PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bertemakan Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin menyaksikan kerajaan menggariskan empat matlamat utama dalam tempoh lima... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bertemakan Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin menyaksikan kerajaan menggariskan empat matlamat utama dalam tempoh lima tahun pembangunan negara.

Menurut Ismail Sabri, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dan menjadi sebuah negara berteknologi tinggi.

Empat matlamat utama tersebut termasuk pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025.

Seterusnya, jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025.

Diikuti pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.

Namun yang paling menarik perhatian ialah, kerajaan menganggarkan purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025.

Pada ketika negara berdepan pelbagai isu mendesak seperti krisis kesihatan Covid-19 yang masih berleluasa, jumlah pengangguran tinggi terutama dalam kalangan graduan serta nilai mata wang rendah, mampukah sasaran tersebut dicapai atau ia boleh dianggap sebagai satu 'mission impossible'?

Apatah lagi berdasar laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, purata pendapatan isi rumah kasar bulanan di Malaysia pada tahun 2020 merosot 10.3 peratus kepada RM7,089, berbanding RM7,901 pada tahun sebelumnya.

SEKTOR SWASTA SUKAR NAIK GAJI

Menurut Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir, sasaran purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan pada tahun 2025 agak mencabar untuk dicapai pada ketika negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 dan ekonomi belum pasti bila akan pulih sepenuhnya.

Shamsuddin Kadir

Namun katanya, ia mungkin dapat dicapai sekiranya tindakan pemulihan yang berkesan dilaksanakan terutamanya meningkatkan kembali peluang pekerjaan dan seterusnya mengurangkan pengangguran.

"Sasaran tersebut mudah untuk dicapai sekiranya hanya melibatkan penjawat awam dan pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC), namun tidak untuk pekerja sektor swasta.

"Dalam kes penjawat awam, kerajaan hanya perlu menaikkan gaji golongan tersebut dan sasaran purata pendapatan sebanyak RM10,000 sebulan isi rumah akan dapat dicapai dengan lebih mudah berbanding isi rumah yang bukan daripada golongan penjawat awam.

"Bagi mereka yang berada dalam sektor swasta pula adalah sukar untuk mendapat kenaikan gaji tatkala masih banyak perusahaan dan perniagaan yang belum pulih sepenuhnya berikutan pandemik Covid-19.

"Berapa ramai yang kita lihat sekarang terpaksa beralih profesion daripada kerja selesa di bilik berhawa dingin kepada menjadi pemandu e-hailing? Itu belum dikira lagi mereka yang kehilangan pekerjaan," katanya ketika dihubungi Sinar Premium pada Isnin.

Tegas Shamsuddin lagi, penambahan atau kenaikan gaji bukanlah solusi terbaik sekiranya rakyat masih terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi dan membebankan akibat nilai sebenar setiap ringgit.

Sebaliknya, apa yang perlu pada ketika ini adalah menaikkan nilai mata wang negara yang sekian lama 'terjajah' agar lebih berdaya saing sekali gus menjadikan kuasa beli rakyat lebih besar.

"Contohnya, lihat sekitar tahun 1962, satu dolar Singapura bersamaan satu Ringgit Malaysia tetapi kenapa sekarang kita jauh ketinggalan? Seharusnya kita menaikkan kembali nilai Ringgit setara Singapura," ujar beliau lagi.

Shamsudin turut menekankan pentingnya meningkatkan kepercayaan dunia terhadap nilai Ringgit dengan memperbanyakkan eksport dan menguasai pasaran jualan dalam talian untuk pelanggan luar negara untuk memberi impresi kepada dunia luar Malaysia mampu untuk menjana ekonomi dan menarik perhatian pelabur.

MASA LEBIH PANJANG

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, mengambil kira tempoh pemulihan ekonomi yang memerlukan masa lebih panjang akibat Covid-19, anggaran purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan menjelang tahun 2025 berdepan dengan beberapa cabaran.

Pertama, purata pendapatan isi rumah adalah berbeza mengikut negeri. Negeri yang mencatatkan pertumbuhan KDNK yang rendah tentu sekali sukar mencatatkan purata pendapatan isi rumah yang tinggi melainkan ada situasi yang dianggap sebagai outliers.

Ahmad Azrin

"Ini terjadi bila mana pendapatan sesebuah isi rumah yang agak luar biasa turut dimasukkan dalam pengiraan purata pendapatan isi rumah. Ini termasuk insiden kemiskinan bandar," katanya.

Tambah Ahmad Azrin lagi, cabaran lain adalah pemulihan permintaan daripada pengguna yang dikaitkan dengan keyakinan terhadap keselamatan kesihatan diri terutamanya dalam sektor yang memerlukan interaksi fizikal seperti pelancongan.

Beliau turut berkata, kadar penggangguran adalah antara pengukur yang lebih utama untuk ditonjolkan. Sebarang peningkatan kepada kadar pengangguran, usaha untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah akan berdepan cabaran.

OPTIMISTIK

Dalam pada itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, sasaran purata pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan pada tahun 2025 adalah sesuatu yang optimistik.

Ujar beliau, secara teorinya dengan saiz perbelanjaan pembangunan yang tinggi sasaran tersebut mungkin boleh dicapai.

Mohd Afzanizam

"RMK12 boleh dilihat sebagai pemangkin bagi merancakkan aktiviti ekonomi. Ini jelas dapat dilihat menerusi peruntukan perbelanjaan pembangunan bernilai RM400 bilion yang dikira tinggi dalam sejarah.

"Justeru dengan peruntukan besar ia seharusnya boleh memberi impak positif sekiranya terlaksana," katanya lagi.

Meskipun demikian, saiz perbelanjaan pembangunan sememangnya tinggi dan sasaran defisit fiskal sekitar 3 hingga 3.5 peratus pada tahun 2025 jelas menandakan kerajaan masih lagi komited terhadap perlaksanaan konsolidasi fiskal.

"Oleh itu, mungkin ada cukai-cukai baharu yang mungkin akan diperkenalkan bagi menampung hasil kerajaan terutama apabila pemulihan ekonomi semakin konsisten pada masa akan datang.

"Disamping itu, pemantauan yang tuntas juga perlu dititikberatkan bagi memastikan setiap inisiatif itu ditadbir dengan baik dan kesannya kepada masyarakat dapat dirasai secara holistik," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca