SHAH ALAM - Sindiket penipuan wang terus berleluasa apabila pemangsa bertindak mencuri identiti dengan menggunakan nama dan juga gambar menerusi aplikasi media sosial bagi mendapatkan sejumlah wang daripada kenalan mangsa. Pegawai kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sindiket penipuan wang terus berleluasa apabila pemangsa bertindak mencuri identiti dengan menggunakan nama dan juga gambar menerusi aplikasi media sosial bagi mendapatkan sejumlah wang daripada kenalan mangsa.

Pegawai kepada seorang ahli Parlimen, Mohd Khairul Rizzuan Abu Hassan, 36 yang merupakan mangsa terbaharu kepada sindiket itu berkata, dianggarkan sebanyak RM35,000 telah diberikan oleh kenalannya termasuk menteri, ahli korporat dan rakan terdekat ke dalam akaun sindiket terbabit.

Menurut Mohd Khairul, beliau mengetahui kejadian penipuan tersebut pada jam 9.30 pagi Isnin lalu semasa bertugas di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Laporan polis yang dibuat Mohd Khairul Rizzuan Abu Hassan pada 27 September jam 6.22 petang.

"Saya membuat laporan polis kerana ada individu tidak bertanggungjawab telah menggunakan gambar saya bagi tujuan penipuan wang.

"Semasa berada di Parlimen, saya telah mendapat beberapa tangkap layar daripada kenalan yang mendapat pesanan ringkas melalui nombor telefon yang menggunakan nama dan gambar profil saya.

"Pemangsa mengatakan bahawa saya tiada duit dan meminta sejumlah wang untuk dimasukkan ke beberapa akaun.

"Ada daripada rakan yang telah memasukkan wang disebabkan percaya dengan perbualan sindiket,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Khairul berkata, pemangsa menggunakan beberapa akaun bank antaranya atas nama Morsid Albani di Bank Simpanan Nasional (BSN); Mohd Masdan (Maybank); Isamuddin Mohamad Ishak (BSN) dan Jalaludin Busu (BSN) bagi tujuan penipuan tersebut.

Mohd Khairul melaporkan kejadian itu pada jam 6.22 petang Isnin, bertujuan menafikan penglibatannya dalam jenayah tersebut.

Beliau juga katanya, tidak pernah sama sekali meminta daripada sesiapa supaya memindahkan wang ke dalam akaun-akaun terbabit.

Gambar hiasan

Jelasnya, laporan dibuat kerana khuatir keselamatan diri, maruah, keluarga, majikan dan mengelakkan daripada dituduh serta difitnah melakukan jenayah penipuan ini memandangkan nombor tersebut telah menggunakan gambarnya untuk meminta wang daripada kenalan. "Saya amat berharap pihak polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dapat mengambil tindakan segera terhadap laporan ini memandangkan sudah terdapat beberapa kenalan saya yang mendepositkan wang ke dalam akaun-akaun ini. "Ia juga bagi mengelakkan lebih banyak penipuan berlaku pada masa akan datang,” ujarnya.

Sejak awal tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sering menasihatkan orang ramai agar berwaspada ekoran wujud taktik penipuan yang bertujuan mengambil alih akaun pengguna khususnya WhatsApp.

Menurut SKMM, taktik berkenaan menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan enam digit yang diterima daripada pihak aplikasi.

Kod pengesahan tersebut amnya diterima oleh pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun media sosial.

Pengguna yang terpedaya menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun mereka diambil alih oleh scammer.SKMM turut menasihatkan pengguna berwaspada terhadap permintaan kod pengesahan enam digit aplikasi berkenaan daripada mesej orang yang dikenali seperti rakan atau ahli keluarga atau panggilan orang tidak dikenali serta pihak lain termasuklah pihak berkuasa.

Klik di sini untuk terus membaca