ISU pembentukan AUKUS yang merangkumi negara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dilihat menonjol memandangkan ketegangan semakin memuncak kebelakangan ini antara dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China di... Klik di sini untuk terus membaca

ISU pembentukan AUKUS yang merangkumi negara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dilihat menonjol memandangkan ketegangan semakin memuncak kebelakangan ini antara dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China di persekitaran Laut China Selatan.

Menyorot sejarah, pakatan strategik yang berpaksikan keselamatan dan ketenteraan sebenarnya telah pun wujud di rantau Asia Tenggara sejak 1954.

Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai SEATO diwujudkan pada September 1954 merangkumi lapan negara, antaranya Australia, United Kingdom dan AS (negara yang kini membentuk AUKUS). Objektif utamanya adalah menghalang penyebaran kuasa komunis di Asia Tenggara ketika itu. Ia bagaimanapun telah dibubarkan pada Jun 1977 akibat pertikaian dalaman dan kurangnya minat oleh negara-negara terlibat.

Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang bukan blok komunis pula telah menandatangani deklarasi Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (Zone Of Peace, Freedom And Neutrality atau ZOPFAN) pada November 1971. Langkah diambil ASEAN membentuk ZOPFAN adalah lebih inklusif terhadap perkara berkaitan kedaulatan dan persempadanan negara masing-masing serta tidak mahu dilihat sebagai mengambil dasar provokatif terhadap dua kuasa komunis utama iaitu Vietnam dan China.

Persefahaman bercorak ketenteraan inklusif ASEAN bercambah dengan pesat dan menyaksikan bagaimana walaupun tiada pakatan ketenteraan yang formal, negara-negara berkaitan menjalin hubungan ketenteraan yang akrab.

Antara 1972 hingga 1984, Malaysia dan Indonesia telah mengadakan 32 latihan bersama iaitu 12 latihan udara Elang Malindo, 12 latihan tentera laut Malindo Jaya dan lapan latihan tentera darat Kekar Malindo. Bersama Thailand diadakan latihan tahunan Sea Ex-Thamal dan Air Thamal, manakala dengan Singapura diadakan latihan Semangat Bersatu.

Tamatnya Perang Dingin menyaksikan anjakan dasar luar negara terhadap hubungan dengan China yang lebih akrab terutama dalam ekonomi dan pelaburan. Perubahan berpunca daripada dasar negara Barat yang banyak menindas berbanding membantu Malaysia apabila krisis kewangan melanda Asia pada 1997.

KONFLIK

Malaysia mengekalkan dasar menjauhkan diri daripada berlaku konflik di kawasan perairan negara dengan China pada tahun-tahun berikutnya, namun pada 2013 telah menghantar bantahan diplomatik apabila kapal-kapal tentera laut China melaksanakan latihan di kawasan Beting Serupai. Hari ini kapal tentera laut dan pengawal pantai China terus mengadakan latihan di kawasan menjadi pertikaian melibatkan negara ASEAN, antaranya di perairan Filipina, Vietnam, Brunei dan Malaysia.

Sejak 2020, AS turut melaksanakan unjuran kuasa lebih drastik di rantau ini. Pada tahun tersebut, pegawai-pegawai kanan AS begitu teruja apabila mengeluarkan kenyataan bahawa tiga negara gergasi Asia iaitu Jepun, India, Australia, selain Vietnam bersetuju mengadakan latihan tentera laut bersama dan berharap agar pakatan itu bakal menjadi satu blok strategik rasmi. Ia bagaimanapun tidak menjadi kenyataan.

AUKUS mungkin galang ganti yang dicari-cari AS. Bagi Malaysia, jalan terbaik adalah mengekalkan ZOPFAN, namun dengan sedikit perubahan dasar yang merangkumi kerjasama pertahanan lebih erat antara negara ASEAN dalam menangani isu pencerobohan kapal dan pesawat China. Kita harus sedar bahawa seperti mana dasar pemimpin ASEAN terdahulu, langkah diplomatik mestilah diberi keutamaan berbanding ketenteraan. Tun Ghazali Shafie, Albert Talalla, Tan Boon Seng, Adam Malik dan Carlos Romulo ialah nama-nama yang telah berkhidmat di kementerian luar negara masing-masing ketika ASEAN berdepan pelbagai krisis keselamatan dan berjaya membentuk ZOPFAN.

Mereka berjaya mengekalkan hubungan baik dengan kuasa besar dunia, namun berpegang pada dasar ZOPFAN dan kedaulatan negara sendiri. Adalah kurang bijak untuk lain-lain kementerian mengeluarkan kenyataan, khususnya Kementerian Pertahanan berkaitan dasar luar atau ZOPFAN walhal idea itu dirintis Kementerian Luar Malaysia dan dipersetujui ASEAN sejak 1971.

Kementerian Luar adalah pihak paling kredibel bagi merungkai kemelut perairan Laut China Selatan secara penyelesaian diplomatik. Isunya bukan setakat melibatkan persempadanan maritim dan cabaran ketenteraan tetapi juga ekonomi, pelaburan serta prestij negara.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca