"ALAMAK, penuh dengan sampahlah lepas ni,” katanya pegawai penyelenggaraan lebuh raya saya ketika melihat banyak kereta yang diletakkan di tepi lebuh raya. Rungutan begini sudah sebati. Apabila ramai orang berkumpul dan berkunjung ke... Klik di sini untuk terus membaca

"ALAMAK, penuh dengan sampahlah lepas ni,” katanya pegawai penyelenggaraan lebuh raya saya ketika melihat banyak kereta yang diletakkan di tepi lebuh raya. Rungutan begini sudah sebati.

Apabila ramai orang berkumpul dan berkunjung ke suatu tempat, maka impaknya akan berselerakan sampah yang dibuang dan perlu dibersihkan.

Ia bukan sahaja berlaku di tepi pantai tetapi juga di kawasan rehat dan rawat.

Kawasan rehat dan rawat lebuh raya saya terletak di tepi laut.

Memang ramai yang berkunjung sebelum pandemik. Maka akan ada yang tidak faham tentang amalan mulia membuang sampah, akan membuang sampah merata-rata.

Ada juga yang membasuh kaki dan baju yang berpasir dalam dalam sinki menyebabkan tersumbat.

Pihak pekerja penyelenggaraan merungut-rungut ketika memperbaiki sinki yang tersumbat.

Apatah lagi di tandas-tandas, yang tidak dipam sepenuhnya meninggalkan sisa buang yang menyebabkan kami pun gerun melihatnya.

Saya terfikir juga apakah puncanya ada segelintir orang mengambil mudah dengan membuang sampah semberono.

Secara logiknya tempat yang mereka datang untuk bersenang lenang, beriadah bersama keluarga, namun mereka sendiri yang mengotorkannya.

Baru-baru ini pula, kita dihidangkan dengan berita berkenaan sampah yang katanya bertan-tan dibuang merata-rata mencemarkan pusat-pusat pelancongan.

Maka terpaksa dibersihkan oleh pihak penyelenggara.

Lokasi air terjun mungkin sudah tidak aman lagi. Ia yang selama ini aman daripada sampah maka sekarang akan kembali tercemar, jika tingkah laku segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab ini berleluasa.

Haiwan-haiwan laut mungkin akan bertambah benci dengan manusia.

Dikatakan juga di Terengganu mungkin akan kehilangan penyu yang menangis, begitu juga di Perlis akan kehilangan ikan lumba-lumba.

Di dalam media sosial ramai yang mengecamnya. Tetapi sekali lagi saya tertanya-tanya juga, mungkin yang mengecam ini pun sama sahaja. Bak kata pepatah, kecek anak Melaka.

TABIAT PEROKOK

Saya ada membaca satu kajian yang dibuat oleh Zero West Scotland (ZWS), yang mengkaji sifat-sifat orang yang suka membuang sampah ini.

Tajuk laporannya Rapid Evidence Review of Littering And Anti-Litter Policies.

Dalam laporan tersebut, diperincikan tentang faktor dari segi pengaruh umur, jantina dan juga tabiat merokok.

Yang menariknya antara dapatan kajian secara ringkas, yang pertama, orang muda lebih sedikit membuang sampah berbanding orang tua, namun mudah mengaku akan kesalahan mereka.

Kedua, dari segi jantina, lelaki lebih sedikit membuang sampah daripada wanita, namun lelaki mudah mengaku akan kesalahan mereka.

Ketiga, mereka yang mempunyai tabiat merokok juga mempunyai kecenderungan lebih sedikit membuang sampah bukan sahaja melibatkan puntung dan kotak rokok tetapi cenderung kepada jenis sampah yang lain juga.

Adakah orang merokok ini lebih pengotor? Bukti kajian katanya, kecenderungan perokok untuk membuang sampah selain daripada rokok lebih tinggi.

Di Belfast, katanya aktiviti membuang sampah lain adalah 60 peratus dalam kalangan perokok. Kajian di Amerika Syarikat dan Singapura juga begitu.

Persekitaran semasa juga menguji akan sifat tanggungjawab seseorang itu. Contohnya di kawasan awam, mereka merasakan membuang sampah tidak apa kerana akan ada orang akan tolong membersihkan untuk mereka

Sifat bertanggungjawab atas tindakan kita sebenarnya hendaklah dipupuk dari rumah sejak kecil lagi supaya ia menjadi tabiat.

Di rumah saya anak-anak diajar untuk mengasingkan sampah yang boleh dikitar dan yang tidak boleh dikitar.

Kadang-kadang, hujung minggu isteri saya akan mengajak anak-anak ke kawasan air terjun Gunung Jerai untuk membersihkan sampah yang ditinggalkan.

Kerajaan boleh membuat kajian latar belakang, personaliti dan tabiat seseorang suka membuang sampah melalui aplikasi MySejahtera.

Yang bercuti baru-baru ini mungkin ada membuat imbasan MySejahtera kan?

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca