DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulung pada 22 Ogos, sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan telah memperkenalkan Keluarga Malaysia, konsep yang menerapkan nilai-nilai murni dalam aspek kekeluargaan. Konsep Keluarga... Klik di sini untuk terus membaca

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulung pada 22 Ogos, sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan telah memperkenalkan Keluarga Malaysia, konsep yang menerapkan nilai-nilai murni dalam aspek kekeluargaan.

Konsep Keluarga Malaysia ini merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum di mana kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama tetapi terikat dengan nilai-nilai kekeluargaan.

"Sebab itu konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya, keutuhan keluarga terikat dengan nilai-nilai dan didikan sempurna dalam sebuah negara,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad menggagaskan Wawasan 2020, Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pula memperkenalkan konsep Islam Hadhari, Perdana Menteri ketujuh, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan pendekatan 1Malaysia, manakala kerajaan Pakatan Harapan dengan slogan Malaysia Baharu.

Rakyat memahami dan telah menerima baik konsep Keluarga Malaysia yang dianggap bertepatan dalam konteks kesejahteraan dan kesihatan negara saat ini, ketika negara sedang bergelut dengan wabak pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan ekonomi dan kesihatan negara.

Lebih penting, konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ini amat inklusif sifatnya, lebih mendekati hati rakyat dan menunjukkan satu nilai prihatin serta nilai kasih sayang buat semua ahli keluarga besar negara.

Sebagai sebuah keluarga yang besar, seluruh rakyat jelata harus bertoleransi dalam semua perkara, saling hormat-menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik demi negara Malaysia yang dicintai.

Perdana Menteri berkata, perpaduan rakyat berbilang kaum adalah tunjang kekuatan negara, sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Pada masa yang sama, konsep Keluarga Malaysia ini diambil kerana ia melibatkan semua lapisan usia dan menjadi satu entiti yang saling melengkapi umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.

Menjelaskan lagi mengenai konsep perpaduan, Ismail Sabri memberi analogi selembar benang yang dikait, ditenun dan dijalin akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya.

"Itulah semangat Keluarga Malaysia yang menjunjung utuh perpaduan,” kata beliau pada ucapan sempena Hari Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Sudah pasti Keluarga Malaysia bukanlah satu retorik kosong. Sebagai anak seorang petani yang susah, sudah tentu Ismail Sabri cukup memahami kesukaran dan kepayahan kelangsungan kehidupan yang dihadapi oleh rakyat akibat pandemik ketika ini.

Justeru, beliau berperanan seperti ‘bapa’ yang bertanggungjawab menjaga kebajikan ‘anak-anak’ iaitu rakyat secara keseluruhan.

Buktinya, dalam tempoh dua bulan pentadbiran beliau, pelbagai inisiatif telah diumumkan kepada Keluarga Malaysia seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik, Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 kepada usahawan perusahaan kecil sederhana (PKS) dan mikro, Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa bencana dinaikkan sehingga RM1,000, Pakej Penjagaan Covid-19 kepada keluarga B40 dan sebagainya.

Demi memastikan kestabilan politik dalam semangat Keluarga Malaysia, beliau berjaya meyakinkan pemimpin-pemimpin parti pembangkang untuk menandatangani perjanjian persefahaman untuk membantu kerjasama dwi-partisan yang ampuh dan mantap.

Transformasi yang dilakukan itu bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan menjadi pemangkin kepada pelaburan yang kondusif.

Sekiranya tiada persefahaman politik dalam nilai kekeluargaan yang tinggi, sudah tentu sukar bagi kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Ini yang menjadi hasrat jutaan rakyat Malaysia dan ini juga keutamaan Perdana Menteri. Sekiranya semua pihak meletakkan fokus yang sama untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia tercinta, sudah tentu tiada apa yang mampu mengganggu gugat keharmonian negara.

Kini tibalah masanya kita melupakan sengketa politik. Kita perlu berganding bahu memulihkan negara akibat daripada pandemik Covid-19 serta memacu ekonomi dengan semangat Keluarga Malaysia. Kitalah Keluarga Malaysia!

* Penulis adalah Presiden Majlis Belia Selangor

Klik di sini untuk terus membaca