PENGESAHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Parlimen bahawa 20 peratus atau 580,000 isi rumah kumpulan M40 telah jatuh menjadi B40 susulan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidaklah... Klik di sini untuk terus membaca

PENGESAHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Parlimen bahawa 20 peratus atau 580,000 isi rumah kumpulan M40 telah jatuh menjadi B40 susulan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidaklah memeranjatkan.

Sebelum penularan Covid-19 di Malaysia awal tahun lalu, beberapa orang ahli ekonomi dan penyelidik telah pun mengesan aliran berkenaan.

Pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan sejak dua dekad lalu menyebabkan pendapatan tidak meningkat dengan secukupnya, sedangkan kos sara hidup terus naik, menjadi antara punca berlaku kemerosotan tersebut.

Kumpulan M40 atau kelas menengah terbentuk hasil pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia susulan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mulai 1971 dan dasar-dasar pembangunan selepasnya.

Selain berjaya membasmi kemiskinan, DEB sedikit sebanyak berjaya menyusun semula masyarakat. Kelas menengah, khususnya bumiputera terbentuk hasil kejayaan matlamat penyusunan semula masyarakat. Sebelum itu boleh dikatakan tidak ada kelas menengah bumiputera.

Malangnya, proses itu terhenti atau setidak-tidaknya pun menjadi lembap apabila berlaku Krisis Ekonomi Asia pada 1997 dan 1998. Ia menyebabkan kehilangan sumber kekayaan yang teruk dan membantutkan pertumbuhan ekonomi.

Sebelum krisis itu berlaku, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar sangat pesat iaitu purata 6.5 peratus setahun sejak merdeka. Malah, ada masa ia berkembang lebih 10 peratus setahun. Namun, sejak krisis tersebut, pertumbuhan menjadi lebih perlahan.

Bank Dunia melaporkan sejak 2010, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar purata 5.6 peratus sehinggalah berlaku Covid-19 yang menyebabkan ekonomi menguncup 5.6 peratus. Ekonomi diramalkan tumbuh semula pada kadar tiga hingga empat peratus tahun ini.

Dalam mana-mana negara pun, golongan kelas menengah menjadi ukuran kejayaan ekonomi dan masyarakat. Lagi besar kelas menengah berbanding jumlah penduduk, maka lagi maju, stabil dan bertamadun sesebuah negara.

Selain pendapatan yang kukuh, anggota kelas menengah lazimnya mempunyai tahap pendidikan dan kesedaran sosial yang tinggi. Ciri-ciri itu membantu mengukuhkan kestabilan politik dan ekonomi.

Bagi masyarakat bumiputera, kelas menengah dibina umumnya melalui guna tenaga sektor awam. Maksudnya, mereka bekerja dengan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau menjadi pembekal kepada kerajaan.

KUMPULAN PALING BERTUAH

Tidak ramai bumiputera yang bekerja dengan sektor swasta berada dalam kategori kelas menengah. Begitu juga yang bekerja sendiri.

Isi rumah M40 yang ketua keluarganya bekerja dengan sektor swasta atau bekerja sendiri paling banyak tergelincir dan jatuh menjadi B40. Dalam keadaan ekonomi lemah sekarang, kumpulan paling bertuah adalah mereka yang bekerja dengan kerajaan atau GLC.

Rasanya tidak ada dalam kalangan mereka yang hilang pekerjaan. Kalau ada pun dikenakan sedikit potongan gaji. Itu pun masih ada yang tidak bersyukur.

Mungkin kakitangan awam ini tidak peduli dengan penderitaan rakan-rakan mereka dalam sektor swasta yang hilang mata pencarian.

Oleh sebab itulah saya telah berulang kali berkata bahawa ada had kepada PKP sebagai kaedah utama mengawal penularan Covid-19. Lambat laun kita terpaksa membebaskan pergerakan dan membuka semula ekonomi.

Jika tidak, akan berlaku keadaan rakyat selamat daripada Covid-19 tetapi menderita kebuluran kerana tiada sumber pendapatan.

Disebabkan penerimaan vaksin semakin luas dan pantas, harapan membebaskan pergerakan dan membuka semula ekonomi secara menyeluruh adalah lebih cerah.

Tugas sekarang adalah mencari jalan supaya semua penduduk divaksinasi dan memisahkan mana-mana yang enggan berbuat demikian atau tidak boleh divaksinasi daripada arus perdana yang telah menerima suntikan.

Hanya dengan cara itu, kita dapat membuka ruang seluas-luasnya bagi memulihkan semula ekonomi dengan harapan mereka yang tercicir dan tersingkir daripada aliran ekonomi perdana dapat kembali bertapak semula. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca