TAIPING - Pada 12 April tahun lalu, Zoo Taiping menerima kehadiran ahli keluarga baharu dengan kelahiran tiga ekor anak Harimau Belang Malaya diberi nama Puntum (jantan), Bayu dan Teja (betina).
Ketiga-tiga anak Harimau Belang Malaya itu yang kini berusia setahun lima bulan dilahirkan oleh seekor ibu Harimau Belang Malaya dewasa bernama Baby yang turut dilahirkan di zoo sama pada tahun 2009.
Bagi Mohamad Nasrul Syafiq, penjaga zoo yang bertugas menjaga Harimau Belang Malaya di Zoo Taiping & Night Safari, komitmen tinggi terhadap tugas diperlukan demi memastikan penjagaan haiwan tersebut berada pada tahap terbaik.
Menurutnya, walaupun Zoo Taiping masih ditutup kepada pengunjung, namun semua rutin harian petugas tetap berjalan seperti biasa.
"Setiap pagi saya akan membersihkan kandang dan kawasan sekitar tempat pameran serta memberi makan kepada harimau-harimau ini.
"Saya juga akan membawa keluar harimau dari kandang dan membiarkannya bermain-main di sekitar kawasan pameran walaupun tiada pengunjung untuk melihat aksi mereka,” katanya yang telah berkhidmat hampir tiga tahun di zoo terbabit.
POPULASI HARIMAU
Tambah anak muda berusia 28 tahun itu, walaupun pendapatan zoo terjejas akibat ketiadaan pengunjung susulan PKP, tiada sebarang kompromi dilakukan dalam bab penjagaan haiwan terutamanya pemakanan.
"Walaupun PKP, setiap haiwan diberi makan mengikut diet pemakanan masing-masing yang telah ditetapkan. Untuk harimau misalnya, setiap seekor diperuntukkan lima kilogram ayam dan tujuh atau lapan kilo daging,” katanya.
Untuk rekod, Harimau Belang Malaya merupakan spesies haiwan yang hidup secara bersendirian.
Malangnya, menurut International Union for Conservation of Nature, Harimau Belang Malaya semakin diancam kepupusan akibat pemburuan haram, kehilangan habitat dan pencemaran.
Berdasarkan kaji selidik Harimau Kebangsaan 2016-2020 populasi spesies itu kini kurang daripada 200 ekor.
Diharapkan dengan adanya institusi seperti Zoo Taiping yang menjalankan program konservasi dan pembiakan sasaran populasi 500 ekor dapat direalisasikan.
LAWAT ZOO SECARA MAYA MAKIN POPULAR
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir, mengakui Zoo Taiping & Night Safari merupakan antara ‘anchor product’ atau produk utama sektor pelancongan di negeri Perak yang menggamit kedatangan ratusan ribu pengunjung saban tahun.
"Zoo Taiping & Night Safari dikunjungi kira-kira 700,000 orang pelawat setiap tahun. Namun sejak negara dilanda pandemik Covid-19, pihak zoo perlu mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia agar tidak menerima pelawat sepanjang tempoh PKP.
"Pada tahun 2020, Zoo Taiping & Night Safari hanya dibuka untuk lawatan kurang dari sembilan bulan dan bagi tahun ini, ia hanya dapat dibuka untuk kunjungan pelawat kira-kira tiga bulan sahaja setakat ini,” ujar Khairul Amir.
Menyedari orang ramai amat mengambil berat tentang Zoo Taiping & Night Safari serta sentiasa menantikan peluang untuk mengadakan lawatan, pihak zoo menganjurkan sesi lawatan secara maya..
Sejak mengadakan sesi ‘pertemuan dan lawatan’ secara maya, Zoo Taiping & Night Safari menerima maklum balas amat baik daripada orang ramai kerana berpeluang melihat pelbagai aktiviti di zoo secara lebih dekat.
Kini jumlah pengunjung yang mengikuti lawatan maya semakin meningkat kepada lebih 130,000 ‘follower’ di media sosial berbanding hanya 20,000 sebelum ini.
Klik di sini untuk terus membaca