TAIPING - Bergelar zoo awam paling tua di Malaysia, Zoo Taiping yang dibuka pada 1961 dikelilingi alam semula jadi indah berhampiran kaki Bukit Larut.
Ia juga merupakan salah satu ikon pelancongan terkenal di negeri Perak.
Sebelum pandemik Covid-19 menyerang, Zoo Taiping menerima kehadiran ratusan ribuan pengunjung domestik dan luar negara yang teruja mahu menyaksikan hampir 150 spesies haiwan di zoo tersebut.
Untuk rekod, antara haiwan yang menjadi tarikan utama di Zoo Taiping ialah Harimau Malaya atau nama saintifiknya, Panthera Tigris Jacksoni dan juga Gajah Malaysia serta banyak lagi.
Namun setelah hampir dua tahun melalui pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu, Zoo Taiping masih belum dapat membuka pintu seperti biasa kepada pengunjung.
Menurut Pengarah Zoo Taiping & Night Safari, Dr Kevin Lazarus, walaupun tidak terjejas daripada segi kos operasi, namun ketiadaan pengunjung menjejaskan pendapatan Zoo Taiping.
"Untuk pengetahuan, Zoo Taiping berada di bawah bidang kuasa Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan terdapat peruntukan khas yang disediakan untuk zoo.
"Jadi kami tidak begitu terjejas daripada segi kos operasi, tetapi dengan ketiadaan pengunjung, pendapatan Zoo Taiping merosot,” ujar beliau.
Lazarus berkata, tahun lalu berlaku 45 peratus penurunan jumlah pengunjung ke Zoo Taiping susulan PKP yang membatas pergerakan orang ramai demi menangani pandemik Covid-19.
"Kira-kira 680,000 orang mengunjungi Zoo Taiping pada tahun 2019 dan pengurangan sebanyak 45 peratus bermakna kita hanya menerima kurang 300,000 orang pada tahun lalu,” katanya lagi.
Namun, Zoo Taiping masih dikira bernasib baik kerana selain peruntukan sedia ada oleh MPT, ia turut menerima bantuan pelbagai pihak antaranya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Jabatan Perhilitan yang memberi sumbangan kerja naik taraf pameran dan kurungan malam, kos makanan, perubatan serta sanitasi.
Malah kerajaan Negeri Perak turut membantu dalam menyediakan Geran Penyelenggaraan Tahunan dan kerja-kerja pembangunan di Zoo Taiping.
"Selain sumbangan wang tunai daripada pelbagai pihak yang prihatin, Zoo Taiping turut menerima sumbangan daging (rampasan) untuk makanan haiwan dari pada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan pasar raya terdekat serta syarikat bekalan ayam (ayam sejuk beku).
"Sumbangan ini pastinya amat membantu pihak Zoo Taiping yang membelanjakan hampir RM150,000 ke RM160,000 sebulan untuk membiaya kos makanan haiwan,” katanya sambil menambah kira-kira RM5 juta diperlukan untuk menampung kos operasi Zoo Taiping dalam setahun.
LIMA TAN MAKANAN SEHARI
Dalam pada itu, Lazarus berkata, anggaran empat hingga lima tan makanan sehari diperlukan untuk menampung keperluan lebih 1,500 haiwan yang ada di Zoo Taiping.
"Haiwan pemangsa besar (pemakan daging) seperti harimau dan singa serta haiwan herbivor yang makan dalam kuantiti banyak seperti gajah dan badak air menelan belanja yang tinggi.
"Kos makanan untuk haiwan herbivor adalah murah tetapi kuantiti dimakan adalah banyak. Seekor gajah misalnya, makan sekitar 250 - 300 kilogram makanan sehari. Untuk harimau dan singa pula antara lima hingga lapan kilogram daging sehari,” katanya lagi.
Sepertimana harapan 32 juta rakyat Malaysia, Lazarus mewakili pengurusan Zoo Taiping turut mengharapkan agar pandemik Covid-19 ini dapat segera ditangani.
"Kita berharap keadaan akan semakin pulih dengan adanya langkah pencegahan seperti program vaksinasi namun pada masa sama kita masih perlu mematuhi segala SOP kesihatan,” katanya lagi.
Beliau turut mengharapkan sekiranya keadaan mengizinkan untuk zon pelancongan kembali dibuka orang ramai dapat terus memberi sokongan bukan sahaja kepada Zoo Taiping bahkan zoo lain di Malaysia.
Dengan kelonggaran diberikan oleh pihak kerajaan dalam aktiviti ekonomi dan sosial, Zoo Taiping kini dalam perbincangan untuk mendapat tarikh pembukaan operasi zoo tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca