SHAH ALAM - Seramai 3.6 juta rakyat Malaysia dijangka menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.82 bilion. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seramai 3.6 juta rakyat Malaysia dijangka menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.82 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran BPR Fasa 3 dan rayuan BPR akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Selasa ini secara berperingkat.

"Bayaran Fasa 3 dan rayuan BPR ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.

"Bayaran BPR ini dijangka selesai pada 30 September," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, bayaran dibuat mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak, katanya.

Katanya, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300.

"Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sentiasa terbela.

"Antara lain, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak. Pembayaran bantuan itu dijadual akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021," katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan telah mengumumkan untuk menggantikan Bantuan Sara Hidup kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Inisiatif itu ditambah baik dengan meluaskan kategori penerima pada kadar bantuan yang membantu mengurangkan beban aliran tunai bagi rakyat.

Bayaran untuk BPR Fasa 1 sebanyak RM1.93 bilion telah dimasukkan kepada 8.4 juta penerima dari 24 Februari hingga 1 April lalu.

Bayaran BPR Fasa 2 sebanyak RM2.75 bilion pula telah dikreditkan kepada penerima pada 7 Mei lalu.

Peningkatan peruntukan tersebut adalah berikutan penambaikan kadar bayaran kepada penerima menerusi skim bayaran BPR.

INFO

Jumlah Peruntukan BPR Ikut Fasa

Fasa 1 - 1.93 bilion

Fasa 2 - RM2.75 bilion

Fasa 3 - RM2.82 bilion

Klik di sini untuk terus membaca