KUALA LUMPUR - Walaupun suram tanpa kehadiran pengunjung sejak pandemik Covid-19 melanda, keluarga besar Zoo Negara menerima sinar ceria dengan kelahiran anak panda ketiga pasangan panda gergasi, Liang Liang (panda betina) dan Xing Xing... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Walaupun suram tanpa kehadiran pengunjung sejak pandemik Covid-19 melanda, keluarga besar Zoo Negara menerima sinar ceria dengan kelahiran anak panda ketiga pasangan panda gergasi, Liang Liang (panda betina) dan Xing Xing pada 31 Mei lalu.

Kelahiran anak panda jantan yang masih belum diberi nama itu bukan sahaja khabar gembira buat Zoo Negara tetapi juga menandakan satu lagi kejayaan di bawah Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi antara Malaysia dan China yang dimeterai pada tahun 2012.

Untuk rekod, pasangan panda gergasi yang telah berada di Malaysia sejak tahun 2014 itu pernah melahirkan dua anak sebelum ini.

Anak pertama Nuan Nuan dan anak kedua, Yi Yi masing-masing lahir pada 18 Ogos 2015 dan 14 Januari 2018.

Namun berdasarkan perjanjian konservasi, anak yang dilahirkan pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang perlu dihantar ke negara asalnya apabila berusia dua tahun. Sehubungan itu, Nuan Nuan atau bermaksud 'Mesra' telah dikembalikan kepada kerajaan China pada 14 November 2017.

Ditanya adakah penjagaan panda memberi tekanan kepada situasi kewangan Zoo Negara, Rosly berkata, pihaknya mengambil langkah penjimatan perlu bagi mengurangkan kos menguruskan haiwan comel tersebut.

"Kos untuk makanan panda-panda ini sebenarnya tidak terlalu banyak hanya sekitar RM2,000 ke RM3,000 sebulan. Tapi, kos elektrik bagi memastikan keselesaan panda yang menelan belanja puluhan ribu sebulan.

Oleh itu, sebagai langkah berjimat, kami tidak memasang pendingin hawa sepenuh masa sekiranya tiada keperluan,” kata Rosly.

Seorang penjaga panda memeriksa anak Liang Liang.

PENJAGA PANDA

Tempoh 22 tahun bukan satu jangka masa singkat dan selayaknya Ahmad Nizam Zainudin bergelar antara petugas paling berpengalaman di Zoo Negara.

Kerjaya anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini di Zoo Negara bermula pada tahun 1999 sebagai zookeeper (penjaga zoo) merangkap pembantu veterinar.

Kini setelah lebih dua dekad, Ahmad Nizam menggalas jawatan pembantu kurator, antara tanggungjawab utamanya adalah memastikan panda di Pusat Konservasi Panda Gergasi berada dalam keadaan terbaik.

"Saya dan lima orang anggota pasukan sama-sama bertanggungjawab memastikan panda gergasi di Zoo Negara ini berada dalam keadaan baik.

"Secara ringkas, antara rutin kerja kami termasuklah menjaga aspek pemakanan dan kesihatan panda-panda di sini,” ujar lelaki berusia 43 tahun itu.

Tambah Ahmad Nizam, walaupun pada ketika ini Zoo Negara tidak dapat menerima kehadiran, namun rutin para petugas di Zoo Negara tetap berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati Ahmad Nizam mengakui terdapat perbezaan ketara apabila bertugas dalam suasana sepi Zoo Negara tanpa pengunjung.

Ahmad Nizam (dua dari kiri) bersama anggota pasukannya yang bertanggungjawab memastikan panda gergasi di Zoo Negara berada dalam keadaan baik.

"Memang terasa perbezaannya. Sebelum pandemik Covid-19, kami petugas-petugas Zoo Negara bekerja sambil berinteraksi dengan para pengunjung tentang haiwan-haiwan yang ada di sini.

"Tetapi sekarang, tiada lagi interaksi seperti itu. Dulu Zoo Negara meriah dengan kehadiran pengunjung yang pelbagai ragam namun kini hanya sunyi sepi,” katanya sambil menambah kanak-kanak khususnya harus mengambil berpeluang untuk mengunjungi Zoo Negara kerana ia tempat di mana mereka boleh menimba ilmu.

Ahmad Nizam berharap semua pihak dapat mematuhi SOP dengan baik agar pandemik Covid-19 dapat dikawal termasuk sewaktu Zoo Negara dibuka semula Jumaat ini.

Klik di sini untuk terus membaca