KONSEP pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin ini tidak akan berbeza dengan pelan lima tahun pembangunan negara sebelum ini kerana ia adalah pembentangan kerangka kerja... Klik di sini untuk terus membaca

KONSEP pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin ini tidak akan berbeza dengan pelan lima tahun pembangunan negara sebelum ini kerana ia adalah pembentangan kerangka kerja atau framework mengenai hala tuju pembangunan negara selama lima tahun.

Inti pati dan strategi pelaksanaan untuk menjayakannya akan dirumuskan melalui pembentangan belanjawan negara setiap tahun.

Justeru, rakyat tidak seharusnya mengharapkan sebarang pengumuman bersifat gula-gula melibatkan pemberian bantuan kewangan dan butiran terperinci bagi perancangan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara dalam RMK12.

Adalah tidak adil juga untuk membandingkan RMK12 dengan rancangan-rancangan sebelum ini. Ada banyak kekangan dan halangan dalam menggubal RMK12.

Berdasarkan beberapa kenyataan media oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, RMK12 jelas telah melalui pelbagai sesi libat urus sejak Mei 2019. Rancangan itu sepatutnya dibentang tahun lalu, namun 2020 nyata penuh dengan peristiwa tidak terduga.

Pertama, matlamat dan sasaran Wawasan 2020 melalui rancangan jangka panjang 20 tahun Dasar Pembangunan Nasional (1991-2020) gagal dicapai akibat beberapa krisis ekonomi dunia terutama Krisis Kewangan Dunia 1997/1998 dan kemelesetan ekonomi dunia 2008.

Kedua, pandemik telah menyebabkan seluruh dunia berhadapan penutupan sebahagian besar sektor ekonomi dan pergerakan manusia. Dunia tidak pernah berhadapan ketakutan dan kekangan pergerakan seperti ini sejak berakhirnya perang dunia kedua.

Ketiga, keadaan politik dalam negara yang sangat rapuh. Daripada sebuah negara yang mempunyai kerajaan stabil, Malaysia mengalami perubahan kerajaan secara krisis tidak sampai dua tahun selepas pilihan raya umum dan berlarutan sehingga kini.

Justeru, tiga perkara itu menuntut perubahan dan pengubahsuaian cadangan asal RMK12 dari segi falsafah pembentukan politik mahu pun fokus pembangunan negara.

PRODUKTIVI EKONOMI

Dalam keadaan RMK12 telah siap untuk dibentangkan beberapa minggu lalu, negara sekali lagi mengalami perubahan pucuk pimpinan.

Sudah tentu mahu tidak mahu satu lagi pengubahsuaian kecil perlu dibuat bagi mengiringi hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan pem-bangunan negara lebih terangkum dan menyeluruh.

Semangat dan roh konsep Keluarga Malaysia harus dirasai dalam pembentangan sulung itu.

RMK12 turut berdepan kesan pandemik yang menyebabkan banyak perniagaan ditutup, pengangguran meningkat mendadak dan aktiviti sosial tersekat.

Ia mencetuskan kemelesetan ekonomi yang dahsyat dan menghakis keyakinan rakyat.

Hasilnya, negara berdepan pertumbuhan produktiviti yang rendah, kemerosotan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta terencatnya usaha mentransformasi struktur ekonomi kepada kerangka Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Jadi, RMK12 dijangka memberi tumpuan ke arah memulihkan keyakinan rakyat, kumpulan perniagaan dan pelabur bagi membantu menjana semula ekonomi negara.

Selain itu, kita ada Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi memulihkan negara pasca pandemik. PPN menekankan pendekatan 6R iaitu Resolve, Resilient, Restart, Recovery, Revitalise dan Reform.

Disebabkan RMK12 yang bermula 2021 akan merangkumi fasa keempat, kelima dan keenam PPN, kerajaan mungkin turut beri tumpuan kepada transformasi struktural ekonomi seperti 4IR dan pembangunan hijau yang mampan.

Realitinya, di sebalik keghairahan untuk melihat pembangunan negara kembali rancak, negara ada kekangan tersendiri yang perlu diterima semua pihak.

Kejatuhan produktiviti ekonomi negara menyebabkan kutipan hasil negara merosot. Walaupun telah banyak sektor ekonomi dibuka semula, namun ia akan mengambil masa untuk memberi impak positif kepada kewangan negara.

Kerajaan dijangka berdepan kekangan kewangan sehingga suku ketiga tahun hadapan. Justeru, pelaksanaan RMK12 mungkin akan perlahan dalam setahun dua ini. Apa pun, adalah penting untuk kita semua membulatkan tekad menjayakan semula impian negara ini.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca