"NAK ke mana bang? Ipoh? Butterworth? Alor Setar!”"Melaka! Melaka! Pukul 3! Pukul 3!”
"Muar! JB! Mersing! Muar! JB! Mersing!”
"Taiping kak.. Taiping.. Tinggal satu tiket saja lagi!”
Riuh rendah, meriah dengan pelbagai jenis dan nada suara, melaung, memanggil dan menggamit hampir sepanjang masa.
Budak-budak zaman sekarang kalau diberikan gambaran suasana seperti di atas, mereka mungkin akan bertanya kita balik: "Game apa tu uncle?”
Tetapi budak-budak zaman saya dahulu dengan mudah dapat meneka bahawa itulah suasana di Puduraya.
Itulah bezanya. Budak-budak sekarang kebanyakannya memang tidak pernah kenal Puduraya. Yang mereka mungkin kenal hanya Pudu Sentral. Itu pun mungkin.
Pada zaman saya dahulu dan tentunya sebelum itu, Puduraya atau nama penuhnya Hentian Puduraya adalah salah satu nama yang sangat sinonim dengan Kuala Lumpur. Orang yang tidak pernah menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur pun kebanyakannya biasa mendengar nama itu.
Kalau saya ke Stadium Merdeka melihat pasukan Selangor, saya akan menaiki bas ekspres dari Sabak Bernam dan berhenti di Puduraya. Begitu dekatnya nama Puduraya dan saya.
Apa hebatnya Puduraya? Kalau rajin cuba cari lagu ‘Perhentian Bas Pudu Raya’ nyanyian Othman Ghani. Lirik lagu yang diterbitkan pada tahun 1984 itu memberikan gambaran yang cukup dekat mengenai Puduraya.
Setahun sebelum itu telah muncul lagu ‘Di Perhentian Puduraya’, nyanyian kumpulan Kembara yang dianggotai M Nasir (kini Datuk), A Ali dan S Sahlan. Lirik lagu itu turut memberi cerminan mengenai suasana Puduraya tetapi dari sisi lain yang ada kena mengena dengan jiwa dan ‘jiwang’.
Demikianlah hebatnya Puduraya pada masa dahulu sehingga diabadikan dalam lagu. Hal itu tidak menghairankan kerana sumbangan hentian bas yang dirasmikan oleh Perdana Menteri ketiga, Datuk Hussein Onn (kemudiannya Tun) pada tahun 1976 itu kepada sistem pengangkutan negara tidak terungkap nilainya.
Hentian bas itulah yang menjadi penghubung Kuala Lumpur dengan bandar-bandar utama di seluruh negara. Ia menjadi stesen bagi semua bas ekspres, sama ada dari barat, timur, selatan mahupun utara.
Malah, dari Puduraya juga ada perkhidmatan bas ke Thailand dan Singapura. Selain itu, beberapa syarikat bas henti-henti seperti Selangor Omnibus, Tong Fong, Ho Hup, Len Chee dan lain-lain yang menyediakan perkhidmatan ke bandar-bandar di luar Kuala Lumpur turut menjadikan Hentian Puduraya sebagai pusat operasi.
SIBUK
Sebagai stesen bas utama, Puduraya sentiasa sibuk. Hingar menjadi sebahagian identitinya. Di aras lantainya riuh rendah dengan manusia yang datang pergi, tukang kempen tiket (baca: ulat tiket), suara penjaja, tangisan kanak-kanak, suara orang berbual atau lot kedai di sekitarnya dan tidak terkecuali suara petugas yang mengumumkan tentang ketibaan atau keberangkatan bas.
Di belakangnya ada arked permainan, namun yang kerap menjadi tumpuan saya adalah kedai CD dan permainan silap mata. Saya boleh menghabiskan masa berjam-jam di situ.
Itu belum termasuk hingar yang datang dari jalan-jalan di sekitar hentian berkenaan terutama Jalan Pudu yang sesak sepanjang masa dengan bas, teksi dan kenderaan persendirian yang berhenti untuk mengambil atau menurunkan penumpang.
Di bawah aras lantai terletak platform yang menjadi tempat bas berhenti menurunkan dan mengambil penumpang. Saya tidak ingat jumlah platformnya tetapi mungkin berbelas-belas.
Sebaik sahaja anda melangkah menuruni anak tangga ke platform, riuh rendah di atas tadi akan diganti bunyi deruman enjin bas yang boleh menggegarkan tulang sum-sum. Bingit. Ditambah dengan bau asap dan bahang enjin yang meresap ke persekitaran, ia melengkapkan kitaran pencemaran yang tiada bandingan.
Waktu itu, tatkala terhidu asap dan terganggu dengan bunyi enjin, mungkin kita terasa tidak suka. Tetapi sekarang ini, memang itulah yang menggamit memori.
Di tingkat atas terletak tempat letak kereta. Selain itu terdapat juga sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang namanya Hotel Puduraya.
Kemeriahan Puduraya tidak berkurangan walaupun selepas bas-bas ekspres laluan Pantai Timur dipindahkan ke Terminal Putra – jika tidak silap pada awal 1990-an. Ia kekal hidup seperti biasa. Gerai-gerai yang menjual beraneka jenis makanan dan minuman jarang kelihatan lengang. Kebanyakannya hanya ditutup menjelang tengah malam apabila semua bas telah bergerak pergi, sebelum dibuka semula menjelang subuh.
Begitulah. Puduraya mula hidup sekitar jam 4.30 pagi ketika bas-bas ekspres dari jauh mula sampai satu demi satu. Sebahagian penumpang yang baru tiba akan bergerak keluar, mencari teksi atau mendapatkan keluarga atau handai taulan yang menunggu. Sebahagian yang lain akan berkeliaran atau singgah bersarapan di gerai-gerai yang sedia ada atau di kedai mamak di seberang jalan sementara menanti bas mini dan bas henti-henti memulakan perkhidmatan, selalunya sekitar jam 6 pagi.
Ragam manusia di Puduraya sangat pelbagai. Yang ke hulu ke hilir dengan beg plastik macam baru dihalau dari rumah, yang bergaya dengan baju tebal macam hendak ke Alaska walhal yang dibeli cuma tiket ke Ipoh, yang anak berderet-deret, yang matanya liar sebab takut orang lain jeling isterinya, yang jalan berkepit-kepit, semuanya ada.
Yang menangguk di air keruh pun ramai juga. Selain ulat tiket, ada lanun yang kerjanya menjual tiket palsu. Tiket ada, bas tiada. Pencopet juga tidak kurang banyaknya. Bukanlah perkara pelik jika anda terjumpa dompet-dompet kosong di atas tangki pengepam dalam tandas hentian tersebut.
TERHORMAT
Di Puduraya juga ada puak yang meminta sedekah secara terhormat. Mereka tidak bersila di atas jejantas yang menyeberangi Jalan Pudu macam pengemis-pengemis biasa.
Sebaliknya mereka menghampiri kita dengan membawa cerita sedih, yang pada penghujungnya akan berbunyi: "Kalau abang dapat bagi dua tiga ringgit untuk saya buat tambang balik pun jadilah.”
Tetapi setelah diberi tambang yang diminta, esoknya atau sekejap selepas itu, dia masih ada di situ. Meminta tambang daripada orang lain pula. Tak tahulah berapa juta harga tiket bas untuk balik ke kampungnya.
Semua itu telah tiada sekarang. Pada tahun 2010, Puduraya ditutup untuk kerja-kerja menaik taraf dan hanya dibuka semula pada 27 Ogos 2011 dengan wajah ala-ala lapangan terbang, bukanlah lagi macam stesen bas. Malah namanya pun ditukar kepada Pudu Sentral.
Pada September tahun berikutnya, ia diangkat martabat sekali lagi – kali ini menjadi Pusat Transformasi Bandar atau Urban Transformation Centre (UTC).
Tiada lagi hingar-bangar. Tiada lagi bau asap dan riuh enjin. Tiada lagi ulat tiket. Tetapi kalau hendak ber’dating’ masih boleh. Malah tempat yang disediakan lebih selesa. Nyaman, berhawa dingin. Tak perlulah lagi berdiri berdua-duaan di tepi tiang menghirup asap bas. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah setiausaha politik yang gemar menulis nostalgia
Klik di sini untuk terus membaca