SHAH ALAM - Pakar kesihatan senada dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar agar tidak lagi menggunakan formula konvensional dengan menilai imuniti kelompok dalam usaha membendung Covid-19 di negara ini.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kemunculan varian Delta menjadikan formula imuniti kelompok yang menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus populasi penduduk divaksin sudah tidak relevan.
"Pada awalnya, imuniti kelompok ini adalah satu teori atau formula yang menyatakan apabila 70 ke 80 peratus populasi dewasa divaksin, lama kelamaan kadar jangkitan akan berkurangan," ujarnya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Namun dengan kemunculan varian Delta dengan ciri mutasi lebih ganas dan mudah berjangkit kepada sesiapa sahaja, perkara paling utama kini adalah memberikan perlindungan total kepada seberapa ramai populasi yang boleh.
"Kita tidak lagi boleh mengharapkan tahap 80 peratus vaksinasi itu untuk menyelamatkan negara daripada penularan Covid-19 sebaliknya pemberian vaksin kepada seramai mungkin populasi adalah solusi paling ideal.
"Buat masa ini hanya golongan dewasa dan remaja diberi vaksin namun sekiranya kelak terdapat kajian baharu mengatakan kanak-kanak bawah 12 tahun juga boleh menerima vaksin maka ia harus dilakukan," kata Zainal Ariffin.
Sebelum itu, Khairy Jamaluddin turut mengakui pakar kesihatan dunia juga berhenti menggunakan formula itu dan fokus memvaksin seramai mungkin populasi penduduk berikutan penularan varian Delta.
"Saya sebagai Menteri KKM, saya tidak lagi guna terma herd immunity. Pada waktu kita mulakan program vaksinasi, kita guna formula konvesional untuk kira herd immunity yang didapati bahawa 80 peratus (penduduk dewasa) vaksinasi baru capai herd immunity.
"Tapi pada masa itu sebelum penularan varian Delta. Delta pada dasarnya membawa kepada pengiraan imuniti kelompok dan ia adalah sukar untuk menyatakan bila kita dapat (capai) herd immunity, sebab itu kita jangan lagi melihat dengan herd immunity, kita kena lihat liputan itu (vaksinasi) seluas mungkin," katanya ketika menggulung Usul Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis lalu.
MAKSIMUM VAKSIN
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berpendapat, penemuan data saintifik sedia ada memberi petanda bahawa imuniti kelompok sukar dicapai.
Menurut Malina, formula imuniti kelompok, di mana mereka yang tidak divaksin terlindung dari jangkitan apabila sejumlah populasi telah divaksin bukan sahaja sukar dicapai disebabkan varian Delta tetapi juga ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
"Untuk itu, strategi terkini adalah untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi ke angka semaksimum mungkin bagi membolehkan kesemua mereka yang layak divaksin untuk diliputi pemberiannya dalam tempoh yang ditetapkan.
"Pada masa ini, saya berpendapat angka 90 peratus dalam kalangan dewasa adalah realistik," ujar Malina sambil menambah jumlah populasi yang perlu divaksin bergantung kepada kadar kebolehjangkitan serta intensiti kes-kes yang dijangkiti.
Klik di sini untuk terus membaca