RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara perlu segera dilaksanakan kerajaan baharu dalam masa terdekat bagi mengelakkan Malaysia tertinggal ‘kapal’ dari sudut pemulihan ekonomi... Klik di sini untuk terus membaca

RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara perlu segera dilaksanakan kerajaan baharu dalam masa terdekat bagi mengelakkan Malaysia tertinggal ‘kapal’ dari sudut pemulihan ekonomi dan pembangunan masa hadapan.

Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan RMK12 perlu dimulakan segera dalam tempoh lima tahun ke hadapan memandangkan waktu itu merupakan tempoh terbaik untuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi negara meningkat pesat.

Jelas beliau lagi, pelaksanaan RMK12 juga tidak boleh diunjurkan melebihi tahun 2027 kerana dibimbangi ia tidak memberi impak seperti diharapkan susulan tahun 2027 adalah jangkaan kitaran ekonomi dunia berada pada tahap kemelesetan.

"Justeru, kerajaan baharu tidak boleh membuang masa dalam melaksanakan pelan RMK12 kerana kita sebenarnya sudah kesuntukan masa untuk melancarkannya, kesan daripada krisis pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan kerajaan terdahulu.

"Selain itu, kerajaan perlu memanfaatkan kejayaan melaksanakan perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) sekali gus mewujudkan gencatan politik, untuk memperkasakan inti pati RMK12 kerana pembangkang boleh berperanan memberi kritik dalaman yang konstruktif dan membina kepada kerajaan,” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengatakan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bakal membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat pada Isnin hadapan.

Berdasarkan aturcara mesyuarat Dewan Rakyat, Ismail Sabri dijadual membentangkan RMK12 bagi tempoh tahun 2021 hingga tahun 2025 itu pada 11.30 pagi selepas sesi soal jawab lisan.

Berhadapan pandemik Covid-19 di penghujung RMK11 selain perubahan kerajaan, pembentangan RMK12 dipinda sekurang-kurangnya dua kali daripada tarikh asal pada 6 Ogos 2020 kepada Januari 2021, sebelum akhirnya dibentangkan pada Isnin ini.

Bersesuaian tema Keluarga Malaysia, RMK12 dijangka memberi keutamaan kepada aspek kebajikan dan perlindungan sosial masyarakat yang merupakan penggerak ekonomi negara dengan projek-projek pembangunan bakal lebih berpaksikan rakyat berbanding projek-projek mega baharu.

Mengulas lanjut, Barjoyai turut mencadangkan kerajaan Ismail Sabri kembali mempraktikkan inisiatif diguna pakai bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memperkasakan aspek pembangunan modal insan sewaktu pelaksanaan RMK9, dalam pelaksanaan RMK12 kelak.

Tambah beliau, cadangan memperkasakan aspek pembangunan modal insan itu penting, selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia' diperkenalkan Ismail Sabri dengan mekanisme pembangunan isi rumah dititikberatkan kerajaan.

"Kita perlu mencontohi negara Hong Kong yang bijak memanfaatkan keupayaan seluruh anggota isi rumah untuk menjadi penyumbang ekonomi yang produktif kepada negara itu.

"Hal ini terbukti apabila negara itu berjaya mewujudkan satu masyarakat keusahawanan mantap di peringkat komuniti dan isi rumah dengan kelompok ini kemudiannya disokong kumpulan usahawan yang memiliki kedudukan kewangan serta pengaruh perniagaan yang kukuh.

"Melalui cara ini, setiap anggota isi rumah mampu menjadi pekerja mahir dan separuh mahir terhadap bidang keusahawanan diceburi, sekali gus menyumbang kepada pendapatan isi rumah seterusnya negara,” katanya.

SAMBUNG MOU GENCATAN POLITIK

Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi daripada Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berpendapat langkah paling penting dilaksanakan kerajaan Ismail Sabri bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan RMK12 adalah dengan memastikan MoU gencatan politik antara kerajaan dan pembangkang disambung selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pembentangan RMK12 yang bakal dilaksanakan Perdana Menteri pada Isnin hadapan amat penting bagi menentukan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ujar beliau, MoU bersifat gencatan politik itu tidak wajar diadakan semata-mata bagi mendepani sesuatu krisis, sebaliknya mampu menjadi platform anjakan paradigma antara kerajaan dan pembangkang bagi memastikan politik negara stabil serta lebih ramai pelabur luar melabur di Malaysia.

"Pada masa hadapan, apabila kerajaan baharu dibentuk selepas PRU tidak lagi bimbang mereka bakal digulingkan, maka kestabilan politik akan tercapai dan kerajaan itu akan lebih fokus kepada kesejahteraan ekonomi negara dengan bantuan penglibatan pembangkang sebagai semak dan imbang berkesan.

"Saya juga ingin mencadangkan mungkin Perdana Menteri boleh mengehadkan jumlah ahli Jemaah Kabinet dan tidak lagi meneruskan amalan pelantikan Duta Khas atau jawatan penasihat bertaraf menteri pada masa hadapan.

"Hal ini kerana kerajaan mampu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan RMK12 yang dirancang selama lima tahun sekiranya lebih banyak wang negara dijimatkan dari sudut pengurusan,” katanya.

Ditanya bidang penting yang perlu difokuskan kerajaan dalam RMK12, Shazali menegaskan Malaysia perlu mencari mekanisme terbaik bagi menarik pelabur asing untuk melabur dalam bidang teknologi futuristik ke negara ini.

Hal ini disebabkan bidang ini merupakan bidang tumpuan utama pada masa hadapan dengan Malaysia sebenarnya sudah sedikit ketinggalan apabila negara jiran Vietnam dan Indonesia sudah berjaya menarik sebahagian pelabur dalam bidang itu ke negara masing-masing.

"Selain itu, silibus atau model pembelajaran di institut pengajian tinggi (IPT) kerajaan dan swasta di negara ini juga perlu diperkasa dan dipermodenkan selari dengan ledakan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang tercetus ketika ini.

"RMK12 harus menfokuskan kepada usaha mempertingkatkan program reskilling dan upskilling modal insan, terutama dalam kalangan ratusan ribu graduan tempatan yang masih menganggur selain memastikan kebergantungan kepada pekerja asing diminimumkan sepenuhnya,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca