SHAH ALAM - Kerajaan disaran mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti, bersifat jangka masa panjang dan bersepadanan dengan keluaran lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah dalam Rancangan Malaysia Ke-12... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti, bersifat jangka masa panjang dan bersepadanan dengan keluaran lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, ini kerana kadar ketidaksepadanan dilihat semakin melebar dan meruncing pada masa ini.

Jelas beliau, reformasi intervensi atau pembaharuan ke atas pasaran buruh perlu dilihat dari kedua-dua aspek iaitu permintaan pekerjaan dan keluaran lulusan sekolah dan IPT.

"Kita kena pastikan dua perkara ini diseimbangkan semula. Kena lihat juga permintaan dan apa yang dikeluarkan oleh pusat pengajian.

"Kalau kita berjaya selesaikan perkara ini dalam RMK12, isu upah dan produktiviti secara tidak langsung akan ditambah baik dengan sendirinya,” katanya kepada Sinar Harian. Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu sistem jaringan keselamatan sosial yang lebih baik terutama kepada pekerja dalam sektor tidak formal dan mereka yang bekerja sendiri.

"Kita lihat keadaan pandemik Covid-19 ini telah memberi pengajaran bahawa pentingnya ada satu sistem jaringan keselamatan sosial yang lebih baik.

"Dalam RMK12, kerajaan juga wajar melipatgandakan usaha dalam mentransformasikan industri daripada berasaskan buruh kepada berasaskan teknologi agar kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, bagi pembangunan luar bandar pula, beliau mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada keseluruhan kawasan luar bandar di Malaysia dan bukan di Sabah serta Sarawak sahaja.

Jelasnya, ia penting kerana terdapat banyak kawasan luar bandar yang masih mempunyai ruang untuk menjana pendapatan serta kekayaan negara.

Klik di sini untuk terus membaca