SUATU ketika dahulu tular diperkatakan tentang cadangan pindaan kepada Akta 355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pelbagai isu dibangkitkan banyak pihak sama ada yang menyokong atau membantah cadangan... Klik di sini untuk terus membaca

SUATU ketika dahulu tular diperkatakan tentang cadangan pindaan kepada Akta 355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pelbagai isu dibangkitkan banyak pihak sama ada yang menyokong atau membantah cadangan pindaan kepada akta tersebut melalui Rang Undang-undang Persendirian.

Saya mengambil pendirian menyokong cadangan itu kerana ia salah satu usaha yang akan memberikan lebih banyak kuasa kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi hukuman kepada kesalahan jenayah syariah.

Kini heboh diperkatakan lagi apabila pihak kerajaan antara lain mengumumkan mereka sedang dalam rangka untuk meminda Akta 355.

Reaksi sama diutarakan oleh pelbagai pihak, namun kali ini ada juga yang mengatakan negara sedang ke arah ‘Negara Taliban’ kerana kerajaan sendiri yang bercadang meminda skta tersebut.

Tuduhan itu sangat meleset sebenarnya dan timbul daripada kedangkalan memahami Akta 355 itu sendiri.

Malah, istilah ‘Negara Taliban’ juga tersasar daripada makna asalnya kerana ‘Taliban’ adalah perkataan dalam bahasa Arab yang bermakna pelajar.

Secara harfiahnya tiada salah jika kita menjadi sebuah negara pelajar. Istilah Taliban yang dipelopori Amerika Syarikat (AS) telah disalah erti sehingga menjadikan kalimah Taliban itu bersifat negatif.

Akta 355 sebenarnya adalah Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Disemak 1988).

Ia adalah suatu akta untuk memberi bidang kuasa kepada mahkamah-mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang negeri bagi maksud membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah hukum syarak.

Seksyen 2 Akta tersebut menyebut tentang bidang kuasa jenayah mahkamah syariah iaitu:-

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Ia bermakna DUN hanya boleh mengadakan kesalahan jenayah syariah yang hukumannya tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000 atau enam kali sebatan atau apa-apa kombinasi daripada hukuman tersebut.

NAIKKAN JUMLAH HUKUMAN

Saya percaya pindaan yang dicadangkan oleh pihak kerajaan adalah untuk menaikkan jumlah hukuman yang disebut di atas sebagaimana difikirkan sesuai oleh pihak kerajaan, selain mengadakan hukuman-hukuman lain yang tidak disebut dalam Akta 355 seperti hukuman bersifat restoratif, kerja kebajikan, hukuman yang mendidik dan banyak lagi bentuk hukuman lain.

Oleh itu, adalah suatu falasi yang nyata jika pindaan yang bakal dibuat menjadikan negara sebagai sebuah negara ekstrem.

Pindaan tersebut sejajar meletakkan falsafah hukuman dalam agama Islam di tempat yang sebenarnya.

Pindaan itu jika diluluskan memberikan kuasa kepada DUN, selain Wilayah-Wilayah Persekutuan mengadakan bentuk hukuman lebih tinggi dan hukuman baharu.

Terpulanglah kepada DUN berkenaan sama ada ingin menaikkan hukuman sedia ada atau tidak. Bukanlah secara automatik dengan pindaan kepada Akta 355, semua hukuman ditingkatkan.

Dalam hal itu, kuasa negeri masih tidak disentuh, malah Akta Parlimen memberikan kuasa yang lebih kepada negeri-negeri.

Saya melihat cadangan kerajaan meminda Akta 355 adalah untuk menjadikan hukuman kesalahan jenayah syariah dapat mencapai falsafah hukuman dalam jurisprudens Islam itu sendiri.

Pindaan itu juga tidak akan menyentuh hak orang bukan Islam kerana mereka tidak tertakluk dengan apa-apa perintah Mahkamah Syariah atau perundangan syariah di mahkamah tersebut.

Janganlah kita hanya berprasangka terhadap perundangan syariah ini tanpa memahami hakikat sebenar.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca