[MUKADIMAH] Kontroversi cabutan nombor ekor sebanyak 22 kali bagi tahun 2021 baru-baru ini tidak akan timbul jika Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2021 atau RUU 355 dapat direalisasikan serta... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Kontroversi cabutan nombor ekor sebanyak 22 kali bagi tahun 2021 baru-baru ini tidak akan timbul jika Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2021 atau RUU 355 dapat direalisasikan serta difahami oleh umat Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Ketua Dewan Ulama Pas, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menambah, walaupun beliau tidak bersetuju cabutan itu diluluskan kerajaan kerana tidak kena masanya, perkara itu masih dibolehkan dalam RUU 355 jika cabutan nombor ramalan itu hanya melibatkan orang bukan Islam.

Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Nik Muhammad Zawawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II turut memperbaharui azamnya untuk mengubah kehidupan petani daripada sekadar mencari makan kepada menjadi orang kaya baharu melalui pertanian dan penternakan.

Ikuti wawancara Ahli Parlimen Pasir Puteh, Kelantan itu bersama wartawan Nurul Huda Husain dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid.

SINAR AHAD: YB merupakan timbalan menteri yang baharu dilantik dalam kabinet. Apakah perasaan YB?

NIK MUHAMMAD ZAWAWI: Pertamanya, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana memberi kepercayaan kepada saya, alhamdulillah.

Pada peringkat awal saya berasa serba salah. Saya merasakan perkara ini besar dari sudut tanggungjawab kerana bila saya pegang (jawatan), saya menganggap perkara ini amanah yang mesti saya pikul, bukan satu kemuliaan.

Tapi apa pun, apabila saya masuk ke Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sangat faham jiwa saya. Beliau banyak memberi bantuan serta dorongan. Beliau memudahkan dan saya berasa ringan sedikit kerana ada ruang untuk bergerak lebih maju bersamanya di bawah MAFI.

Dr Nik Muhammad Zawawi (bersongkok) bersama kru Sinar Ahad di pejabatnya pada Jumaat.

Apakah yang akan YB lakukan untuk membantu MAFI mencapai sasaran 100 hari yang ditetapkan Perdana Menteri?

Sasaran 100 hari ini adalah petunjuk prestasi utama (KPI) yang sangat tepat supaya semua menteri dan timbalan menteri bekerja bersama-sama dengan pegawai yang ada di kementerian masing-masing.Kalau tidak ada, tempoh 100 hari ini akan hanyut. Perdana Menteri merupakan seorang yang berpengalaman dan mahu melihat pencapaian.

Kebetulan, saya baharu di MAFI tapi Dr Ronald Kiandee dan Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, kedua-duanya daripada kerajaan sebelum ini.

Apabila saya masuk MAFI, saya juga melihat menteri sudah mempunyai pelan. Banyak perkara yang akan dibuat sama ada pelan 100 hari, setahun atau dua tahun.

Selain itu, saya melihat pasukan yang bekerja di bawah MAFI ini sangat mantap kerana pegawainya yang berpengalaman.

Secara umumnya, kita mahu menjadikan MAFI ini sebagai sebuah kementerian yang mampu menaikkan imejnya agar bekalan makanan negara bukan sahaja cukup, tetapi jika boleh dapat dilonjakkan lagi. Sekiranya boleh, kita mahu mengeluarkan lagi hasil pertanian kita ke luar negara.

Insya-ALLAH, saya yakin kepimpinan di MAFI ini membolehkannya muncul sebagai sebuah kementerian yang di dalamnya terdapat perniagaan pertanian. Maknanya, kita akan mencapai keuntungan yang besar untuk negara melalui MAFI.

Selain itu, kita juga mahu memastikan rakyat mendapat manfaat semaksimum mungkin melalui MAFI kerana MAFI adalah ‘sentuhan’ kepada rakyat. Petani, nelayan dan penternak di bawah MAFI.

Kita akan laksanakan ‘sentuhan-sentuhan’ daripada kerajaan kepada rakyat agar mereka sedar seperti melalui pertanian, mereka boleh mencari makan.

Kalau boleh kita mahu rakyat menjadi jutawan melalui pertanian dan penternakan. Melalui nelayan pula, banyak perkara yang boleh kita kembangkan seperti produk hiliran.

Apakah cabaran terbesar YB hadapi dalam menjalankan tugas sebagai timbalan menteri?

Banyak. Apabila kita turun ke medan, kita bersama dengan rakyat. Rakyat adalah masyarakat yang ramai. Tentunya pelbagai kerenah dan tidak nafikan bila kita hulurkan sumbangan seperti duit, ia habis dan tidak digunakan untuk pertanian. Kita hulurkan peralatan, ada yang menjualnya. Ini cabaran-cabaran kita.

Yang kedua cabaran kita dari sudut penggunaan teknologi pertanian yang ada. Sebagai contoh usahawan padi. Kalau lihat dari zaman saya dahulu, satu hektar tanah kita boleh dapat dalam dua tan metrik. Bila saya lihat hari ini, masih lagi dua tan metrik. Itu merupakan cabaran dari sudut (penggunaan teknologi dalam kalangan petani).

Saya juga tertarik dengan program berkelompok atau berskala besar pesawah yang diperkenalkan Dr Ronald Kiandee.

Daripada dua tan metrik, alhamdulillah hasil meningkat 7.9 tan metrik iaitu lebih sekali ganda. Bukan mudah untuk kita mengumpulkan petani dan bersatu hati. Pelbagai tanggapan yang dibuat seperti tanah akan tergadai dan lain-lain.

Insya-ALLAH saya tidak akan berhenti. Kita nak kalau boleh pesawah bukan sekadar cukup mencari makan tapi dia menjadi kaya.

Kerajaan sedang mempergiat usaha mendraf RUU 355. Bagaimana YB melihat perkara ini?

Suka saya sebut dengan jujur, saya merakam jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri. Sebenarnya syariat Islam adalah satu syariat yang terbaik di dunia hari ini.

Ia merangkumi atau memayungi semua agama, bangsa dan masyarakat. Ia adalah satu syariat yang diturunkan oleh ALLAH dan paling sesuai untuk manusia sejagat terutama golongan yang melihat perkembangan dunia dari sudut profesional atau ikut logik akal manusia.

Apabila kita bincang masalah RUU 355, pertamanya saya ingin betulkan persepsi dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Masyarakat bukan Islam jangan menganggap bila RUU ini terbentuk nanti, mereka rasa akan terhimpit, tidak ada peluang atau Islam menindas mereka.

Saya ingin betulkan bahawa Islam bukan agama untuk Melayu sahaja atau hak eksklusif mana-mana kaum. Islam ini adalah agama semua.

Namun, RUU355 adalah satu peraturan yang wajib dikuatkuasakan ke atas umat Islam sahaja. Ia tidak membabitkan masyarakat bukan Islam.

Orang bukan Islam ada kebebasan mereka. Mereka boleh buat upacara agama mereka, amalkan adat budaya dalam kalangan mereka. Mereka boleh minum arak dan jual arak, tapi RUU355 akan memastikan penglibatan orang Islam dengan perkara ini tidak berlaku.

Sebagai contoh apa yang heboh dalam televisyen sehari dua ini berkaitan cabutan nombor ekor daripada lapan kepada 22 cabutan dalam masa setahun. Bising. Kalau datang RUU355 ini mudah sahaja, bukan sahaja 22 (cabutan), hendak buat 55 atau 100 kali pun boleh, tidak ada masalah tapi mesti membabitkan golongan bukan Islam sahaja.

Insya-ALLAH dengan izin ALLAH SWT, RUU 355 ini akan dibawa ke Parlimen. Saya harap semua ahli Parlimen Islam atau bukan Islam menyokong. Insya-ALLAH kita akan ada undang-undang (wajib tunai) sembahyang, (sekarang) ini tidak ada lagi. Puasa begitu juga, zakat dan haji pun begitu. Ada orang kaya raya tapi tidak pergi ke Mekah.

RUU 355 akan menguruskan perkara ini supaya umat Islam hidup dalam keadaan beragama bagi melahirkan umat yang mampu berdaya saing dalam semua aspek.

Adakah RUU 355 ini mampu dilaksana sebelum Pilihan Raya Umum ke-15?

Bila dibawa ke Parlimen, itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan. Kemudian ia dibaca sampai jadi perundangan. Hukum-hakam ini wajib, bukan sunat. Kita mesti laksanakan undang-undang mengikut tahap.

Jadi semua rantaian ini adalah pelaksanaan Islam. Sebagaimana seseorang itu kahwin, jangan pula kita sebut bila kahwin esok, kita hendak anak terus, dapat anak baru kahwin. Tidak, ia ada proses.

Sama seperti RUU ini apabila Perdana Menteri kata akan dibawa ke Parlimen, itu adalah pelaksanaan Islam. Insya-ALLAH kita akan buat satu program yang besar supaya kita mampu menerangkan kepada masyarakat majmuk. Itu pelaksanaan Islam, kita buat langkah demi langkah, jadi tahap mana yang kita mampu laksanakan sehingga PRU, kita serah kepada ALLAH.

Kalau rakyat kita cepat menguasai bidang ini, mereka boleh faham dengan baik, insya-ALLAH lajulah prosesnya nanti. Kalau perkara ini lambat berlaku maka ia akan memakan masa panjang sedikit.

Cara kerajaan menjelaskan perkara ini nanti mampu meredakan segala-segalanya kerana ia hanya membabitkan orang Islam dan membabitkan penguatkuasaan (ke atas orang Islam sahaja).

RUU 355 ini bertujuan melahirkan umat Islam yang hebat. Jadi tidak ada sebab untuk tidak sokong. Apabila datang RUU ini, insya-ALLAH saya yakin masyarakat akan faham.

Ada pihak mengkritik Pas berhubung keputusan kerajaan meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini. Apa komen YB?

Masih ramai sebenarnya dalam kalangan orang Islam sendiri yang tidak faham syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh ALLAH.

Mereka tidak faham menyebabkan bila datang isu 22 cabutan ini yang diluluskan pihak kerajaan, jadi mereka bising kata ini maksiat dan sebagainya.

Ya, maksiat bagi orang Islam, cuma pengisytiharan dalam situasi sekarang ini, saya juga tidak bersetuju.

Saya rasa kerajaan akan kaji balik kerana kita belum ada lagi satu peraturan yang jelas membezakan antara hak dan kebebasan orang Islam serta hak dan kebebasan orang bukan Islam.

Apakah Pas menyokong Akta Antilompat Parti?

Pas menyokong penuh Akta Antilompat Parti. Lompat parti ini melibatkan lompat semasa dia duduk dalam kerajaan. Itu kita kena ingat, di luar daripada ini macam orang biasa dia boleh lompat (tetapi), yang tidak boleh lompat ini adalah wakil rakyat. Wakil rakyat tidak sepatutnya lompat-melompat sebab mandat diberikan oleh rakyat atas nama parti ini (ketika bertanding dalam pilihan raya).

Insya-ALLAH undang-undang antilompat parti ini akan membuatkan kedudukan wakil rakyat tergugur. Jadi kita menyokong penuh.

Sejauh mana Pas mampu menarik golongan muda untuk mengundi Pas?

Pas bergerak mengikut lunas-lunas Islam sebagaimana yang Rasulullah perjuangkan. ALLAH ajar kita supaya mendidik generasi muda. Itu adalah salah satu daripada ajaran Islam, maka insya-ALLAH Pas, kita sekian lama melalui Dewan Pemuda, Dewan Ulamak pun ada orang muda, bekas pelajar universiti dan sebagainya. Jadi kita menggunakan jentera ini untuk bersama-sama dengan rakyat. Kita rasa kita tidak ada masalah, bahkan yang mencadangkan supaya Undi 18 ini termasuklah UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri. Kita menaruh harapan kepada generasi muda supaya mereka dilatih dengan politik. Latihan politik pada umur awal ini akan mematangkan seseorang sebab politik ini luas.Kalau orang muda di universiti, mereka sudah mula berlatih. Seseorang yang melibatkan diri dengan politik akan menyebabkan cara penulisan, bercakap dan bekerja menjadi matang. Disebabkan itu, penurunan umur mengundi kepada 18 tahun ini saya sangat sokong agar latihan politik ini berlaku lebih awal di samping cepat negara kita menjadi negara maju.

Tabiat negara maju ini bermula dari generasi awal sehingga kepada yang sudah pencen, semuanya masih berfungsi untuk membina negara. Cuma dari sudut nak memimpin, barangkali ALLAH akan mendatangkan seorang tokoh berumur 18 tahun yang matang dan mengapa tidak kita angkat dia menjadi seorang pemimpin yang hebat? PRU15 akan berlangsung tidak lama lagi.

Bagaimana dengan persediaan Pas menghadapi PRU15? Adakah pembahagian kerusi telah dibincangkan?

Di Semenanjung, kita sudah mula berbincang dengan tiga parti. Di Sabah dan Sarawak melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga kita telah memulakan perbincangan. Kebetulan saya salah seorang daripada anggota majlis mesyuarat dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN). Insya-ALLAH kita dapat selesaikan dengan cara yang baik pembahagian kerusi ini.

MoU telah dimeterai antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH). Apakah pendirian Pas? Kita menyokong semuanya. Sudah tiba masanya kita memastikan negara menuju ke satu matlamat. Salah satu perkara asas di Malaysia ini ialah kerajaan dan pembangkang kena berjalan seiring. Sudah sampai masanya pembangkang tidak membangkang segala-galanya.

Mutakhir ini kalau kita lihat pembangkang, mereka membangkang semua. Contohnya bajet untuk rakyat dibangkang dan pemberian bantuan kepada nelayan serta petani dibangkang. Tetapi sewaktu zaman mereka, dipotong (bajet).

Kita tidak akan menjadi negara maju sekiranya pembangkang dan kerajaan tidak berjalan seiring. Cuba kita lihat negara maju. Pembangkang di negara itu membangkang perkara yang sepatutnya dibangkang seperti dari sudut polisi.

Membangkang 100 peratus perlu dibuang. Jadi, langkah yang kita ambil adalah dengan membuat satu MoU dan perjanjian terutamanya bajet untuk rakyat. Pembangkang boleh membangkang, mencadangkan dan kerajaan akan dengar.

Hubungan antara kerajaan dan pembangkang di negara ini juga perlu diperbaiki sekiranya mahu pergi lebih jauh seperti mahu membincangkan tentang generasi akan datang, masa depan dan negara kita.

ANEKDOT

Keluarga sangat menjaga agama

Saya dilahirkan dalam keluarga miskin, keluarga petani dan penoreh getah. Cuma dalam hidup saya ini, saya rasa kejayaan yang saya capai banyak dijaga dan dikawal selia oleh ALLAH SWT. Sebab kita semua tahu kalau keluarga kita susah, ia mengganggu pendidikan, kehidupan dan macam-macam.

Alhamdulillah saya dapat lalui semua ini. Saya berterima kasih kepada ibu bapa yang mendidik saya. Pendidikan paling istimewa yang diberikan kepada saya ialah menjaga agama.

Keluarga saya sangat kuat menjaga agama. Pada tahun 1960-an ibu saya sudah memakai niqab. Cuma sekarang tidak pakai sebab sudah tua. Zaman itu zaman orang tidak bertudung. Kalau dalam kampung satu-satunya keluarga bila masuk waktu solat, anak-anak berderet pergi masjid solat jemaah hanya keluarga saya. Rata-rata anak umur 12 tahun, 15 tahun memang jarang pergi surau atau masjid.

Bersumpah tidak akan balik rumah

Hidup susah banyak memberi inspirasi kepada saya. Semasa belajar di Mesir dan Jordan, saya cari duit sendiri. Ibu bapa ada hantar wang tapi tiga bulan sekali dan sekitar 50 dolar mengikut kemampuan.

Jiwa saya juga sudah biasa susah, jadi agak kental sedikit dengan kesusahan. Turun (dari) rumah, saya pernah bersumpah tidak akan balik (rumah) jika tidak mendapat sarjana. Alhamdulillah, ALLAH bagi.

Cita-cita mahu jadi wakil rakyat

Cita-cita saya memang nak menjadi ahli politik. Pada tahun 1985 sewaktu saya berada di tingkatan lima, saya sudah berceramah di atas pentas Pas. Waktu itu orang panggil (saya) ‘Ustaz Budak Comel’. Masyhur. Pada masa itu juga ramai ustaz yang berceramah merata-rata. Saya juga pada umur itu telah menyampaikan khutbah Jumaat. Alhamdulillah.

PROFIL

Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh

Umur: 54

Asal: Pasir Puteh, Kelantan

Pendidikan:Doktor Falsafah (PhD) Dakwah dan Kepimpinan, UKM

Sarjana Aqidah dan Falsafah, Universiti Al-Bayt, Jordan

Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Tafsir), Universiti Al-Azhar, Mesir

Politik: Ahli Parlimen Pasir Puteh

Ketua Dewan Ulamak Pas

Kerjaya: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II

Bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang

Bekas Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan

Klik di sini untuk terus membaca