KETIKA kenderaan penulis menyusuri merentasi Subang Jaya menuju ke ibu kota di awal pagi Ahad yang cerah dengan langit terang benderang dan jalan raya yang lengang, tiada yang lebih afdal melainkan melihat orang ramai berjoging, berbasikal, beriadah dan berkhemah di taman-taman awam.
Inilah realiti saat sekarang. Yang ingin berbasikal memenuhi setiap ruang kosong yang wujud. Ada bermacam jenis basikal yang dapat anda saksikan. Daripada yang canggih, yang sederhana dan yang kecil - tidak menjadi hal asalkan boleh keluar mengayuh.
Ketika kami merentasi Taman Tugu dan Taman Tasik Perdana, pagi masih awal iaitu sekitar jam 8.30 tetapi setiap ruang yang ada dipenuhi dengan keluarga yang membentangkan tikar untuk berkelah dan bersantai - berbaring dengan tangan di belakang kepala mendongak melihat keindahan langit yang membiru, aman dan damai.
Di satu sudut yang lain, sekumpulan anak muda sedang memasang khemah. Inilah pertama kali penulis melihat orang berkhemah di pinggir Taman Tugu. Tak dapat pergi berkhemah di tepi pantai, berkhemah di taman awam pun jadilah buat masa ini, asalkan dapat keluar dari rumah.
Orang dah jadi separuh gila kerana untuk sekian lamanya terperap dan terpenjara berdindingkan ruang tamu di kediaman masing-masing.
Bila melepasi Padang Merbok, terdapat sekumpulan anak-anak muda pelbagai bangsa yang mungkin anak-anak expartriate atau sekolah antarabangsa turut tidak melepaskan peluang di pagi Ahad bermain ragbi.
Bagi mereka yang ketagihan teh tarik di bawah bangunan Malayan Mansion Masjid India, seperti mana penulis, pagi Ahad adalah pagi yang dinanti-nantikan.
Sudah hampir dua tahun tidak berkunjung ke situ gara-gara Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Semua orang berkumpul atas hajat yang sama. Cuma ada yang teringinkan roti canai banjir atau telor goyang separuh masak ditampalkan ke atas roti banjir.
Di tepi Sungai Bunus pun sama. Ramainya orang menyerbu apa saja kedai mamak yang wujud untuk pekena macam-macam. Di satu sudut, ada yang memilih untuk hanya menikmati ‘teh cutting’.
Abang Rongkiang (istilah orang Utara kepada yang cepat naik angin) - gelaran yang diberi kepadanya kerana kerap moody apabila pelanggan minta macam-macam sambil menukar fikiran ketika dia sedang menyeduk kuah ke dalam plastik - menjerit kepada pelanggan; "Nasi minyak siap lagi 20 minit...”
Jeritannya disambut dengan tepukan yang bergemuruh - membuktikan betapa para pelanggan tetapnya merindui nasi minyak spesial berlaukkan ayam kampung atau gulai ayam.
Masakannya masakan Melayu, bukan mamak.
Hari ini, bagi mereka yang nak menjaga kesihatan iaitu ketagihkan teh tarik tapi enggan minum gelas yang besar, ada restoran menyediakan khidmat teh cutting iaitu istilah untuk teh tarik separuh gelas atau gelas kecil.
Tidak apalah asalkan hajat badan dipenuhi. Cuma yang sedikit mengganggu fikiran ialah bagaimana di sebalik itu semua, ramai juga yang tidak menghiraukan penjarakan sosial.
Ada satu meja tu, duduk sehingga enam orang dan rapat-rapat. Kebanyakannya geng berbasikal. Duduk berborak boleh tahan lamanya. Selepas penat mengayuh, apa lagi, borak sambil menikmati teh cutting dan roti canai telur goyang.
Sekali pandang kelihatan seperti Covid-19 dan pandemik sudah tidak wujud lagi. Orang ramai dan Covid sudah sebati, mungkin.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian