SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 merumuskan lima perkara penting membabitkan Pembaziran, Ketirisan, Pembayaran Tidak Betul (Improper Payment), Pencapaian Objektif dan Kelemahan Pengurusan Program. Elemen Pembaziran... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 merumuskan lima perkara penting membabitkan Pembaziran, Ketirisan, Pembayaran Tidak Betul (Improper Payment), Pencapaian Objektif dan Kelemahan Pengurusan Program.

Elemen Pembaziran menyaksikan berlakunya pembaziran sebanyak RM285.04 juta melibatkan tiga perkara iaitu Sistem uCustoms sebanyak RM272.99 juta, Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (RM7.16 juta) dan Perkhidmatan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (RM4.89 juta).

Berhubung Sistem uCustoms, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Wong Kah Woh menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan segera terhadap Sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta melibatkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang gagal disiapkan tetapi pembayaran telah dibuat.

Kah Woh berkata, sistem dalam talian itu gagal disiapkan sehingga kini sejak ia dimulakan pada Oktober 2013 sedangkan kerajaan sudah membayar sejumlah RM272.99 juta kepada syarikat terpilih.

"Kos asal projek ini adalah RM317 juta dan selepas disambung selama lima kali ia meningkat kepada RM397.43 juta, namun gagal disiapkan.

"Sistem ini pada awalnya dibangunkan untuk memudahkan urusan pengguna secara dalam talian tetapi sebab tidak siap, ia gagal untuk diakses," katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sebanyak 17 pengauditan prestasi bernilai RM90.635 bilion dilaksanakan sempena LKAN 2019 Siri 2 membabitkan program, aktiviti dan projek di 13 kementerian dan 62 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

Jabatan Audit Negara (JAN) juga menjalankan pengauditan prestasi terhadap 21 program, aktiviti dan projek yang membabitkan 26 jabatan dan 10 agensi kerajaan negeri serta 11 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri bagi laporan itu.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dalam kenyataan mengenai LKAN 2019 Siri 2 itu berkata sebanyak 130 syor telah dikemukakan iaitu 88 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh jabatan dan agensi negeri serta 42 syor oleh syarikat kerajaan negeri yang berkenaan untuk membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini terdiri daripada 15 naskhah yang membabitkan LKAN Tahun 2019 Siri 2 mengenai Aktiviti Kementerian, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan; LKAN Tahun 2019 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan serta 13 naskhah LKAN peringkat negeri iaitu LKAN Tahun 2019 Siri 2 bagi Aktiviti Jabatan, Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri.

Bagi Ketirisan, LKAN 2019 Siri 2 memaparkan berlaku ketirisan sebanyak RM29.92 juta melibatkan Pengurusan AP Terbuka Kenderaan sebanyak RM28.06 juta dan Pengurusan Peralatan Perubatan Hospital sebanyak RM1.86 juta.

Pembayaran Tidak Betul (Improper Payment) pula melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM65.61 juta di mana merangkumi Sistem uCustoms sebanyak RM64.89 juta, Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (RM0.65 juta) dan Perkhidmatan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (RM0.07 juta).

Pencapaian Objektif mula merangkumi aspek tidak tercapai sepenuhnya, tidak dapat diukur dan tidak tercapai.

Bagi tidak tercapai sepenuhnya, LKAN 2019 Siri 2 menyenaraikan 10 intipati iaitu penyelenggaraan kuarters di Putrajaya; Sistem Pilihan Raya Malaysia; Skim mySalam; Pengurusan AP Terbuka Kenderaan; Program Malaysia Rumah Keduaku; Pembangunan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020; Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor; Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan Fasa 1; pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam; Program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional.

Tidak dapat diukur pula melibatkan pengurusan peralatan perubatan hospital manakala Sistem uCustoms berada di bawah aspek tidak tercapai.

Kelemahan Pengurusan Projek merangkumi empat perkara iaitu kelemahan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan kontrak dan tunggakan hasil dan kelewatan kutipan pinjaman.

Dua lagi adalah kelewatan tandatangan kontrak dan kelemahan perancangan dan ketiadaan kaedah pengukuran pencapaian berhasil.

Klik di sini untuk terus membaca