RANCANGAN Malaysia ke-12 (RMK12) adalah rancangan pembangunan lima tahun yang bermula pada 2021 sehingga 2025.
Ia sepatutnya dibentang sebulan atau dua bulan sebelum memasuki tahun 2021, namun disebabkan negara dan rakyat bergelut dengan angka kes Covid-19 yang membimbangkan, semua pihak tertumpu kepada menangani atau membendung penularan wabak berkenaan.
Apa yang pasti pembentangan kali ini amat berbeza mengambil kira keadaan negara setelah hampir dua tahun berdepan dan berperang dengan wabak ini.
Menerusi pengamatan dan reaksi pelbagai pihak di waktu ekonomi yang semakin mencabar ini, kerajaan akan lebih mengutamakan pertumbuhan berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Selain soal Covid-19, antara kesan dan isu yang dekat di hati rakyat ketika ini ialah soal pengangguran yang dikatakan meningkat ratusan ribu dan mampu mencecah ke angka juta disebabkan penutupan beberapa sektor ekonomi.
Malah, laporan Kementerian Kewangan, lebih sejuta rakyat di negara ini berisiko menganggur sekiranya pelaksanaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan.
Lebih membimbangkan anggaran peningkatan jumlah pengangguran tidak tertumpu kepada mereka yang bekerja sendiri malah golongan yang ‘makan gaji’ seramai 2.8 juta turut akan terkesan.
Bertitik tolak ke arah memakmurkan ekonomi rakyat, kerajaan dalam pembentangan kali ini akan mencari ruang atau jalan meningkatkan taraf hidup B40 dan pendapatan isi rumah negara ini.
Langkah pertama ke arah itu, kerajaan akan memperkukuhkan dan memulihkan pertumbuhan ekonomi berasaskan Keluarga Malaysia.Dalam hal ini, program ke arah pembangunan bakat akan diperkasakan melibatkan agensi kerajaan dan swasta.
TRANSFORMASI
Selain menambah baik liputan, kualiti infrastruktur dan subsektor berkaitan teknologi digital akan dipertingkatkan.
Walaupun tiada pengumuman peruntukan berbilion ringgit, namun kerajaan akan pasti melaksanakan pembaharuan dan transformasi secara strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia secara seimbang.
Sepertimana RMK11, program transformasi membasmi kemiskinan tegar dijangka diteruskan.
Dan suntikan utama kali ini, tumpuan pembangunan wilayah antara negeri melibatkan Sabah dan Sarawak akan diberi agenda khusus.
Ini penting kerana kehilangan pekerjaan yang mewujudkan kemiskinan baharu merentasi semua golongan dan daerah.
Dalam mengurangkan kadar kemiskinan tegar, kerajaan kemungkinan besar akan terus memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam pembaharuan ekonomi.
Bagi memudahkan perniagaan dan jaluran kitaran ekonomi, RMK12 dilihat akan turut memberi perhatian kepada menambah baik infrastruktur pengangkutan yang menjadi nadi utama pembangunan ekonomi wilayah dan negara.
Selain itu, dalam mencapai pembaharuan ekonomi, kerajaan tidak akan mengabaikan sistem penjagaan kesihatan. Berpandukan pengalaman wabak yang menyebabkan puluhan ribu kematian dan bilangan kes yang melepasi 2 juta orang.
Pastinya RMK12 akan memberi tumpuan kepada pembangunan penjagaan kesihatan dalam memastikan rakyat terus sihat dan produktif.
Di samping itu kebajikan rakyat dapat dipertingkatkan menerusi peluang pekerjaan dan tahap kesihatan orang ram.
Kerajaan menerusi RMK12 akan memberi tumpuan dalam bidang pendidikan. Ia kerana bidang pendidikan amat terjejas disebabkan pandemik, dan pastinya RMK12 akan mengumumkan rombakan dalam bidang pendidikan sama ada melibatkan tenaga sumber manusia mahupun infrastruktur teknologi pembelajaran untuk tempoh lima tahun ini.
Mungkin sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan ditambah baik dari masa ke semasa.
Namun semua perancangan ini akan terencat jika perkhidmatan awam tidak diperkasakan. Sehubungan itu RMK12 dijangka menyusun semula peranan sektor awam agar lebih teratur dan menepati keperluan semua pihak.
Ia penting kerana peranan sektor awam adalah penggerak kepada transformasi dalam memenuhi agenda kerajaan.
Rakyat secara umumnya tanpa mengira bangsa dan agama turut perlu berganding bahu membantu negara dalam mencapai hasrat kerajaan ke arah semangat Keluarga Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca