KUALA LUMPUR - Dengan lebih 230 juta kes di seluruh dunia tidak dapat disangkal lagi pandemik Covid-19 membawa impak cukup besar bukan sahaja kepada kehidupan manusia, bahkan rantaian kehidupan lain termasuk flora dan fauna. Di Malaysia,... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Dengan lebih 230 juta kes di seluruh dunia tidak dapat disangkal lagi pandemik Covid-19 membawa impak cukup besar bukan sahaja kepada kehidupan manusia, bahkan rantaian kehidupan lain termasuk flora dan fauna.

Di Malaysia, zoo turut menerima tempias apabila terpaksa menutup pintu kepada pengunjung susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersilih-ganti bermula Mac tahun lalu.

Untuk rekod, sejumlah 183,198 pengunjung melawat Zoo Negara sepanjang tahun 2020 berbanding hanya 64,702 pengunjung pada tahun 2021 berikutan Zoo Negara hanya sempat dibuka pada awal tahun.

Diibaratkan ikon kebangsaan, Zoo Negara yang dibuka pada 14 November 1963 oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman kini berdepan masalah kewangan berikutan tidak dapat menerima kehadiran pengunjung seperti sebelum pandemik.

Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @Rahmat Ahmat Lana, Zoo Negara hanya mampu bertahan untuk beberapa bulan lagi dengan dana sedia ada selain mengharap sumbangan orang ramai.

"Berikutan pandemik kami tidak dapat menerima kedatangan pengunjung dan ini bermakna sifar pendapatan untuk Zoo Negara,” ujar Rosly kepada Sinar Premium baru-baru ini.

Rosly memaklumkan kos elektrik di Pusat Konservasi Panda Gergasi menelan belanja puluhan ribu sebulan.

PERTAHANKAN LEGASI

Namun di sebalik cabaran kewangan yang dihadapi, Rosly mengakui tetap optimis legasi Zoo Negara akan dapat dipertahankan demi tatapan generasi akan datang.

Menurut beliau, Zoo Negara masih beruntung kerana selain kerajaan terdapat pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai yang prihatin terhadap nasib haiwan-haiwan di Zoo Negara.

"Sebelum PKP pertama misalnya, Zoo Negara menerima bantuan kewangan dari kerajaan berjumlah RM1 juta manakala sepanjang tahun lalu kira-kira RM11 juta berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai.

"Selain itu, Zoo Negara turut menerima sumbangan seperti sayur-sayuran, ayam dan ikan daripada pekebun dan penternak yang tidak dapat memasarkan produk mereka ketika PKP,” katanya lagi.

Panda gergasi berasal dari China merupakan antara tarikan istimewa di Zoo Negara selain haiwan-haiwan lain seperti orang utan dan harimau.

KEBAJIKAN

Dalam pada itu, selain kebajikan haiwan, kebajikan para petugas Zoo Negara yang menjalankan tugas rutin masing-masing setiap hari juga tidak diabaikan walaupun situasi kewangan tidak begitu memberangsangkan.

"Pembayaran gaji petugas juga tidak banyak terjejas walaupun bayaran kerja lebih masa terpaksa dikurangkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, demi mengubati kerinduan orang ramai, pihaknya turut menyajikan program ZOOKU at HOME yang membawa ‘pengunjung’ melawat haiwan di Zoo Negara secara maya.

Kini selepas genap empat bulan ditutup operasi kerana total lockdown pada tahun ini, Zoo Negara akan kembali membuka pintunya kepada pengunjung mulai 1 Oktober atau Jumaat ini.

Klik di sini untuk terus membaca