ALOR SETAR - Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek pembangunan hutan yang diluluskan di Hutan Simpan Gunung Inas, Hutan Simpan Gunung Bongsu dan Hutan Simpan Rimba Teloi perlu dilakukan semula berdasarkan keadaan semasa bagi membolehkan penduduk menilai apa yang dilaporkan pihak pemaju.
Wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Cawangan Kedah, Mohd Sobri Ramlee berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan perlu mengkaji semula pembangunan ladang hutan yang menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk serta alam sekitar.
Menurutnya, projek pembangunan hutan yang berkonsepkan pembalakan ‘cuci mangkuk’ tidak wajar dilaksanakan walau apa pun alasan diberikan kerana musibah yang akan dihadapi amat buruk.
"Kajian EIA perlu telus tanpa gangguan pihak berkepentingan. Saya syorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama memantau aktiviti pembalakan bagi membendung sogokan dalam meluluskan laporan EIA.
"Laporan perlu dibentangkan kepada umum. Sebelum ini terdapat projek pembangunan hutan yang perlukan EIA tetapi tidak dilaksanakan.
"Selepas terdapat bantahan, barulah kajian EIA dijalankan seperti di Hutan Simpan Bukit Enggang berkeluasan 500 hektar. Bagaimana prosedur penting ini boleh lolos dan disebabkan itu perlunya SPRM memantau,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS) itu lagi, kerajaan negeri disaran mengkaji semula pelaksanaan pembangunan hutan yang diluluskan di tiga hutan simpan terbabit yang sebelum ini mengakibatkan pelbagai masalah yang merugikan rakyat dan kerajaan.
"Projek pembangunan hutan di Hutan Simpan Bukit Enggang yang ditanam spesis balak mendapat bantahan penduduk yang mendesak menggantikan pokok albezia kepada spesies asal balak boleh dijadikan contoh.
"Hutan simpan tidak boleh dibangunkan sebagai ladang hutan kerana ia mempunyai fungsi khusus untuk alam sekitar.
"Pokok durian musang king yang ditanam bukannya untuk balak tetapi pengambilan buah, jadi fungsi Hutan Simpan Kekal gagal dikawal,” katanya.
Mohd Sobri berkata, projek pembangunan hutan tidak memberi kesan positif kepada penduduk sekitar, malah penduduk terpaksa menanggung kerugian akibat banjir, kemusnahan ladang dan pencemaran sumber air bersih.
"Seeloknya batalkan semua projek pembangunan hutan yang ada. Tanam pokok penutup bumi untuk proses jangka singkat dan spesies balak bagi jangka panjang,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, jika projek musang king tetap diteruskan di Gunung Inas, hakisan daripada teres akan bertambah teruk dan berpotensi berlaku banjir lumpur lebih besar, selain pencemaran sumber air bersih oleh aktiviti pembajaan serta racun.
"Ancaman terhadap hidupan akuatik dan hidupan liar turut berlaku, sungai semakin cetek. Tiada jalan penyelesaian jika projek musang king tetap diteruskan.
"Peranan hutan sebagai pengimbang kepada alam sekitar juga hilang, menyebabkan suhu meningkat dan banjir kilat kerap terjadi,” katanya.
Jelas Mohd Sobri, sejak November 2018, pihaknya telah menyerahkan laporan rasmi kepada JAS mengenai banjir lumpur melanda beberapa buah kampung, namun tiada jalan penyelesaian dan projek tetap diteruskan.
"Sehingga kini, banjir lumpur kerap melanda kampung berdekatan, tanaman komoditi seperti getah dan kelapa sawit yang menjadi punca pendapatan penduduk musnah termasuk dusun buah-buahan akibat mendapan lumpur tebal. "Sesetengah penduduk menjadikan air dari Gunung Inas sebagai punca air bersih untuk kegunaan seharian kerana belum menerima air terawat," katanya.
Beliau berkata, sektor pelancongan inap desa di Lata Celak diusahakan penduduk turut terjejas kerana airnya keruh dan alam sekitar semakin terancam.
"Hidupan liar seperti gajah mula memasuki kampung selepas hutan diteroka dan menjadi ancaman keselamatan penduduk.
"Hhasil hutan sebagai sumber pendapatan alternatif seperti herba, lebah dan sumber hutan lain turut terancam selepas penerokaan hutan," kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca