalam keadaan pandemik yang serius.

Yang paling penting bagi saya ialah kerajaan berjanji untuk melaksanakan pendaftaran secara automatik untuk pengundi melebihi 18 tahun sebab selama ini, kita selalu hadapi masalah pendaftaran pengundi.

Perkara kedua ialah undang-undang anti-lompat parti. Saya rasa sekiranya dalam penggal ini kita tidak dapat laksanakan undang-undang ini, maka pada pilihan raya akan datang, pembangkang akan menghadapi masalah besar sebab penyokong-penyokong tradisi kita akan berasa hampa apabila tidak ada undang-undang anti-lompat parti.

Ia kerana apabila mereka undi seorang wakil rakyat dan wakil rakyat itu lompat parti, tumbang juga kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Oleh itu, saya rasa undang-undang sebegini sangat penting untuk pembangkang menghadapi pilihan raya akan datang.

Ini satu keuntungan besar bukan sahaja kepada pembangkang tetapi juga kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Kalau kami meneliti isi kandungan MoU, kita dapati bahawa kebanyakan reformasi-reformasi yang dinyatakan itu ialah reformasi institusi yang dilaksanakan secara legislatif iaitu ia akan masuk dalam undang-undang dan bukan sekadar MoU sahaja.

Ia ada undang-undang anti-lompat parti, pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menhadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Minggu lalu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata MoU yang ditandatangani dengan kerajaan bukan CSA. Boleh YB ulas tentang perkara ini ?

NIK NAZMI: CSA ini konsep yang ada dalam sistem Westminster. Pernah Perdana Menteri Britain sebelum ini, Theresa May yang tidak cukup majoriti di Parlimen, maka beliau ada perjanjian dengan parti kecil, DUP yang hanya ada enam ahli Parlimen.

Jadi bila bercakap tentang CSA, ada perjanjian dan ada confident iaitu undi percaya dan supply ialah undi yang melibatkan kewangan atau belanjawan seperti belanjawan tahunan, belanjawan tambahan dan sebagainya.

Dalam sistem Westminster, sekiranya kerajaan kalah dalam mana-mana undi belanjawan, maka ia sama seperti kalah undi percaya sebab kerajaan memerlukan wang untuk berfungsi.

Oleh yang demikian pihak yang terlibat akan membuat perjanjian dan parti yang menyertai CSA ini akan meminta beberapa perkara.

Berbeza dengan full coalition, parti itu akan sertai dan jadi menteri tetapi CSA, mereka mungkin tidak menjadi menteri tetapi akan sokong apabila ada undi untuk mendapatkan sokongan atau undi belanjawan.

Dalam soal ini, kerajaan yang ada pada hari ini tidak ada isu dari sudut bilangan. Mereka sudah ada (sokongan) 114 ahli Parlimen dan sudah pun mencapai majoriti mudah tetapi kecil.

Cuma yang saya faham, motif Perdana Menteri untuk memastikan kedudukan beliau selamat. Bezanya ia bukan berbentuk CSA. Ini merupakan satu budaya baharu dalam politik negara kita.

LIH KANG: Bagi saya pelaksanaan CSA lebih ketat, tetapi apa yang kami tandatangani itu adalah satu MoU. Ia tidak digelar sebagai perjanjian pun. Maksudnya, kami lepaskan hak untuk tumbangkan kerajaan dalam Parlimen tetapi pada masa sama kerajaan kena laksanakan semua yang terkandung dalam MoU itu.

Sekiranya ia tidak dilaksanakan, PH boleh mendapatkan semula hak untuk tumbangkan kerajaan dalam Parlimen. Jadi, ia lebih kepada persefahaman dan saya rasa, ia agak berbeza dari negara-negara lain yang laksanakan CSA di mana ia dilakukan dengan ketat dan ada kontrak.

Apa pandangan YB terhadap cadangan agar diwujudkan jawatan Timbalan Speaker ketiga Dewan Rakyat yang dikhususkan untuk wakil pembangkang bagi mereformasikan Parlimen?

NIK NAZMI: Saya rasa itu satu idea yang sangat baik sebab beban kerja di Parlimen sudah jauh berbeza berbanding dengan ketika kita mula-mula merdeka dahulu. Memang perlu ada sedikit pindaan kepada Perlembagaan untuk menambah seorang lagi Timbalan Speaker.

Memang betul Timbalan Speaker tidak terlibat secara langsung tetapi tugas pentadbiran Parlimen lebih banyak.

Jadi apabila ada seorang lagi Timbalan Speaker, dia akan dapat membantu mentadbir aspek-aspek ini dengan lebih berkesan.

LIH KANG: Saya juga menyambut baik cadangan ini walaupun saya secara peribadi tidak bersetuju diadakan kuota tetapi sebagai langkah permulaan mungkin baik juga kita adakan satu persefahaman bahawa ada seorang daripada tiga orang Timbalan Speaker ini dari pembangkang, namun pada masa akan datang mungkin kita tak perlu ada lagi kuota itu.

Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH mengeluarkan kenyataan bahawa pertikaian berhubung penggunaan logo yang akan digunakan PH dalam PRU15 akan diselesaikan secara rundingan. Ada pihak dalam PKR cadangkan PH menggunakan logo parti PKR dan pada masa sama, parti komponen mahukan logo PH digunakan. Apa komen YB?

NIK NAZMI: Betul kita kena bincang dan selesaikan dengan baik.

Sebenarnya hal itu tidaklah sebagaimana yang digambarkan. Misalnya, PRU lepas, betul kita pakai satu logo iaitu PKR tetapi hanya di Semenanjung. Di Sarawak, atas alasan autonomi mereka menggunakan logo roket (DAP).

PRU di Sabah lalu, parti-parti lain yang dalam gabungan bersama Warisan iaitu DAP dan Amanah memilih untuk menggunakan logo Warisan. Tetapi PKR dan UPKO (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu) memilih untuk menggunakan logo sendiri.

Bagi saya, biar kita bincang dengan baik perkara ini dan cari penyelesaian yang terbaik. Logo hanyalah beberapa aspek dari segi persiapan PRU, jadi tidak mahu panjangkan cerita kerana ada banyak lagi persiapan lain.

Kalau bercakap soal logo siang malam, tapi calon dan jentera tidak siap, tidak jadi juga. Kalau lihat dalam sejarah PH pun, ia lebih fleksibel daripada apa yang digambarkan.

LIH KANG: Saya rasa antara kejayaan yang sangat besar pada PRU14 untuk PH adalah menggunakan logo yang sama.

Lih Kang. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Isu logo lebih memandang pada faktor kemenangan, jadi tidak perlu terlalu tegar, kita ambil masa ini untuk bincang dan ia adalah proses yang sangat biasa dalam rundingan politik.

Kami sedang mengalami proses ini dan saya yakin ia dapat diselesaikan dengan baik seperti pengalaman lalu.

Kalau kami dapat selesaikan isu seperti membenarkan Dr Mahathir mengetuai PRU14, maka saya rasa isu logo itu adalah perkara yang kecil sahaja.

Adakah PKR bersedia untuk kembali bekerjasama dengan Dr Mahathir pada PRU15?

NIK NAZMI: Saya fikir agak susah kerana kita sudah beri peluang kepada beliau dan selepas apa yang dialami sewaktu 22 bulan, ia sebenarnya trend yang konsisten.

Kena ingat yang mula-mula lompat parti pada waktu itu ialah parti Bersatu di bawah pimpinan Dr Mahathir.

Kemudian tidak lama selepas pembentukan Muafakat Nasional (MN), dibuat pula Kongres Maruah Melayu (KMM) yang di belakangnya adalah watak-watak sama yang cuba mengendurkan kesan daripada MN.

Perkara itu sebenarnya tidak perlu kerana ia membakar sentimen perkauman. Itu adalah usaha yang jelas untuk menggagalkan rancangan menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Bagi saya, ia merupakan pengalaman pahit yang kita lalui.

Kita bekerjasama menjatuhkan UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak, itu adalah satu pencapaian yang bersejarah di mana kali pertama UMNO tumbang, tetapi untuk bergerak ke depan saya fikir tidak perlu.

Kita mahu bekerjasama dengan parti-parti yang komited dengan agenda reformasi dan juga mahu melihat tokoh-tokoh muda yang ada di luar.

Kami menghormati sumbangan Dr Mahathir ketika era pertama dan kedua menjadi Perdana Menteri, namun sekarang, masanya untuk generasi hari ini melakarkan masa depan kita sendiri.

LIH KANG: Pendapat saya agak sedikit berbeza dengan Nik Nazmi. Kerjasama mungkin berlaku juga kerana politik adalah art of possibilities, cuma saya sendiri tidak pasti bentuk pendekatan bagaimana yang akan diambil.

Kemungkinan untuk bekerjasama dalam satu gabungan mungkin tidak besar, tetapi kerjasama politik yang lain mungkin akan ada. Kami harap dapat bekerjasama dengan parti yang lebih komited dan berprinsip daripada Dr Mahathir sendiri.

Apa yang akan dilakukan PKR untuk kembali memenangi hati rakyat dalam PRU15 nanti?

NIK NAZMI: Selepas pelbagai badai yang melanda politik negara, ada yang marah dan hilang minat. Tapi kita perlu fokus pada beberapa perkara asas, pertama ialah kena ada agenda ekonomi yang jelas, berani dan radikal.

Rakyat semakin susah, terdapat jurang masyarakat kaya dan miskin, jadi ini perlu diberi penekanan secara berterusan kerana antara kelemahan kerajaan adalah dalam memberikan penyelesaian ekonomi.

Ada beberapa dasar yang positif tetapi tidak cukup. Saya fikir ia perlu disediakan supaya rakyat boleh nampak masa depan selepas era pandemik Covid-19.

Kedua, adalah dengan membariskan calon-calon yang berwibawa, ini sangat penting kerana rakyat rasa kecewa berkenaan isu lompat parti.

Bagi saya, akta lompat parti adalah sangat penting. Calon yang berwibawa juga menjadi aspek penting kerana sekarang ramai yang mengikuti perbahasan di Parlimen.

Mereka melihat dan menilai wakil rakyat, jadi kita kena bariskan calon yang berwibawa dan lebih ramai wanita serta anak muda. Saya fikir ia antara perkara yang penting untuk memenangi semula hati pengundi.

LIH KANG: PKR adalah parti yang berbilang kaum dan ia merupakan antara tarikan kepada kepada pengundi masyarakat Malaysia.

Dari segi pemilihan calon kita kena lebih berhati-hati dan pastikan calon yang menggambarkan latar belakang yang berbeza daripada semua lapisan masyarakat.

Kualiti calon sangat penting. Sekarang orang tidak terlalu bersifat partisan.

Mungkin dulu, tidak kisah parti berkenaan letak siapa sahaja sebagai calon, pengundi tetap akan sokong. Tetapi pengundi seperti itu sudah semakin berkurang, terutamanya generasi muda akan melihat dari segi presentasi dan kualiti calon.

Klik di sini untuk terus membaca