SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpendapat pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu lebih bersifat inklusif ke arah mewujudkan negara berpendapatan tinggi. Pakar ekonomi daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpendapat pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu lebih bersifat inklusif ke arah mewujudkan negara berpendapatan tinggi.

Pakar ekonomi daripada Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, ia dapat dilihat apabila kerajaan akan mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kalau kita lihat masalah yang berlaku di negara ialah jurang pendapatan yang tinggi antara negeri, wilayah malah kawasan bandar dan juga luar bandar.

"Sebagai contoh, ada sesetengah negeri pembangunannya sangat bagus, namun ada juga negeri-negeri lain berdepan dengan isu kemudahan asas seperti air dan elektrik.

"Justeru, apabila kerajaan berbuat demikian, ia secara tidak langsung membentuk sebuah negara yang berpendapatan tinggi dengan pengagihan yang lebih saksama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Shazali berkata, peruntukan kerajaan daripada RM200 bilion kepada RM400 bilion itu juga mampu melonjak semula ekonomi negara berikutan pandemik Covid-19 yang melanda.

"Berbanding tahun sebelum ini, kita memperuntukkan sebanyak RM200 bilion. Jadi peningkatan kepada RM400 bilion itu dikatakan berlaku hampir 70 peratus.

"Menerusi peruntukan ini, kita dapat lihat ia turut tertumpu kepada sektor kesihatan, yang menjadi sektor penting dalam menangani isu Covid-19 di negara,” katanya.

Dr Barjoyai Bardai

Sementara itu, pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula berpendapat, RMK12 merupakan kesinambungan daripada RMK11 yang mana banyak matlamat dan objektif hampir sama untuk tempoh lima tahun akan datang.

Namun, beliau berkata, terdapat beberapa matlamat yang dikemas kini dengan mengambil perkembangan semasa, termasuk dari segi aspek pendigitalan dalam sektor awam dan pengenalan teknologi revolusi industri 4.0 (IR4.0) kepada industri.

"Selain itu, kerajaan juga cuba meningkatkan daya maju peniaga kecil dan kumpulan pekerja,” katanya.

Secara keseluruhan, Dr Barjoyai berkata, ia merupakan satu perancangan Malaysia yang pragmatik, namun sedikit kecewa kerana kerajaan tidak menekankan sesuatu pembaharuan yang boleh memacu ekonomi untuk keluar daripada kegawatan dengan lebih cepat.

"Sekarang kita dah ada ‘hint’ (petunjuk) daripada Bloomberg yang mengatakan bahawa Malaysia mempunyai tenaga untuk keluar daripada kegawatan ini dengan pesat. Tetapi kita sendiri kurang yakin untuk memacu ekonomi.

"Sebab itu kita hanya menetapkan kadar pertumbuhan purata untuk RMK12 pada kadar 4.5 peratus. Jadi, bagi saya ia adalah satu angka yang sangat rendah.

"Jika boleh capai lapan peratus sehingga tahun 2025, Malaysia mungkin akan menghadapi pasaran yang menaik berasaskan pusingan ekonomi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca