SHAH ALAM – Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman secara peribadi menyokong usaha menyatukan kembali dua parti Melayu terbesar di antara Bersatu dan UMNO, dengan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM – Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman secara peribadi menyokong usaha menyatukan kembali dua parti Melayu terbesar di antara Bersatu dan UMNO, dengan syarat keputusan itu perlu dipersetujui secara kolektif oleh pucuk kepimpinan kedua-dua parti.

Jelas beliau, di peringkat MPT Bersatu, cadangan kemungkinan kerjasama UMNO-Bersatu kembali wujud bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sememangnya pernah dibangkitkan, namun dari aspek perbincangan Bersatu akan kembali menyertai UMNO tidak pernah timbul.

Katanya, sokongan beliau terhadap cadangan penggabungan kembali UMNO dan Bersatu juga bergantung kepada situasi semasa, terutamanya terhadap perkembangan terkini struktur kepimpinan UMNO yang dijangka mengadakan pemilihan parti itu pada tahun hadapan.

"Secara peribadi, saya menyokong penggabungan semula Bersatu dan UMNO dengan masing-masing meletakkan kepentingan kelangsungan bangsa, agama dan negara pada aras lebih tinggi daripada kepentingan politik kepartian.

"Tetapi perkara itu bergantung kepada situasi semasa terutama perkembangan dalaman UMNO dan situasi politik negara. Nampaknya, cahaya ke arah itu sebenarnya ada.

"Pada waktu sama, kepimpinan Bersatu dan UMNO kena membuat keputusan secara kolektif sama ada bersetuju cadangan itu direalisasikan atau tidak. Tidak boleh buat jika saya sahaja yang mahukan penyatuan, tetapi majoriti kepimpinan parti tidak mahu ke arah itu,” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Muhyiddin (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pimpinan Bersatu Negeri Johor, di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, Muar, pada Jumaat.

SINAR PENYATUAN

Beliau berkata demikian bagi mengulas polemik hala tuju kerjasama politik antara UMNO dan Bersatu susulan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan hubungan kedua-dua parti Melayu itu masih dalam keadaan samar.

Menerusi satu sidang media pada Khamis, Muhyiddin turut menegaskan beliau sendiri sukar meramalkan masa hadapan hubungan antara Bersatu-UMNO, namun mengakui kerjasama antara dua parti itu masih wujud ketika ini.

Akar umbi dan sebilangan pemimpin Bersatu menyalahkan kelompok 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehingga menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Bersatu tumbang, bulan lalu.

Sebelum itu, UMNO turut meluluskan usul menamatkan kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRU15, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, Mac lalu.

Awal bulan September, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz meramalkan Bersatu bakal kembali bergabung di bawah payung UMNO sebelum PRU15 berlangsung

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz mengakui sekiranya usaha penggabungan atau kerjasama politik antara Bersatu-UMNO kembali menjadi kenyataan, majoriti pengundi kaum Melayu dan orang Islam akan menyokongnya secara total.

Tambah beliau, hal ini kerana kelompok Melayu yang bersikap nasionalis serta sayangkan negara mahukan kaum itu bersatu di bawah barisan kepimpinan parti-parti Melayu yang dihormati dan menonjolkan nafas baharu.

"Secara peribadi, saya yakin jika usaha penyatuan kembali UMNO-Bersatu menampakkan sinar, Muhyiddin sendiri akan berjiwa besar untuk menjadi perintis kepada usaha itu direalisasikan kerana bekas Perdana Menteri itu bukan bersifat assabiyah.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat nafikan ada wujud kelompok Bersatu yang masih memandang UMNO sebagai musuh perlu dilenyapkan, meskipun kelompok ini tidak begitu berpengaruh dan sering melakukan reaksi balas berpandukan tindak-tanduk pemimpin kluster mahkamah dalam UMNO.

"Menjelang PRU15 yang semakin hampir, saya amat berharap pemimpin kedua-dua parti dapat membuat keputusan lebih rasional demi kepentingan agama, bangsa dan negara kerana kaum Melayu bukan sahaja kena pandai berkongsi kuasa, sebaliknya perlu menonjolkan barisan kepimpinan berkaliber untuk mentadbir negara,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca