PEMBEBASAN Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Meng Wanzhou baru-baru ini selepas hampir tiga tahun menjalani tahanan rumah di Kanada bagi memenuhi tuntutan undang-undang Amerika Syarikat (AS) dianggap oleh para penganalisis sebagai satu tindakan 'diplomasi tebusan'.
Ini kerana selepas Wanzhou dibebaskan, kerajaan China pula membebaskan pula dua rakyat Kanada yang ditahan sejak tahun 2018 kerana dituduh melakukan intipan di negara tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei itu yang merupakan seorang wanita dikehendaki oleh AS sejak tahun 2018 kerana dituduh menipu kepada bank HSBC berkaitan dengan hubungan antara syarikat tersebut dengan syarikat Skycom dari Iran.
Perbuatan Wanzhou yang juga anak perempuan kepada pengasas syarikat Huawei, Ren Zhengfei itu telah meletakkan bank HSBC berisiko melanggar sekatan AS yang dilaksanakan ke atas negara Republik Islam tersebut.
Justeru, pada 1 Disember 2018, wanita itu yang juga 'orang nombor dua' dalam syarikat tersebut ditahan di Kanada atas permintaan pihak berkuasa AS di Vancouver.
Pada 10 Disember tahun yang sama, China pula menahan pula dua rakyat Kanada.
Dua rakyat Kanada itu ditahan itu ialah seorang bekas diplomat, Michael Kovrig yang bekerja dengan sebuah badan pemikir, International Crisis Group dan Michael Spavor iaitu seorang perunding kewangan.
Kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang mengancam keselamatan China.
Namun, penangkapan kedua-dua rakyat Kanada tersebut dianggap sebagai satu tindak balas negara 'Tembok Besar China' ekoran penangkapan Wanzhou.
Berikutan Kovrig dan Spavor ditangkap, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Presiden AS ketika itu, Donald Trump mengutuk tindakan China itu kerana melakukan tangkapan secara sewenang-wenangnya.
HUBUNGAN DUA NEGARA
Ketegangan hubungan antara kedua-dua negara meningkat tinggi apabila sebuah mahkamah di China menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang rakyat Kanada, Robert Lloyd Schellenberg, 36, pada Januari 2019. Schellenberg ditahan pada tahun 2014.
Dia dihukum mati kerana penglibatannya dalam kes penyeludupan dadah selepas perbicaraan kesnya diadakan semula kerana hukuman jel selama 15 tahun dianggap terlalu ringan.
Selepas hukuman mati itu diputuskan, Kanada menasihatkan rakyatnya tentang risiko yang mereka perlu hadapi ketika melawat China.
Beijing turut melakukan tindak balas yang sama apabila memberikan amaran kepada rakyat negara tersebut ekoran penangkapan Wanzhou.
Pada Januari tahun ini, seorang hakim menolak permohonan peguam balas wanita tersebut supaya dilonggarkan syarat-syarat jaminannya termasuk perintah berkurung, pemakaian gelang keselamatan di pergelangan kaki dan pengawasan setiap hari oleh pengawal keselamatan di sebuah rumah di Vancouver.
Dalam pada itu, pada Mac tahun ini, Spavor dihukum penjara selama 11 tahun di China manakala tidak ada hukuman yang diputuskan terhadap kes Kovrig.
Ekoran itu pada 24 September lalu, Wanzhou mencapai satu perjanjian dengan pendakwa raya AS bagi mengelakkan dakwaan melakukan penipuan.
Beliau kemudian dibebaskan menerusi satu pendengaran di mahkamah di Vancouver menyebabkannya meninggalkan Kanada untuk menuju ke bandar raya Shenzhen, China.
Tidak lama kemudian, Trudeau mengumumkan bahawa Konvrig dan Spavor dibebaskan oleh kerajaan China dan mereka juga segera balik menuju ke Kanada. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca