SEPERKARA yang barangkali terlepas pandang setiap kali kita menyambut Hari Malaysia ialah kefahaman tentang federalisme.
Dalam kita menyambut Hari Malaysia yang lazimnya mengenang pembentukan Malaysia, hanya sedikit atau tiada langsung perbincangan berkenaan federalisme yang sepatutnya diketengahkan bagi membantu kefahaman dan penghayatan kita tentang Malaysia sebagai sebuah persekutuan.
Apa perlunya kefahaman tersebut? Ini disebabkan umum selalunya hanya melihat federalisme dari perspektif legalistik, struktural dan susunan institusional sahaja terutamanya yang berkaitan dengan pembahagian kuasa serta hubungan kerajaan negeri-pusat.
Walaupun pemahaman sebegini masih dianggap baik dan asas, kefahaman yang lebih mendalam akan membantu kita untuk menghayati konsep dan makna federalisme.
Ia sekali gus mampu membentuk suatu pemikiran, tindakan dan budaya politik yang bersesuaian dengan nilai dan cara hidup berpersekutuan serentak memupuk kesepaduan sosial dan kestabilan politik negara.
Sebagai permulaan, federalisme merupakan satu kaedah organisasi politik yang menyatukan wilayah atau pemerintahan yang berlainan dalam satu sistem persekutuan dengan cara yang membolehkan setiap orang mengekalkan identiti dan autonomi masing-masing.
Lazimnya, perlembagaan diperlukan bagi menghidupkan sistem persekutuan melalui penekanan kepada perundingan serta penyelerasaan perundingan antara pihak yang terlibat di samping perlembagaan turut menjadi punca kuasa bagi melindungi autonomi dan identiti wilayah yang terlibat.
Jadi secara umumnya, federalisme mengizinkan kewujudan pelbagai kuasa pemerintahan dalam sebuah negara persekutuan menerusi pembahagian kuasa yang dinyatakan secara sah melalui perlembagaan tanpa perlu mengorbankan status quo wilayah masing-masing.
DUKUNG DEMOKRASI
Sarjana-sarjana yang mengkaji tentang federalisme seperti Kenneth Wheare (1946), William Riker (1964) dan Daniel Elazar (1995) menggariskan beberapa syarat kewujudan sesebuah persekutuan.
Pertama, adanya perlembagaan bertulis yang menggariskan syarat-syarat bagaimana kuasa dalam persekutuan tersebut dikongsi atau dibahagikan.
Kedua, tidak terpusat (noncentralisation) di mana kuasa politik kerajaan negeri tidak boleh sewenangnya diambil oleh Kerajaan Pusat tanpa persetujuan bersama.
Ketiga, asas federalisme bagi mewujudkan manfaat ekonomi serta menyelesaikan konflik yang lazimnya dilihat dalam dua aspek; kesediaan persekutuan untuk bekerjasama secara ekonomi terutamanya dalam pembangunan dan mengelakkan konflik akibat daripada ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah dalam persekutuan.
Aspek terpenting federalisme ialah mendukung demokrasi dan amalan ‘semak dan imbang’ di mana Kerajaan Pusat sebagai kerajaan kepada semua wilayah dalam persekutuan sentiasa terbuka dan telus dalam segala hal yang dipertanggungjawabkan.
Daripada kesemua yang dibincangkan tadi, dua faktor dilihat paling penting dalam pemeliharaan politik federalisme.
Pertama, Kerajaan Pusat dan negeri perlu mempunyai institusi pemerintahan mereka sendiri yang lengkap dengan hak untuk mengubahnya tertakluk kepada apa yang dipersetujui secara bersama sepertimana yang digariskan oleh perlembagaan.
Kedua, kuasa pemerintahan dikongsi secara bersama meliputi perkara-perkara seperti pembuatan dasar, kewangan, hal-hal keselamatan dan sebagainya.
Perkongsian tersebut hendaklah berlaku secara formal mahupun tidak formal bagi membolehkan semua pihak terlibat sama sambil kekal sebagai entiti yang bebas.
Walaupun tanpa pengaturan secara rasmi, semangat federalisme akan menjadi pemandu dalam menunaikan kewajipan moral sebagai ahli persekutuan dan memastikan keutuhan sebagai ‘rakan bersama’ kekal kukuh.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca