KUMPULAN Taliban telah mengambil alih Kabul, ibu kota Afghanistan pada 15 Ogos lalu, sekali gus menandakan berakhirnya konflik antara Taliban dengan Amerika Syarikat (AS) yang telah berlangsung selama 20 tahun. Setelah mengambil alih... Klik di sini untuk terus membaca

KUMPULAN Taliban telah mengambil alih Kabul, ibu kota Afghanistan pada 15 Ogos lalu, sekali gus menandakan berakhirnya konflik antara Taliban dengan Amerika Syarikat (AS) yang telah berlangsung selama 20 tahun.

Setelah mengambil alih Afghanistan, Taliban mengumumkan penubuhan pemerintahan sementara pada 7 September.

Timbul persoalan, bagaimana masyarakat antarabangsa khususnya Malaysia harus respons?

Pertama, kebangkitan semula Taliban di Afghanistan sudah dijangka dan mereka kini sedang berusaha untuk memperoleh pengiktirafan masyarakat antarabangsa.

Taliban 2.0 lebih bersifat pragmatik dan mengatur semula pemerintahan supaya ia lebih bersifat inklusif dengan penyertaan pelbagai etnik.

Kedua, masyarakat antarabangsa perlu menerima hakikat Taliban sudah kembali berkuasa di Afghanistan. Mereka adalah pemerintah de facto Afghanistan.

Jadi, adalah lebih wajar untuk berinteraksi dengan mereka daripada mengisolasi Taliban daripada masyarakat antarabangsa.

Disebabkan keadaan di Afghanistan masih belum menentu, maka kerajaan masing-masing mengambil langkah berjaga-jaga dan mengambil masa untuk memahami perkembangan politik serta keselamatan di Afghanistan sebelum mereka boleh memberi pengiktirafan.

Ketiga, usaha bilateral melalui program bantuan kemanusiaan kepada penduduk Afghanistan yang mengalamai konflik lebih empat dekad.

Ia boleh dilakukan dengan kerjasama antara kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan. Kementerian Luar Malaysia atau Wisma Putra boleh menyalurkan bantuan melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia atau Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP).

Kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh juga berkongsi tenaga kepakaran perubatan bagi membantu meningkatkan tahap kesihatan khasnya dalam usaha melawan pandemik. Kes Covid-19 di Afghanistan telah mencecah lebih 150,000 kes dengan kematian lebih 7,000 orang.

Oleh itu, masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia boleh menggunakan diplomasi kesihatan untuk membantu penduduk Afghanistan.

Badan-badan bukan kerajaan juga mempunyai peranan amat penting dalam usaha meringankan beban penduduk Afghanistan dan secara tidak langsung merapatkan Malaysia serta Afghanistan.

Ini adalah saluran alternatif, selain misi diplomasi. Ia melibatkan gerakan masyarakat sivil untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti kemanusiaan dan pembinaan semula Afghanistan tanpa mengira agama atau kaum.

Pelbagai bantuan boleh disalurkan termasuk menyediakan bekalan air dengan adanya pam, makanan, perubatan dan alat pemanas memandangkan musim dingin semakin hampir serta bantuan kepada mangsa pelarian Afghanistan ke Iran dan Pakistan.

PENGALAMAN PAHIT

Selain itu, badan-badan bukan kerajaan yang sentiasa berada di lokasi dan mengetahui keadaan sebenar di Afghanistan boleh berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan mengenai situasi semasa.

Oleh demikian, kita boleh ada alternatif untuk mengetahui isu-isu di Afghanistan dan tidak hanya bergantung kepada media semata-mata.

Keempat, kerjasama melalui usaha multilateral khasnya organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Organisasi Kerjasama Islamik (OIC) dan Shanghai Cooperation Organisation (SCO).

Negara-negara anggota SCO, misalnya Uzbekistan, Tajikistan, Pakistan dan China yang bersempadan dengan Afghanistan mempunyai kepentingan bersama untuk memastikan kestabilan di Afghanistan terpelihara.

Negara-negara Asia Tengah, Iran dan Pakistan mempunyai kelebihan kerana mereka mempunyai pertalian dari segi budaya, etnik, bahasa dan agama dengan penduduk di Afghanistan.

Justeru, negara-negara itu harus menjadi lebih pro-aktif dalam usaha pemulihan dan pembinaan semula Afghanistan.

Kelima, setelah pengunduran Amerika Syarikat (AS), masa depan Afghanistan kembali kepada tangan penduduk tempatan. Pengalaman pahit konflik selama lebih 40 tahun harus menjadi pengajaran.

Sejarah telah membuktikan negara-negara yang pernah mengalami peperangan seperti Bosnia, Tajikistan, Vietnam dan Kemboja kini sudah aman dan membangun, maka tidak mustahil Afghanistan untuk mencapai keamanan dan membangun semula.

Masyarakat antarabangsa seperti Malaysia dan anggota OIC yang prihatin boleh menyalurkan bantuan kemanusiaan tetapi masa depan Afghanistan mestilah ditentukan dan diusahakan oleh penduduk Afghanistan sendiri.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca