PERLAWANAN bola sepak yang paling saya ingati adalah perlawanan yang saya hadiri pada 7 November 2009. Ia merupakan perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-83, dihadiri oleh 100,000 orang yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil untuk... Klik di sini untuk terus membaca

PERLAWANAN bola sepak yang paling saya ingati adalah perlawanan yang saya hadiri pada 7 November 2009.

Ia merupakan perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-83, dihadiri oleh 100,000 orang yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil untuk melihat Negeri Sembilan mengalahkan Kelantan dengan jaringan 3-1.

Perlawanan itu berlangsung seminggu selepas Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, pertabalan pertama sejak tahun 1968.

Kali terakhir Negeri Sembilan memenangi Piala Malaysia adalah pada tahun 1948 (ketika itu Piala HMS Malaya), tahun yang sama Yamtuan kelapan, Tuanku Abdul Rahman menandatangani persetujuan baginda untuk membentuk Persekutuan Malaya (baginda kemudian menjadi Yang di-Pertuan Agong).

Walaupun ia bukan sukan kegemaran saya, bola sepak sememangnya mempunyai pelbagai kualiti, memerlukan kemahiran individu dan strategi kerjasama.

Pada malam tersebut, saya amat menghargai keghairahan rakyat Malaysia terhadap sukan ini dan peranannya dalam meraikan semangat kenegerian.

Warna-warna Negeri Sembilan kelihatan pada setiap penyokong, sorakan dalam dialek ‘nogori’ terus bergema, manakala kata-kata semangat ‘Hobin Jang Hobin’ yang mengimpikan kemenangan, turut meraikan Yang di-Pertuan Besar (yang merupakan Penaung Diraja persatuan bola sepak), Undang dan Menteri Besar.

Ketika malam semakin larut, lagu negeri dinyanyikan secara spontan dengan bait lirik ‘musuhnya habis binasa’ kedengaran sangat relevan.

Secara kebetulan, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang pertama ialah Andrew Caldecott, individu sama yang menggubah melodi lagu Negeri Sembilan pada tahun 1911 ketika beliau menjadi Pegawai Daerah Jelebu sewaktu pemerintahan Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar ketujuh.

Selasa lalu, sekali lagi saya menonton pasukan bola sepak Negeri Sembilan, pada kali ini mengalahkan pasukan PDRM untuk menjuarai Liga Perdana.

Tunku Besar Tampin, Presiden Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan menjadi tuan rumah dan kami turut disertai Undang Jelebu dan Menteri Besar.

Untuk konteks, pertandingan bola sepak kompetitif Malaysia mempunyai tiga piala: Piala FA (dimenangi Negeri Sembilan pada tahun 2003 dan 2010), Piala Sumbangsih (dimenangi pada tahun 2012) dan Piala Malaysia (dimenangi pada tahun 1948, 2009 dan 2011) serta sistem liga yang mengandungi Liga Super, Liga Perdana, Liga M3 dan Liga M4.

Pasukan di tangga teratas dinaikkan liga manakala pasukan tercorot diturunkan liga pada setiap musim.

Pasukan Negeri Sembilan berjaya memenangi Liga Super pada tahun 2006 dan Liga Perdana pada tahun 1991.

Oleh itu, walaupun Negeri Sembilan pernah merasai kejayaan pada masa lalu, kemenangan hari ini adalah satu pemangkin besar di samping kenaikan ke Liga Super.

KENEGERIAN

Terdapat sebilangan orang mengkritik perkara yang mereka lihat sebagai ‘fahaman sempit kenegerian’ melalui bola sepak mengganggu kesetiaan kepada Malaysia, tetapi sebenarnya mereka salah.

Semua rakyat Malaysia mempunyai identiti pelbagai, aspek yang akan menjadi lebih menonjol bergantung kepada konteks.

Disebabkan itulah perdebatan yang tidak pernah habis mengenai pengenalan diri sebagai rakyat Malaysia dahulu akan mengalihkan perhatian kita daripada perkara yang lebih penting, walaupun bertujuan baik.

Sikap patriotik dan tugas sebagai rakyat boleh wujud secara bersama dengan sempurna walaupun berbeza identiti, sama ada ditentukan oleh etnik, negeri, pekerjaan mahupun pilihan muzik kegemaran.

Akhirnya, mozek-mozek identiti itu akan memberikan raison d’etre kepada semua institusi yang sepatutnya memberikan perkhidmatan kepada semua rakyat, bermula daripada kerajaan, Parlimen dan kehakiman.

Dalam hal yang berkaitan, pasukan bola sepak Negeri Sembilan merupakan satu pasukan pelbagai kaum, diketuai oleh Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak sebagai kapten tetapi turut mengandungi Damien Lim (daripada keluarga bola sepak terkenal) dan adik-beradik Ramaloo di samping Beomgeun Bae dari Korea Selatan, Alain Thierry Akono Akono dari Cameroon dan Arthur Cunha da Rocha dari Brazil. Kesemua mereka boleh melaungkan ‘Hobin Jang Hobin’ dengan loghat yang betul.

Selepas kemenangan 4-2 itu, skuad Jang yang cemerlang melakukan kunjungan sebentar ke luar stadium untuk bertemu penyokong.

Satu laungan kejayaan meletus dan satu replika gergasi trofi Liga Perdana buatan penyokong telah diarak agar semua dapat melihatnya sambil ditemani oleh pukulan gendang bersemangat oleh peminat yang terlebih dahulu mengetuai sorakan sepanjang perlawanan berlangsung.

Negeri Sembilan yang memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Nasional awal bulan ini dan 94 peratus populasi dewasa mendapat suntikan vaksin, keupayaan melakukan sambutan secara bersama-sama memberikan katarsis, satu kelegaan emosi yang tidak dirasakan semenjak wabak Covid-19 bermula.

60 tahun lalu pada tahun 1961, nenda saya, Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Durah telah merasmikan perlawanan besar pertama Persatuan Bola Sepak Wanita Negeri Sembilan (NSWFA) menentang pasukan Selangor di Padang Stesen Seremban, disaksikan oleh 8,000 orang penonton.

Saya akan berasa gembira jika penonton seramai itu melihat para pemain skuasy kita beraksi yang bukan sahaja akan menenggelamkan bilangan penonton di negeri lain, malahan di seluruh dunia.

Ketika gelanggang-gelanggang utama skuasy di Negeri Sembilan memulakan pengubahsuaian agar acara berkelas dunia dapat dianjurkan di Seremban, mungkin kita boleh mengguna pakai nasihat bijak pandai: "Kito jangan monggolabah / Sumo Pialo kita punggah”.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Persatuan Squash Negeri Sembilan

Klik di sini untuk terus membaca