APABILA ALLAH SWT berfirman: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’.
Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata); ‘Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?’.
Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah, 2:30).
Ini bermakna, kemampuan manusia untuk menguruskan bumi ini adalah dalam pengetahuan ALLAH SWT dan perlu bersama-sama mentadbirkannya.
Sebetulnya, Tuhan tidak membiarkan manusia mentadbir bumi ini tanpa apa-apa bekalan. Oleh itu, manusia dikurniakan akal, Al-Quran dan Rasul untuk membimbing kita semua ke arah jalan yang benar dan diredai.
Bagi mempertingkatkan keupayaan akal, ianya perlu disuburkan dengan ilmu dari masa ke semasa.
Berkaitan dengan ilmu, pada bulan Januari 2021, pihak UNESCO telah mengeluarkan laporan berkaitan empat teras pendidikan bagi abad ke-21 iaitu; Belajar untuk tahu, belajar untuk melaksana, belajar untuk kemenjadian dan belajar untuk hidup bersama.
Sesungguhnya, mempelajari ilmu adalah proses yang berterusan dan tidak akan tamat.
Secara prinsipnya, belajar untuk tahu melibatkan keupayaan kita memberikan tumpuan kepada sesuatu, penyimpanan maklumat di dalam otak, tahu cara berfikir serta bagaimana meneroka ilmu.
Manakala belajar untuk melaksana, melibatkan keupayaan individu mengembangkan kemahiran, menyelesaikan sesuatu masalah dan menterjemahkan segala ilmu yang diperoleh.
Selain itu, belajar untuk kemenjadian adalah bertujuan menjadi manusia yang mempunyai nilai yang yang baik serta hidup dengan berkualiti.
Namun begitu, kemuncak kepada pendidikan adalah belajar untuk hidup bersama.
Apa yang nyata, kita tidak dapat hidup secara bersama sekiranya tidak berupaya mengembangkan nilai-nilai kehidupan yang baik serta kemahiran sosial yang tinggi.
Malah, perlu menghargai dan menerima kepelbagaian dan perbezaan di dunia ini. Pun begitu, masih ramai yang tidak dapat hidup secara bersama kerana masih berpandangan sempit dengan mengelompokkan manusia mengikut darjat, pangkat, kekayaan, kebolehan serta keturunan dan warna kulit.
Pendek kata, selagi kita hidup berteraskan kesombongan dan keangkuhan, selagi itulah kita tidak boleh hidup sejahtera bersama.
KASIH SAYANG
Berkaitan hal itu, daripada Abu Hurairah RA berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; ‘Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka.” (Hadis Riwayat Tirmizi).
Berkaitan maksud ‘celaka’, ramai dalam kalangan ulama yang mentafsirkan ‘celaka’ adalah berkaitan dengan sifat sombong, dengki, pemfitnah dan zalim.
Malah, ALLAH SWT telah berfirman: "Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (Surah Al-Isra’, 17:37).
Pada hemat saya, selagi kita tidak bersungguh-sungguh belajar untuk berkasih sayang, sampai bila pun, kita tidak boleh hidup secara bersama kerana dipenuhi dengan konflik yang tiada penghujung.
Menurut perspektif psikologi, memupuk kasih sayang akan memberi kesan yang amat besar kepada diri dan masyarakat.
Apa yang penting, kita tidak mudah menghukum, berburuk sangka dan bersikap berat sebelah sekiranya menerapkan nilai kasih sayang di dalam diri.
Di samping itu, sifat berkasih sayang akan mendorong kegembiraan dan mengurangkan kemurungan serta meningkatkan kemahiran bersosial menerusi pembudayaan sokong-menyokong antara satu sama lain.
Ingatlah, sebesar mana bebanan dan sejauh mana gelora kehidupan, kita akan dapat tangani bersama sekiranya berpegang teguh antara satu sama lain.
Sentiasalah belajar untuk hidup bersama di dunia yang sementara ini.
Apa yang nyata, kita tidak dapat hidup secara bersama sekiranya tidak berupaya mengembangkan nilai-nilai kehidupan yang baik serta kemahiran sosial yang tinggi.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca